[Kaedah-Kaedah Taklid] Seorang Muqallid Boleh Mengajarkan Ilmu yang Dia Ketahui
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Seorang muqallid, selain boleh bertanya atau bertaklid terhadap seorang mujtahid dalam masalah- masalah tertentu, dia juga diperbolehkan belajar dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Tidak ada larangan baginya untuk mengajarkan hukum syariat yang telah diketahuinya kepada orang lain.
Jika seorang muqallid telah mengadopsi hukum syariat yang diistinbatkan oleh seorang mujtahid, menyakini kebenarannya, dan menjadikannya sebagai hukum syariat atas dirinya, dia wajib beramal sesuai dengan hukum syariat tersebut. Dia dilarang beramal dengan hukum syariat lain yang diistinbatkan oleh mujtahid lain sebab hukum syariat bagi dirinya adalah hukum syariat yang telah dia tetapkan dan dia yakini kebenarannya.
Sedangkan hukum syariat yang berbeza dengan hukum syariat yang diadopsinya, bukanlah hukum syariat (hukum Allah) bagi dirinya. Oleh kerana itu, seorang muqallid tidak boleh mengajarkan kepada orang lain, hukum syariat yang berbeza dengan apa yang telah diadopsinya agar orang lain tersebut beramal dengan pendapat itu. Bahkan dia tidak boleh menyatakan bahawa pendapat tersebut adalah pendapat dirinya sebab hukum syariat yang tidak dia yakini kebenarannya bukanlah hukum syariat bagi dirinya.
Hanya saja, seorang muqallid yang telah mengetahui suatu hukum wajib mengajarkannya kepada orang lain. Dia boleh mengajarkan apa saja yang dia ketahui kepada orang lain, tetapi dia tidak boleh memerintahkan orang lain untuk beramal dengan hukum yang tidak diadopsi menjadi pendapatnya.
Dia hanya boleh mengatakan bahawa `hukum ini menurut ulama ini adalah begini, sedangkan yang lain adalah begini, sedangkan menurut saya yang benar adalah pendapat ulama ini’. Ini kerana jika dia memerintahkan seseorang beramal dengan hukum yang tidak diadopsinya, sama ertinya dia memerintahkan seseorang untuk beramal tidak dengan syariat Allah atas hak dirinya.
Misalnya, seorang muqallid telah mengadopsi pendapat bahawa nikah tanpa wali adalah sah. Bererti hukum syariat bagi dirinya adalah nikah tanpa wali sah. Tatkala dirinya telah mengadopsi hukum ini, bermakna dia wajib beramal dengan hukum tersebut dan tidak boleh beramal dengan hukum lain, misalnya nikah sah tanpa wali. Dia juga tidak boleh mengajarkan “hukum nikah tanpa wali tidak sah” kepada orang lain agar orang lain itu beramal dengan hukum tersebut sebab “hukum nikah tanpa wali tidak sah” bukanlah hukum syariat bagi dirinya. Jika dia menyuruh orang untuk beramal dengan hukum ini, sama ertinya dia menyuruh orang lain untuk berbuat tidak dengan hukum Allah atas hak dirinya.
Benar, seorang muqallid wajib menyampaikan semua hukum yang dia ketahui kepada orang lain. Dia dilarang menyembunyikan atau merahsiakan ilmu kepada orang lain. Dalam satu hadis dituturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Siapa saja yang ditanya tentang suatu ilmu yang diketahuinya, kemudian dia menyembunyikan ilmu tersebut maka dia akan diberi tali kendali pada hari kiamat dengan tali kendali dari api.” (HR Tirmidzi).
Kata “ilmu” di sini bersifat umum, mencakup semua ilmu yang dia ketahui, baik sedikit mahupun banyak. Seorang muslim dilarang menyembunyikan ilmu yang dia ketahui kepada orang lain.
Hanya saja, orang yang belajar kepada pengajar tidak dianggap bertaklid kepada pengajar itu, dia tetap muqallid kepada mujtahid yang menggali hukum syariat yang diajarkan oleh pengajar tersebut. Pengajar tersebut hanya berkedudukan sebagai pengajar, tidak lebih sebab taklid tidak pernah terjadi kecuali kepada seorang mujtahid. Walaupun pengajar tersebut memiliki kemampuan ilmu yang luar biasa, bahkan disebut ulama, tetapi orang yang diajari tetap tidak boleh taklid kepada sang pengajar itu. Orang yang diajari hanya boleh belajar kepada sang pengajar, tetapi tidak boleh bertaklid kepadanya.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat