[Kaedah- kaedah Taklid] Ketentuan Seorang Muqallid di Hadapan Dua Pendapat
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Seorang muqallid tidak boleh memilih begitu saja dua pendapat yang bertentangan, seperti halnya jika para mujtahid berbeza pendapat dalam satu masalah. Apabila seorang muqallid dihadapkan pada dua hukum syariat yang berbeza, dia diwajibkan untuk mentarjih salah satu pendapat di antara dua pendapat tersebut.
Seorang muqallid tidak boleh menganggap bahawa dua hukum syariat yang berbeza itu, jika dinisbahkan kepada dirinya, adalah satu hukum syariat bagi dirinya sehingga dia boleh memilih begitu saja dua pendapat tersebut. Akibatnya, dia memilih hukum syariat berdasarkan keinginan hawa nafsunya. Kadang-kadang dia memilih pendapat mujtahid ini, kadang-kadang memilih pendapat mujtahid lainnya untuk memenuhi keinginan-keinginannya yang terus berubah. Jika dia menginginkan hukum mubah, dia ikuti mujtahid yang mengeluarkan pendapat mubah. Jika dia ingin hukum haram, dia ikuti mujtahid yang mengharamkan dan seterusnya.
Hal semacam ini jelas-jelas dilarang di dalam Islam sebab Allah SWT melarang kaum muslim berhukum berdasarkan kepentingan hawa nafsu. Allah SWT berfirman,
“Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran.” (TMQ An-Nisa’:135).
Selain itu, hukum syariat bagi seorang mukmin hanyalah satu, tidak boleh pelbagai. Jika dia telah mengadopsi suatu hukum, hukum tersebut adalah hukum Allah bagi dirinya, sedangkan yang lain bukanlah hukum syariat bagi dirinya. Dalam keadaan semacam ini, dia tidak boleh memilih dan berbuat dengan dua hukum syariat atau berhukum dengan syariat yang tidak diadopsinya.
Jika seorang muqallid dihadapkan pada berbagai pendapat (hukum syariat) yang dikeluarkan oleh seorang mujtahid, dia wajib melakukan tarjih hingga menetapi satu hukum syariat. Bagi seorang muqallid, kedudukan dua orang mujtahid yang mengeluarkan pendapat (hukum syariat) yang bertentangan, tidak ubahnya dengan seorang mujtahid yang menghadapi dua dalil yang bertentangan. Seperti halnya seorang mujtahid yang perlu mentarjih dua dalil yang bertentangan tersebut, seorang muqallid juga wajib mentarjih dua pendapat yang dikeluarkan oleh dua orang mujtahid.
Seorang muqallid dilarang memilih salah satu pendapat di antara pendapat-pendapat yang ada menurut kehendak dan hawa nafsunya. Jika hal semacam ini diperbolehkan bagi seorang muqallid, tentunya seorang penguasa atau hakim juga boleh memutuskan suatu perkara berdasarkan kehendak dan hawa nafsunya, padahal hal ini jelas-jelas bertentangan dengan ijmak sahabat dan nas yang sharih. Allah SWT berfirman,
“Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” (TMQ Al-Maidah: 49).
Atas dasar itu, jika seorang muqallid dihadapkan pada perbezaan dan perselisihan pendapat antara dua orang mujtahid, dia wajib mengembalikan perselisihan dan perbedaan pendapat itu kepada Allah dan Rasul-Nya, yakni merujuk kepada pendapat yang lebih rajih (kuat). Sesungguhnya, mengembalikan perselisihan dan perbezaan pendapat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya akan menjauhkan seorang muqallid dari mengikuti hawa nafsu dan syahwat.
Walhasil, seorang muqallid wajib melakukan tarjih jika dihadapkan pada dua pendapat yang bertentangan. Dengan kata lain, dia wajib memilih satu pendapat berdasarkan kaedah tarjih yang diredhai Allah SWT dan Rasul-Nya sebab dia tidak mungkin beramal dengan dua hukum yang saling bertentangan tanpa melakukan tarjih terlebih dahulu. Adapun mengenai cara-cara muqallid melakukan tarjih diterangkan dalam tulisan berikutnya.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah- kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat