[Kaedah-Kaedah Taklid] Seorang Muqallid ‘Amiy Tidak Boleh Meminta Fatwa Kecuali kepada Orang yang Keilmuan dan Keadilannya Telah Dia Ketahui
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Pada dasarnya, seorang muqallid ‘amiy wajib meminta fatwa kepada orang-orang yang dia ketahui berilmu dan memiliki keadilan. Dia tidak boleh meminta fatwa kepada orang yang keilmuan dan keadilannya tidak dia ketahui sebab setiap orang yang diwajibkan untuk mengikuti pendapat orang lain (muqallid) maka dia juga diwajibkan untuk mengetahui keadaan orang yang diikutinya, sebagaimana wajibnya umat Islam mengetahui dengan dirinya sendiri tentang kemukjizatan Rasulullah.
Seseorang tidak boleh meyakini begitu saja, orang yang mengaku dirinya Rasulullah, sementara itu orang tersebut tidak pernah dikenalnya. Seorang hakim juga wajib mengetahui keadaan saksi, apakah dia adil atau tidak, sebelum memutuskan untuk menerima atau menolak kesaksiannya. Seorang mujtahid wajib mengetahui keadaan perawi hadis sebelum dia menerima khabar-nya. Atas dasar itu, orang awam wajib mengetahui keadaan orang yang hendak ditanyakan pendapatnya.
Lalu, jika keadilan seorang mujtahid tidak diketahui, apakah seseorang dituntut untuk menelitinya? Menurut Imam Al-Ghazali, seorang awam tidak dituntut untuk meneliti keadilan seorang mujtahid yang tidak dikenalnya sebab fakta menunjukkan jika seseorang masuk ke sebuah negeri, dia hanya wajib bertanya siapa orang alim di negeri itu dan tidak dituntut untuk membuktikan keadilannya.
Demikian juga jika orang awam tidak tahu keilmuan mujtahid, dia tidak dituntut untuk menelitinya sebab orang alim yang sudah terkenal di suatu negeri dan dikenal oleh masyarakat setempat maka keadilan dan keilmuannya boleh dipertanggungjawabkan. Orang awam tidak perlu melakukan kajian secara lebih mendalam mengenai keilmuan dan keadilannya.
Jika seseorang diketahui kefasikannya, dia tidak boleh ditanyai pendapatnya. Sebaliknya, jika seorang mufti diketahui keadilannya, seorang awam baru boleh bertanya meminta fatwanya. Jika seorang awam tidak mengetahui hal ehwal mufti (yang hendak dimintai fatwanya), dia tidak perlu menolaknya, tetapi dia perlu bertanya terlebih dahulu mengenai keadilannya. Ini ditujukan agar dia terhindar dari kedustaan dan kejahatan dari mufti tersebut.
Sesungguhnya, jika seorang mufti sudah terkenal memberikan fatwa di suatu negeri, biasanya dia juga terkenal memiliki keadilan. Sedangkan untuk menetapkan keadilan dan keilmuan seorang mufti, seorang awam cukup menyandarkan kepada persangkaan kuatnya (ghalabat al-dzan) yang didasarkan pada perkataan satu atau dua orang adil dan tidak harus bersandar pada bukti yang meyakinkan (qath’iy). Jika ada satu atau dua orang adil mengatakan bahawa mufti ini adil, seorang awam boleh mengambil fatwa dari orang tersebut.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat