[SOAL JAWAB] HUKUM MEMBAYAR HUTANG DENGAN BARANG
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, jika seseorang meminjam RM2000 dari seseorang, bolehkah sebahagian hutangnya dibayar pakai motosikal yang nilai semasanya RM1000 dan menjadikan baki hutangnya sebanyak RM1000. Adakah sah hutang dibayar dengan motosikal (atau barang lain) seperti itu?
Jawapan:
Pembayaran hutang dengan barang, misalnya dengan motosikal seperti pertanyaan di atas, oleh para ulama disebut dengan istilah bai’u ad-dain (menjual piutang), atau tamlīk al-dain li al-madīn, iaitu memindahkan hak milik piutang dari milik pihak pemberi hutang menjadi milik pihak yang berhutang. (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 21/126; 27/334).
Contohnya, A mempunyai hutang kepada B sebanyak RM1000. Dengan kata lain, B mempunyai piutang di A sebanyak RM1000. Kemudian B membeli HP milik A dengan harga RM1000, namun B tidak membayar A dengan wang tunai, melainkan membayar dengan piutang milik B yang ada di A tersebut.
Bolehkah akad muamalah yang disebut bai’u ad-dain (menjual piutang) tersebut? Jawapannya, ada ikhtilāf ulama mengenai hukumnya, namun pendapat yang rājih adalah pendapat jumhur ulama yang membolehkannya dengan syarat-syarat tertentu. Pendapat jumhur ulama yang dimaksud adalah pendapat fuqaha` mazhab yang empat (mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali), yang juga merupakan pendapat Ibnu ‘Umar, Al-Hasan Al-Bashri, Thawus, Az-Zuhri, Qatadah, Asyhab, Ibnu Taimiyah, dan lain-lain. (Khalid Muhammad Turban, Bai’u Al-Dain Ahkāmuhu wa Tathbīqātuhu Al-Mu’āshirah, hlm. 27; Usāmah bin Humūd bin Muhammad Al-Lāhim, Bai’u Al-Dain wa Tathbīqātuhu Al-Mu’āshirah fī Al-Fiqh Al-Islāmī, Juz I, hlm. 125).
Dalil yang membolehkan bai’u ad-dain (menjual piutang) antara lain hadis dari Ibnu Umar RA, bahawa dia berkata :
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضَيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ كُنْتُ أَبِيعُ الْإِبِلَ بِالدَّنَانِيرِ [أي مُؤَجَّلاً] وَآخُذُ الدَّرَاهِمَ، وَأَبِيعُ بِالدَّرَاهِمِ وَآخُذُ الدَّنَانِيرَ، فَسَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَقاَلَ لَا بَأْسَ أَنْ تَأْخُذَهَا بِسِعْرِ يَوْمِهَا مَا لَمْ تَفْتَرِقَا وَبَيْنَكُمَا شَيْءٌ“
Saya dulu menjual unta dengan dinar (iaitu dibayar dengan ansuran atau tidak penuh) namun saya mengambil (harganya) dengan dirham. Dulu saya juga menjual unta dengan dirham (secara ansuran, atau tidak dibayar penuh) namun saya mengambil (harganya) dengan dinar. Lalu saya bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai jual beli itu, maka Rasulullah SAW bersabda, “Tidak mengapa kamu mengambil harga unta dengan harga pada hari itu (hari jatuh tempoh), selama kalian berdua (penjual dan pembeli) tidak berpisah sementara di antara kalian berdua masih ada sesuatu (baki pembayaran hutang).” (HR. Ahmad, no. 6239; Abu Dāwud, no. 3354; An-Nasā`ī, no 4582; Tirmidzī, no 1242; dan Ibnu Mājah, no. 2262).
Hadis ini menunjukkan bolehnya menjual (atau menukar) sesuatu yang berada dalam tanggungan, iaitu piutang berupa wang dinar, dengan wang dirham, atau sebaliknya, jika : (1) pihak pembelinya (al-musytari) adalah pihak yang berhutang (al-madīn), (2) harganya dibayar penuh (hālan), serta (3) terjadi serah terima (al-qabdh) di majlis akad. Inilah yang menjadi taqrīr dari Rasullullah SAW untuk bai’u ad-dain (menjual piutang) dengan objek akad berupa mata wang (an-nuqūd) dalam hukum sharaf (penukaran wang). (Khalid Muhammad Turban, Bai’u Al-Dain Ahkāmuhu wa Tathbīqātuhu Al-Mu’āshirah, hlm. 27; Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādī fī Al-Islām, hlm. 268, Abdus Sami’ Ahmad Imam, Nazharāt fī Ushūl Al-Buyū’ Al-Mamnū’ah, hlm. 177).
Jumhur ulama kemudian berhujjah dengan hadis ini untuk membolehkan bai’u ad-dain (menjual piutang) dengan objek akad untuk barang-barang lain di luar mata wang (an-nuqūd), dengan berkata :
وَإِذَا جاَزَ بَيْعُ أَحَدِ النَّقْدَيْنِ بِالْآخَرِ جاَزَ بَيْعُ غَيْرِهِماَ مِمَّا ثَبَتَ فِي الذِّمَّةِ بِطَرِيْقِ اْلأَوْلىَ
“Jika dibolehkan jual beli satu jenis mata wang dengan mata wang lainnya yang berada dalam tanggungan, maka tentu lebih dibolehkan untuk selain mata wang.” (‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz Al-Matrak, Al-Ribā wa Al-Mu’āmalāt Al-Mashrifiyyah, hlm. 289).
Kesimpulannya, boleh hukumnya membayar hutang dengan motosikal seperti pertanyaan di atas, kerana hal itu termasuk bai’u ad-dain (menjual piutang) yang telah dibolehkan oleh jumhur ulama.
Wallāhu a’lam.