[Syarah Hadis] Kewajipan Nafkah
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
“Cukuplah dikira berdosa apabila seseorang yang mengabaikan orang yang berada dibawah tanggungannya.” [HR Abu Dawud, Ahmad, An-Nasai, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ath-Thabarani].
Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi yang berbeza. Rasulullah SAW bersabda,
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْماً أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ
“Cukuplah dianggap berdosa seseorang yang tidak memberi nafkah orang yang berada di dalam tanggungannya.” [HR Muslim dan Ibnu Hibban].
As-Sindi seperti yang dinukilkan oleh Abu Thayyib di dalam ‘Awn al-Ma’bûd berkata demikian , “Frasa man yaqûtu dari kata qâtahu, iaitu seseorang memberi dia makan. Mungkin dijadikan berasal dari at-taf’îl. Itu sesuai dengan riwayat: man yuqîtu, dari kata aqâta, iaitu orang-orang yang nafkahnya menjadi kewajipannya. Mereka adalah isterinya, keluarganya, dan hamba sahayanya.”
Al-Manawi di dalam Faydh al-Qadîr menjelaskan, man yaqûtu iaitu orang yang mesti ditanggung makannya. Az-Zamakhsyari mengatakan, “qâtahu yaqûtuhu jika dia memberinya makan … wa aqâta ‘alayhi maka dia muqîtun jika dia menjaga dan mengawalnya.”
Al-Manawi mengatakan, “Ini jelas tentang kewajipan menafkahi orang-orang yang menjadi tanggungan seseorang kerana dikaitkan dengan dosa jika ditinggalkan. Walaupun begitu, hal itu adalah dituju kepada orang yang berkelapangan, bukan orang yang kesusahan. Oleh kerana itu, orang yang mampu berusaha menafkahi keluarganya hendaklah tidak menelantarkan mereka. Jadi atas sebab bimbang mengenai keterlantaran mereka, dia dipaksa mencari rezeki untuk mereka. Namun begitu, hendaklah dia mencari rezeki untuk mereka dalam kadar kemampuannya.”
Di antara hukum yang ditunjukkan oleh hadis di atas adalah kewajipan seseorang menafkahi orang-orang yang menjadi tanggungannya. Ash-Shan’ani di dalam Subûl as-Salâm mengatakan bahawa, “Hadis tersebut merupakan dalil atas kewajipan nafkah bagi manusia untuk orang-orang yang ada dalam tanggungannya sebab tidak menjadi dosa kecuali meninggalkan apa yang telah diwajibkan atas dirinya. Orang-orang yang menjadi tanggungannya dan orang-orang yang dia tanggung makannya adalah mereka yang wajib dinafkahi, iaitu isterinya, anak-anaknya, dan hamba sahayanya.”
Hadis di atas menyatakan kewajipan nafkah berbentuk makanan. Namun demikian, yang wajib bukan hanya makanan, tetapi semua keperluan asas dan keperluan lain untuk hidup secara makruf (layak) sesuai kelayakan di dalam masyarakat. Allah SWT berfirman,
“Kewajipan ayah untuk memberi makan dan pakaian kepada para ibu secara layak. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].
“Tempatkanlah mereka (para isteri) di tempat kalian tinggal menurut kemampuan kalian.” [TMQ Ath-Thalaq (65): 6].
Nafkah ini juga meliputi keperluan lain menurut kehidupan yang selayaknya di dalam masyarakat. Ini ditunjukkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah (RA). Disebutkan bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan, pernah berkata kepada Nabi SAW, “Sungguh Abu Sufyan orang yang kedekut. Dia tidak memberiku nafkah yang mencukupi diriku dan anakku, kecuali apa yang aku ambil dari dia, sedangkan dia tidak tahu.”
Dalam riwayat Abu Dawud disebutkan bahawa Hindun bertanya, “Apakah ada dosa atas diriku jika aku mengambil sesuatu dari hartanya?”
Rasul SAW lalu bersabda kepada Hindun,
“Ambillah apa yang mencukupi dirimu dan anakmu secara layak.” [HR Al-Bukhari, Abu Dawud, An-Nasai, Ibnu Majah, dan Ahmad].
Frasa “apa yang mencukupi dirimu dan anakmu secara layak” bermakna mutlak dan bersifat umum, hanya dibatasi dengan batasan bil makrûf (secara layak). Hal itu menunjukkan bahawa apa yang mencukupi itu tidak terbatas pada keperluan asas berbentuk makanan, tempat tinggal, dan pakaian, tetapi juga keperluan-keperluan lain yang layak sebagaimana kelayakan di dalam masyarakat.
Hadis terakhir ini juga menunjukkan bahawa pemenuhan keperluan secara selayaknya merupakan kewajipan seorang lelaki (suami) sekaligus merupakan hak isteri dan anak (juga siapa sahaja yang menjadi tanggungan suami). Ketika tidak terpenuhi, isteri boleh mengambil haknya secukupnya untuk dia dan anak-anaknya dari harta suaminya walaupun tanpa pengetahuan atau izin dari suaminya itu. Hak itu tentu tidak terbatas untuk isteri sahaja, tetapi juga untuk anak dan siapa sahaja yang nafkahnya menjadi tanggungan orang itu, atas dasar kesamaan hak mereka.
Hal itu menunjukkan betapa pentingnya pemenuhan keperluan asas dan keperluan untuk hidup secara layak di dalam masyarakat. Kebolehan isteri mengambil harta suaminya tanpa izin atau tanpa pengetahuan suami, untuk pemenuhan keperluan dia dan anaknya, itu menunjukkan hukum Islam ke atas jaminan pemenuhan keperluan asas bagi setiap individu. Ini baru sebahagian.
Untuk memastikan pemenuhan nafkah untuk keluarga itu, Islam antara lain mewajibkan lelaki yang mampu agar bekerja. Dorongan sangat besar juga diberikan untuk pemenuhan nafkah keluarga itu. Islam telah menetapkan bahawa pembelanjaan untuk nafkah keluarga lebih agung pahalanya dibandingkan dengan infak fi sabilillah, membebaskan hamba, dan sedekah kepada orang miskin. Rasul SAW bersabda,
“Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu, yang paling agung pahalanya adalah yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu.” [HR Muslim].
Wallahu’alam bissawab.