[Usus at-Ta’lim fi Daulah al-Khilafah] Metode Pengajaran (Bahagian 1/2)
Penulis: Abu Yasin
Metode pengajaran yang benar adalah penyampaian (khithab) dan penerimaan (talaqqiy) pemikiran dari pengajar kepada pelajar. Pemikiran atau akal merupakan instrumen proses belajar-mengajar. Akal merupakan aset yang Allah kurniakan kepada diri manusia. Dengan keberadaan akal, Allah memuliakan manusia, mengutamakan manusia dari makhluk-makhluk yang lain, dan menjadikannya penyebab dibebankannya suatu hukum (manath at-taklif).
Akal terdiri dari empat komponen: otak (sebagai tempat berfikir), penginderaan, fakta, dan informasi yang terkait dengan fakta. Akal, befikir, dan memahami memiliki makna yang sama, iaitu mentransfer (memindahkan) fakta yang dicerap oleh alat indera ke dalam otak, kemudian fakta tersebut diinterpretasikan dengan informasi yang terkait, lalu ditetapkan hukum atas fakta tersebut.
Oleh kerana itu, jika ingin mentransfer pemikiran kepada orang lain, sebagaimana yang terjadi dalam proses belajar mengajar, pengajar perlu mentransfer pemikirannya melalui sarana yang berkemampuan untuk menjelaskan, terutama bahasa. Pemikiran tersebut dihubungkan dengan fakta yang dicerap oleh pelajar, atau dengan fakta yang pernah dicerap sebelumnya, atau yang serupa dengannya. Dengan demikian telah terjadi transfer pemikiran.
Jika pemikiran tersebut tidak dihubungkan dengan fakta yang dicerap atau dapat dirasakan, seperti menjelaskan makna unta tanpa dapat menggambarkan fakta yang terkait dengannya, tidak akan terjadi proses transfer pemikiran, yang terjadi hanya transfer informasi. Dengan informasi yang ditransfer tersebut, anak didik hanya menjadi orang yang belajar, bukan orang yang berfikir.
Tatkala mentransfer pemikiran kepada anak didik, seorang pengajar perlu mendekatkan apa yang terkandung dalam pemikiran tersebut dengan makna-makna yang difahami oleh anak didik, dengan cara berusaha menghubungkan antara pemikiran itu dengan fakta yang dicerapnya, atau dengan fakta yang akrab dan dirasakan olehnya sehingga mereka benar-benar memahaminya sebagai sebuah pemikiran, bukan sekadar informasi.
Pengajar perlu mendorong anak didik agar selalu peka terhadap realiti yang terjadi. Kerana realiti tidak hadir dengan sendirinya, maka seorang pengajar perlu dapat memberikan gambaran yang mendekati realiti tersebut kepada anak didik ketika menyampaikan suatu konsep atau idea sehingga dapat dihubungkan dengan realiti yang dirasakannya atau tergambar di benaknya. Dengan demikian, mereka telah menerimanya sebagai sebuah pemikiran.
Pemikiran yang ditransfer pengajar kepada anak didiknya dapat dilihat sebagai berikut:
– Apabila faktanya telah dicerap lebih dahulu oleh anak didik, atau baru dicerap ketika disampaikan maka bererti mereka telah menerima apa yang disampaikan sebagai sebuah pemikiran.
– Apabila faktanya tidak dicerap lebih dahulu oleh anak didik, dan tidak dicerap pula saat disampaikan, tetapi fakta tersebut dapat tergambar dalam benak mereka sebagaimana yang disampaikan, lalu mereka membenarkan dan menerimanya seakan-akan mereka mencerap fakta tersebut. Fenomena seperti itu juga dikatakan bahawa mereka telah menerima apa yang disampaikan sebagai sebuah pemikiran.
Dalam dua perkara tadi, konsep atau idea yang disampaikan pengajar kepada anak didik dapat menjadi sebuah pemikiran. Lain halnya jika konsep atau idea yang disampaikan tidak dikaitkan dengan fakta yang dapat dicerapnya, atau fakta tersebut tidak mungkin dijangkau. Jika demikian bererti konsep tersebut hanya sebatas informasi.
Fakta yang dicerap adalah fakta yang dapat diindera melalui salah satu panca indera; baik fakta itu berbentuk material atau non-material (maknawi). Fakta yang berbentuk material contohnya adalah diinderanya pohon melalui penglihatan, suara burung melalui pendengaran, halusnya kain dengan sentuhan, aroma bunga dengan penciuman, dan lazatnya madu dengan merasakan.
Sedangkan fakta yang berbentuk non-material (maknawi), contohnya adalah keberanian, amanah, pengecut, dan khianat; diindera secara pemikiran yang didasarkan atas penampakan yang bersifat material. Dari situ difahami bahawa bertempurnya seorang muslim dan keteguhannya dalam menghadapi musuh walaupun berlipat ganda jumlah dan kesiapan musuhnya, ia disebut pemberani. Sebaliknya, larinya seorang muslim dari medan perang disebut pengecut.
Fakta yang terindera atau dapat diindera merupakan faktor yang mendasar dalam aktiviti berfikir. Suatu konsep atau idea tidak akan menjadi sebuah pemikiran tanpa adanya fakta.
Berbeza dengan hal-hal ghaib. Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk merasakan dengan salah satu panca inderanya di dunia, seperti adanya syurga, neraka, ‘arsy, dan sebagainya. Manusia tidak dapat berfikir melalui penginderaan, melainkan dengan cara mendapatkan informasi yang pasti kebenarannya (qath’i), seperti dari Al-Quran dan hadis mutawatir.
Namun, hal-hal ghaib yang keberadaannya berasal dari ilusi sebahagian manusia, seperti hantu atau lembu yang membawa bumi dengan tanduknya, membayangkan berbagai perkara seperti itu tidak termasuk berfikir kerana tidak dapat diindera dan tidak dapat dirujuk dari sumber yang pasti. Hal itu termasuk khayalan atau khurafat kerana faktanya tidak ada dan perlu dijauhkan dari anak didik.
Dalam aktiviti penyampaian dan penerimaan pemikiran melalui cara mendengar atau membaca maka bagi pihak yang menyampaikan iaitu pengajar atau penyusun kurikulum perlu menggunakan keempat unsur tadi dalam proses berfikir. Pada saat menyampaikan, baik lisan mahupun tulisan, juga tetap perlu diperhatikan penggambaran fakta sebagai objek berfikir dengan gambaran yang jelas. Jika fakta tersebut belum pernah dicerap sebelumnya oleh anak didik, hendaknya dilakukan dengan cara membuat anak didik seolah-olah merasakan fakta tersebut.
*Bersambung ke bahagian 2/2
Sumber: Abu Yasin, Usus at-Ta’lim fi Daulah al-Khilafah (Strategi Pendidikan Negara Khilafah).