[Syarah Hadis] Ma’al Hadis al-Syarīf: Adakah Yang Sanggup Berkorban?
Disebutkan dalam Fath al-Bārī Syarah Sahīh al-Bukhāri oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, dalam bab “Hujibat an-Nāru bisy-Syahawāti”, (“Neraka Ditutup dengan Syahwat”).
Telah diceritakan kepada kami Ismail bahawa dia berkata, Malik telah menceritakan kepadaku daripada Abu al-Zanad, daripada Al-A’raj, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Syurga ditutup dengan perkara yang makruh, sedangkan neraka dengan syahwat (perkara yang menyeronokkan).”
Wahai saudara yang dikasihi.
Antara sifat manusia ialah terbiasa dengan hiburan, beraktiviti mengikut naluri sehingga terdorong untuk menjadi malas. Termasuk juga di antara sifat-sifat manusia ialah membenci keletihan, kesusahan, musibah dan cenderung untuk menghindarinya. Akan tetapi, Allah SWT menginginkan kebaikan untuk manusia. Maka, dunia merupakan tempat bagi manusia untuk bekerja keras, merasa letih serta tempat untuk berusaha dan berjuang. Itulah ketentuan dan kehendak Allah SWT, agar balasan di akhirat nanti ialah keselesaan, ketenangan dan ketenteraman setelah berhempas-pulas di dunia.
Wahai umat Muslim,
Ramai orang yang tidak memahami akan persamaan ini. Akibatnya, kita dapat melihat sebahagian orang yang tidak cakna bahawa untuk masuk ke dalam syurga bergantung kepada kesusahan dan amal perbuatan serta ketaatan kepada peraturan Allah dan hukumNya walaupun bertentangan dengan keinginannya serta sejauh mana seseorang itu menjauhi kesusahan dan menuruti hawa nafsunya, begitulah dekatnya dengan neraka. Sesungguhnya dia melupakan akhirat kerana kejahilannya.
Wahai umatku, syurga sedang menantimu. Maka, adakah sesiapa yang bersedia untuk mengorbankan masa, tenaga dan harta? Adakah sesiapa yang sanggup berjuang dan menjadikan perjuangan itu sebagai satu kewajipan setelah hukum Allah tidak dilaksanakan di muka bumi? Adakah sesiapa yang sanggup berjuang bersama-sama mereka yang bertungkus-lumus membantu agama ini, dengan menegakkan negara (Khilafah) dan mengembalikan kemuliaan dan keagungannya?
Ya Allah, tegakkanlah Khilafah yang akan menyatukan umat Islam dengan segera serta yang akan menamatkan bencana dan malapetaka yang selama ini menyelubungi mereka. Ya Allah, terangilah bumi dengan nur (cahaya)Mu yang mulia. Allahumma amin!
Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/03/24/28155/