[SOAL JAWAB] Bimbang Ibadah Tidak Diterima oleh Allah
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, saya sering bimbang jika ibadah yang saya lakukan, seperti solat, puasa, dll., tidak diterima oleh Allah SWT.. Bagaimanakah hendak mengatasi rasa bimbang tersebut?
Jawapan:
Perasaan bimbang atau takut ini sebenarnya satu perkara yang baik bagi seorang muslim, bukan perkara yang buruk, asalkan dia boleh meletakkan ketakutannya secara seimbang, iaitu boleh meletakkan rasa takut (al-khauf) dan rasa berharap (ar-raja’) secara seimbang (tawazun, i’tidal).
Jika dalam hati seorang muslim hanya rasa takut yang dominan, sedangkan rasa berharap sangat tipis, dia akan melahirkan sikap putus asa dari rahmat Allah SWT. yang (merupakan sikap, pent.) tercela. Sebaliknya, jika rasa takut sangat tipis, sedangkan rasa berharap sangat besar, dia akan melahirkan sikap berani melakukan maksiat atau tidak takut untuk melakukan dosa. Sudah tentu ini juga tercela.
Keseimbangan rasa takut (al-khauf) dan harapan (ar-raja’) tersebut ditunjukkan oleh firman Allah SWT. mengenai para nabi dan para wali-Nya (yang bermaksud), ”Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sentiasa bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harapan dan keresahan.” [TMQ Al-Anbiya (21): 90].
Juga firman Allah SWT. (yang bermaksud), ”Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur dan mereka sentiasa berdoa kepada Rabb mereka dengan penuh rasa takut dan harapan.” [TMQ As-Sajdah (32): 16].
Dalam kedua-dua ayat ini terdapat petunjuk bahawa seorang muslim dalam ibadahnya mesti menggabungkan dua perasaan sekaligus, iaitu rasa takut (khauf) dan berharap (raja’) secara serentak. (Al Jauharah Al Tharifi, Al-Manhaj ad-Da’awi fi al-Kauf wa ar-Raja, hlm. 43).
Bagaimanakah cara untuk menghadirkan dua perasaan ini secara serentak dalam hati seorang muslim? Para ulama menjelaskan, jika seorang muslim melakukan amal soleh, hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya dua perasaan berikut,
Pertama, perasaan bahawa Allah SWT. adalah Rabb Yang Maha Agung yang mempunyai hak untuk diibadah oleh para hamba-Nya secara benar, yang berhak mengazab para hamba-Nya. Sambil mengingati bahawa amalannya masih sedikit, sedangkan dosa-dosanya masih banyak, atau mengingatkan bahawa dia tidak beribadah dengan betul, atau mungkin niat ibadahnya tidak ikhlas dan tidak lurus. Perasaan ini akan melahirkan rasa takut (khauf), bahawa boleh jadi Allah SWT. tidak menerima amal ibadahnya.
Kedua, perasaan bahawa Allah SWT. adalah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dengan rahmat-Nya yang sangat luas. Perasaan ini akan melahirkan rasa berharap (raja’) agar seorang muslim akan sentiasa berharap bahawa Allah akan menerima amal-amalnya, memberi pahala kepadanya, dan mengampuni segala dosa dan kesalahannya (Syeikh Ahmad al-Fuda’i, “Ladayya Wiswaas Tsaqiilah min An Laa Yataqabbalallahu ‘Amaly”, http://consult.islamweb.net/)
Berkaitan dengan rasa takut ini, apa yang sebenarnya perlu kita perhatikan ialah kita harus mengawal rasa takut ke arah yang benar, iaitu menggalakkan pembaikan amal, bukan ke arah yang salah, iaitu membuat kita berputus asa dari rahmat Allah kerana putus asa dari rahmat Allah adalah sangat keji. Ini sebagaimana firman Allah SWT. (yang bermaksud), ”Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan orang-orang yang kafir.” [TMQ Yusuf (12): 87].
Perlu ditambah, sebenarnya kita sebagai manusia tidak dapat mengetahui sama ada amal ibadah kita diterima atau tidak oleh Allah SWT.. Ini adalah perkara ghaib yang tidak diketahui, kecuali oleh Allah SWT.. Namun demikian, kita hendaklah sentiasa berprasangka baik (husnuzon) bahawa Allah akan menerima amal ibadah kita, sudah tentu selepas kita memenuhi segala syarat dan rukun syariat dari suatu ibadah. Sabda Rasulullah SAW. dalam sebuah hadis qudsi, “Aku [Allah] mengikuti persangkaan hamba-Ku kepada-Ku.” (ana ‘inda zhanni ‘abdiy biy). (HR Bukhari no. 6970; Muslim no. 2675).
Kesimpulannya, cara mengatasi rasa bimbang ialah dengan mengimbangkan rasa takut (al-khauf) dan rasa berharap (ar-raja), di samping sentiasa bersangka baik (husnuzon) kepada Allah SWT.. Wallahualam.
Sumber:
#SoalJawab #Bimbang #RasaTakut #Berharap