Adakah Kemandirian Wanita akan Membawa pada Kemuliaan?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Naratif kemandirian wanita terus dilaungkan di negeri ini dan perkara ini cukup mengiurkan kaum Muslimah. Kemandirian wanita dikatakan dapat mengatasi segala permasalahan yang menimpa kaum wanita termasuklah Muslimah. Tetapi, benarkah demikian?
Faktanya, hari ini kehidupan kaum wanita masih belum beranjak dari kemunduran. Kemiskinan, keganasan, diskriminasi dan berbagai masalah lain yang selama ini dikatakan sebagai “masalah wanita”, tetap saja melekat dalam kehidupan kaum wanita, bahkan umat Islam secara keseluruhan. Ironinya, masih ramai yang percaya bahawa gagasan kemandirian wanita merupakan jawapan tuntas bagi masalah yang menimpa kaum wanita.
Penerapan sistem sekular kapitalisme terbukti membawa kemudaratan yang luar biasa. Kemiskinan, ketidakadilan, jurang sosial, keganasan, penghambaan, kezaliman dan sebagainya menjadi potret suram majoriti masyarakat di berbagai belahan dunia. Kebanyakannya dikapitaliskan hanya demi memutar roda perekonomian sebuah negara. Bukannya semakin terjamin hak kewangan dan keamanannya, malah kaum wanita makin terjebak dalam kemiskinan berstruktur yang dicipta oleh sistem kapitalisme global dan dikukuhkan oleh penguasa.
Dalam situasi ini, kaum wanita sebenarnya diperdaya oleh agenda-agenda pemerkasaan dengan dalih kononnya ingin mewujudkan kemandirian wanita yang mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga. Kesannya, wanita memikul beban berganda yang membuatkan tugas utamanya tidak berjalan dengan optimum.
Tahap tekanan juga semakin meninggi. Interaksi para ibu dengan anak juga semakin berkurang. Akibatnya, generasi umat Islam hari ini semakin tidak jelas warnanya. Mereka membesar dalam keluarga yang tidak menyokong pembentukan peribadi-peribadi Istimewa sebagaimana yang Islam inginkan iaitu generasi berkeperibadian Islam yang bersedia memimpin peradaban cemerlang pada masa hadapan.
Berpijak pada Sangkaan
Pemerkasaan wanita versi kaum feminis yang diarahkan pada kemandirian wanita sesungguhnya tegak di atas sangkaan yang salah tentang nilai peranan domestik wanita. Mereka beranggapan bahawa peranan domestik merupakan peranan yang tidak strategik, tidak bernilai ekonomi dan menjadi penjara bagi wanita untuk maju.
Oleh kerana itu, agar wanita boleh maju dan seiring dengan lelaki, mereka perlu dibebaskan dari peranan ini. Mereka perlu disokong untuk meningkatkan peranan umumnya. Mereka perlu berkecimpung secara aktif dan luas di berbagai bidang kehidupan, terutamanya bidang ekonomi dan politik. Ini sebenarnya sesuai dengan pandangan mereka yang rosak tentang konsep kebahagiaan dan piawaian prestij yang tegak di atas prinsip untuk meraih sebanyak-banyaknya kebendaan.
Pemerkasaan politik wanita ala feminis sebagai penyelesaian tuntas atas masalah wanita hanya membataskan maksud politik pada kekuasaan dan perundangan saja. Justeru, hala tuju pemerkasaan politik hanya ditafsirkan sebagai usaha melibatkan wanita dalam dua bidang tersebut.
Nyatanya, fakta politik bukanlah begitu. Keberadaan wanita di bidang tersebut sama sekali tidak berkorelasi positif dengan penyelesaian masalah wanita. Penentunya justeru adalah ada atau tidaknya perspektif yang seragam dan benar di seluruh bidang kehidupan masyarakat. Dengan begitu, masing-masing individu di dalamnya -apa pun status dan kedudukannya- mengetahui secara pasti tujuan-tujuan luhur yang perlu diperjuangkan secara bersama serta untuk kepentingan bersama.
Dari aspek ideologi, faktanya feminisme merupakan gagasan yang rosak. Gagasan ini tegak atas akidah yang rosak iaitu fahaman sekularisme yang menafikan peranan agama dalam pengaturan kehidupan. Wajarlah jika cara pandang feminism terhadap fakta-fakta yang dihadapi -sebagai bentuk pemikiran cabangnya- akan rosak dan lemah juga.
Hal ini kelihatan dari gagasan-gagasan yang berbicara mengenai persoalan wanita, hakikat seorang wanita, peranan dan fungsinya dalam kehidupan serta perjalanan mereka dalam bidang ekonomi dan politik, dalam kekuasaan dan juga perundangan. Pada akhirnya, semuanya cenderung serba tidak jelas , pragmatik dan tidak memberikan penyelesaian.
Lalu, layakkah kita berharap bahawa pemerkasaan wanita versi feminisme yang mengarah pada kemandirian wanita dapat menyelesaikan masalah wanita?
Tidak Perlu
Tidak sedikit kaum wanita yang menyambut baik program kemandirian wanita melalui pemerkasaan ekonomi dan politik wanita. Mereka menilai program ini sebagai jawapan atas kesukaran ekonomi yang mereka tanggung akibat krisis yang terus berlanjut. Faktanya, program-program pemerkasaan ini tidak akan pernah mampu menyelesaikan masalah kejahilan dan kemiskinan bangsa.
Barat memang sangat bernafsu untuk mengeluarkan wanita dari habitat ternyamannya dalam rumah. Mereka juga merosak potensi keibuan dan pengabdian kaum wanita dalam rumahtangga dan umat. Mereka berusaha mengganti peranan wanita hanya pada peranan ekonomi. Lihatlah para Muslimah hari ini. Mereka justeru berbangga dan percaya diri jika mereka mampu mandiri dan menempatkan diri di kedudukan sebagai seorang pegawai atasan pimpinan Perusahaan. Keadaan inilah yang dimanfaatkan musuh-musuh Islam. Mereka memakmurkan wanita dengan kebendaan, tetapi hakikatnya menjauhkan wanita dari tatanan syariat Islam.
Ketika wanita didorong untuk mandiri, tidak memerlukan sesiapa bahkan suaminya sekalipun, ini jelas melawan fitrah. Bagaimanapun, wanita tetap ingin dan perlu dilindungi, ingin dijaga dan mahu tidak mahu perlu bergantung kepada lelaki baik suami atau walinya. Jadi, adakah kebebasan kepada wanita untuk menjadikan dirinya sebagai tulang belakang ekonomi keluarga mampu membawa kepada kebahagiaan? Sama sekali tidak!
Kemandirian wanita bukanlah cara untuk menghilangkan penindasan ke atas wanita atau menegakkan kehormatannya. Idea ini tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh wanita. Buktinya, wanita pernah menjadi pemimpin tetapi adakah permasalahan yang dihadapi mereka dapat diselesaikan? Kita semua tahu jawapannya.
Wanita yang mandiri justeru lebih jauh dari perlindungan. Lihatlah, dari sekian ramai wanita yang bekerja, tidak sedikit yang mengalami gangguan, penganiayaan dan akhirnya ada yang meragut nyawa, pulang hanya tinggal nama.
Begitu juga dengan wanita yang bekerja di negara ini ataupun yang berkecimpung dalam bidang politik. Mereka perlu bergelut dari pagi hingga ke petang, bahkan malam atau dari malam hingga ke pagi. Semuanya demi kemandirian dan kebebasan atas nama kesetaraan.
Apa yang kemudian dia dapatkan? Tentu saja lemahnya tenaga dan fikiran. Buah hati mereka di rumah yang menunggu dengan senyuman dan belaian lembut tangan sang bonda akhirnya perlu menelan kekecewaan. Sang bonda bahkan tidak sempat memberikan senyuman mahupun sekadar sapaan dek kerana anaknya yang sudah tertidur keletihan menunggu kepulangan bonda tercinta. Pagi buta sang bonda sudah perlu berangkat kerja menempuh perjalanan sepi yang menawarkan berbagai ancaman terhadap kehormatan dan keselamatan sang bonda. Lalu, siapakah yang akan melindungi dirinya?
Jelaslah, program kemandirian wanita ini bukan untuk memperkasakan mereka, melainkan hanya untuk memperdayakan kaum wanita. Program ini juga boleh membawa wanita menjadi pemutar roda industri kapitalisme serta sasaran pasaran dengan alasan untuk mengurangkan kemiskinan atau pemulihan ekonomi. Program ini tidak lain hanyalah alat untuk mengekalkan hegemoni kapitalisme dunia sekaligus menjauhkan umat Islam dari fahaman Islam dan aturannya. Sudah sepatutnya perkara ini dijauhkan dari umat.
Pemerkasaan Perspektif Islam
Islam telah menempatkan wanita dan lelaki pada kedudukan yang mulia. Islam telah memberikan peranan dan kedudukan yang Istimewa buat keduanya. Ketika kedua-duanya mampu menjalankannya sesuai tuntutan Islam, sesungguhnya kemuliaan dan kebahagiaan akan dapat diraih.
Ketika seorang Muslimah mampu menjalankan peranan utamanya sebagai ‘umm[un] wa rabbah al-bayt’ secara maksimum, serta melaksanakan kewajipannya sebagai bahagian dari masyarakat, maka kemuliaan juga akan dapat diraih.
Kerana itu, arah pemerkasaan wanita menurut perspektif Islam adalah usaha pencerdasan Muslimah sehingga mampu berperanan untuk menyempurnakan seluruh kewajipannya yang datang dari Allah SWT., baik dalam peranan utamanya sebagai ‘umm[un] wa rabbah al-bayt’ , mahupun peranannya dalam masyarakat. Ke situlah aktiviti pemerkasaan wanita akan diarahkan. Islam tidak hanya mengatur peranan wanita, tetapi juga menjamin agar peranan tersebut dapat direalisasikan secara sempurna melalui rangkaian hukum yang bersifat praktikal.
Hanya saja, ketika membahas tentang pemerkasaan wanita, kita tidak boleh memandang wanita sebagai masyarakat yang terpisah dari lelaki. Keduanya merupakan bahagian dari masyarakat yang hidup saling berdampingan, baik dalam keluarga ataupun di tengah masyarakat. Usaha pemerkasaan keduanya tidak boleh lari dari usaha pemerkasaan anggota masyarakat secara keseluruhan sesuai sudut pandang Islam. Jadi, langkah apa yang perlu ditempuh?
Langkah yang perlu dilakukan oleh seluruh kaum muslim -lelaki mahupun wanita-, tidaklah berbeza. Keduanya adalah bahagian dari masyarakat yang tidak terpisah antara satu sama lain. Langkah awal yang perlu kita lakukan adalah mengubah cara fikir kita dan umat dengan tsaqafah Islam. Dengan itu, umat akan berfikir dan berbuat dengan cara dan landasan yang benar iaitu akidah Islam.
Caranya adalah dengan membina diri kita dan umat dengan pemahaman Islam yang lurus. Pemikiran dan hukum-hukum Islam ini tidak boleh hanya dipandang sebagai informasi. Ia perlu dijadikan asas pijakan untuk menyikapi setiap fakta yang dihadapi dengan tepat dan benar berdasarkan sudut pandang aturan Illahi.
Dengan pembinaan ini, terbentuklah pemahaman Islam di tengah-tengah umat. Pemahaman Islam ini kemudian akan memberi pengaruh pada perilaku dan mendorong dirinya untuk sedia bergerak menyampaikan dakwah Islam, redha diatur hukum-hukum Islam, juga sentiasa berusaha agar aturan Allah dan Rasul-Nya tegak di muka bumi ini. Hanya dengan sistem Islamlah kita akan mampu meraih kemajuan iaitu sebagai umat terbaik di muka bumi ini. Wallahualam.