[Kaedah-Kaedah Taklid] Tarjih Seorang Muqallid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Sering kali seorang muqallid perlu mentarjih seorang mujtahid atas mujtahid yang lain, atau satu hukum atas hukum yang lain. Ini didasarkan kenyataan bahawa seorang muslim, baik mujtahid mahupun muqallid, wajib beramal dengan satu hukum saja. Dia dilarang beramal dengan dua hukum yang bertentangan. Dalam keadaan semacam ini, seorang muslim diwajibkan untuk melakukan tarjih atas pendapat-pendapat yang ada.
Adapun tarjih yang lazim dilakukan seorang muqallid sebelum menetapi suatu pendapat—baik tarjih terhadap seorang mujtahid atas mujtahid lainnya, mahupun sebuah hukum syariat atas hukum syariat yang lain—adalah a’lamiyyah dan al-fahmu. Qadhi An-Nabhani menuturkan sebuah riwayat dari Ibnu Mas’ud, bahawasanya beliau ra. pernah ditanya oleh Rasulullah saw., “Wahai ‘Abdullah bin Mas’ud!” Beliau menjawab, “Ada apa ya Rasulullah?” Rasulullah saw. melanjutkan, “Tahukan engkau siapakah manusia yang paling faham?” Saya menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih memahami.” Rasulullah saw. bersabda, “Manusia yang paling faham adalah orang yang paling memahami kebenaran ketika manusia berselisih faham, walaupun dia sedikit amalnya dan berjalan merayap dengan punggungnya.”
Atas dasar itu, muqallid perlu mentarjih (menguatkan) orang-orang yang dia ketahui keilmuan dan keadilannya. Ini didasarkan kenyataan bahawa keadilan adalah syarat diterimanya kesaksian dari seorang saksi. Jika orang yang bersaksi tidak adil, kesaksian dan beritanya perlu ditolak.
Oleh kerana itu, seorang pengkaji hadis hanya akan menerima riwayat-riwayat yang dituturkan oleh perawi-perawi yang adil. Begitu pula seorang muqallid, dia mesti mengetahui bahawa orang yang menyampaikan suatu hukum syariat kepadanya adalah orang-orang yang keadilannya tidak perlu dipertikaikan. Seorang muqallid dilarang bertanya atau meminta fatwa dari orang-orang fasiq.
Atas dasar itu, keadilan merupakan standard dasar bagi seorang muqallid untuk menerima pendapat dari seorang mufti. Jika orang yang menyampaikan hukum syariat kepadanya adalah orang yang adil, baik mujtahid mahupun seorang mualim (pengajar), dia wajib menerima hukum syariat tersebut; sebagaimana wajibnya seorang muslim menerima khabar ahad yang sahih.
Sedangkan ilmu (al-fahmu) adalah murajih (orang yang dikuatkan). Misalnya, jika seorang muqallid dihadapkan pada dua pendapat, misalnya pendapat Imam Syafie dan Imam Maliki. Apabila dirinya meyakini bahawa Imam Syafie lebih faham dan lebih benar pendapatnya dibandingkan Imam Maliki, dia perlu memilih pendapat Imam Syafie. Dia dilarang beramal dengan pendapat yang bertentangan dengan pendapat Imam Syafie hanya kerana mengikuti kehendak dan hawa nafsunya. Akan tetapi, seorang muqallid wajib meninggalkan pendapat imamnya dan mengikuti pendapat imam yang lain, jika pendapat imam yang lain itu lebih kuat, sedangkan pendapat imamnya terbukti lemah.
Seorang muqallid tidak perlu terikat dengan pendapat mazhab tertentu dalam semua masalah. Dalam masalah yang berbeza, dia boleh merujuk kepada imam mazhab yang lain. Misalnya, seorang muqallid merujuk kepada pendapat Imam Malik dalam masalah puasa, sedangkan untuk masalah zakat merujuk kepada Imam Syafie. Yang tidak diperbolehkan adalah dalam satu masalah dia mengikuti dua pendapat imam mazhab. Contohnya, seorang muqallid merujuk kepada Imam Malik dan Syafie dalam masalah yang sama, solat misalnya.
Walhasil, objek yang ditarjih dalam taklid ada dua jenis. Pertama, objek tarjih yang bersifat umum (murajjih al-‘aam), yakni tarjih yang berkaitan dengan orang yang hendak diikuti oleh seorang muqallid, misalnya apakah dia hendak memilih Imam Malik atau Imam Syafie. Kedua, objek tarjih yang bersifat khusus (murajjih khaash), yakni tarjih yang berhubungan dengan hukum syariat yang hendak diikutinya. Kedua objek yang hendak ditarjih ini, baik umum mahupun khusus, boleh didekati dengan a’lamiyyah.
Untuk masalah-masalah dan kejadian-kejadian yang terjadi di Madinah pada era Imam Malik maka Imam Malik dianggap lebih memahami daripada Abu Yusuf. Sedangkan masalah-masalah dan kejadian-kejadian yang terjadi di Kufah pada era Imam Ja’far maka beliau dianggap lebih memahami kejadian dan masalah tersebut dibandingkan Imam Ibnu Hanbal.
Ini jika ditinjau dari sisi masalah-masalah mahupun kejadian-kejadian yang terjadi. Adapun bila ditinjau dari sisi orang yang hendak diikuti maka semuanya dikembalikan kepada maklumat-maklumat yang sampai ke telinga seorang muqallid dari seorang mujtahid.
Akan tetapi, a’lamiyyah bukan satu-satunya metode untuk melakukan tarjih dalam masalah taklid. Bahkan, a’lamiyyah tidak boleh disebut sebagai tarjih hakiki (tarjih sebenarnya) jika ditinjau dari sisi tarjih itu sendiri. A’lamiyyah adalah cara tarjih kepada orang yang hendak diikuti (di taklid) secara global.
Adapun tarjih hakiki (tarjih yang asli atau sebenarnya) adalah tarjih yang dinisbahkan kepada hukum syariatnya, yakni kekuatan dalil yang menyangga hukum syariat itu. Namun, kerana muqallid tidak mengetahui dan memahami dalil, tentunya dia akan mentarjih pendapat dengan metode a’lamiyyah.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat