[SOAL JAWAB] KERJASAMA USAHA PEMILIK TANAH LATIHAN BERKUDA DENGAN PEMILIK KUDA
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Assalamualaikum wbt.
Ustaz, saya ingin bertanya, apakah bentuk kerjasama yang syarie? Kawan saya mempunyai tanah yang dijadikan sebagai tempat latihan berkuda dan juga kandangnya. Manakala saya yang menyediakan kuda, merawat atau menjaga kuda dan juga yang melatih orang berkuda. Bagi kerja-kerja pemasaran dan program, kami bekerja bersama-sama. Adakah wajar sekiranya kawan saya meminta 70 persen untuk bahagiannya dan 30 persen bahagian untuk saya. Mohon saranan dan pandangan dari Ustaz.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalam wbt.
Akad syirkah yang dapat diterapkan dan tepat untuk kerjasama di atas adalah syirkah ‘inan, yang definisinya adalah:
شِرْكًةُ الْعِنَانِ هِيَ أَنْ يَشْتَرِكَ بَدَناَنِ بِماَلَيْهِماَ وَالرِّبْحُ بَيْنَهُماَ
“Syirkah ‘inan adalah bersyirkah antara dua pihak yang keduanya sama-sama bekerja dan memberikan modal, dengan keuntungan yang dibahagikan di antara keduanya.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 150).
Jadi Syirkah ‘Inan itu adalah syirkah antara dua pihak atau lebih yang masing-masing terlibat dalam kerja (‘amal) dan modal (māl). Misalnya: A dan B bersyirkah, masing-masing memberi modal RM50 ribu, dan keduanya sama-sama bekerja. Kemudian A dan B sepakat bahawa keuntungan (laba) dari usaha mereka, dibahagi dengan 50:50, sesuai kesepakatan di antara mereka.
Terdapat beberapa ketentuan syariah dalam Syirkah ‘Inan, iaitu:
Pertama, modal wajib dalam bentuk wang (al-nuqūd);
Kedua, barang (‘urūdh), misalnya rumah, tanah, kuda, dan sebagainya, tidak boleh dijadikan modal syirkah, kecuali jika barang itu dihitung nilainya (qīmah al-‘urūdh) dan disebutkan pada saat akad syirkah.
Ketiga, keuntungan (laba, al-ribhu) didasarkan pada kesepakatan di antara kedua pihak. Keempat, kerugian ditanggung oleh masing-masing pihak (syarīk) berdasarkan bahagian modal. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 150-152).
Ketentuan syariah mengenai pembahagian rugi (loss sharing) dan pembahagian hasil (profit sharing) dalam syirkah ‘inan, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abdur Razaq dalam kitab Al-Jâmi’, bahawa Ali bin Abi Thalib RA pernah berkata:
الوَضِيْعَةُ عَلَى الْمَالِ وَ الرِّبْحُ عَلَى مَا اصْطَلَحُوا عَلَيْهِ
“Kerugian didasarkan atas besarnya modal, sedangkan keuntungan didasarkan atas kesepakatan di antara mereka (pihak-pihak yang bersyirkah).” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, hlm. 151).
Berdasarkan beberapa ketentuan syariah dalam syirkah ‘inan tersebut, jika kita terapkan untuk syirkah yang ditanyakan oleh penanya di atas, kami mencadangkan beberapa poin sebagai berikut:
Pertama, dalam syirkah ‘inan yang dipertanyakan, pihak pertama, menyerahkan modal berupa: tanah dan kendang kuda, dan wajib disebutkan nilainya (berapa ribu jika dijual) pada saat akad syirkah.
Kedua, pihak pertama itu bekerja dalam syirkah, dengan pekerjaan berupa pemasaran program latihan berkuda.
Ketiga, pihak kedua, menyerahkan modal berupa kuda, dan wajib disebutkan nilainya (berapa ribu jika dijual) pada saat akad syirkah.
Keempat, pihak kedua bekerja dalam syirkah, iaitu memberi pelatihan berkuda, melakukan perawatan kuda dan pemasaran program latihan berkuda.
Kelima, keuntungan (laba) dibahagi di antara pihak pertama dan pihak kedua, berdasarkan kesepakatan di antara mereka berdua. Peratusan laba masing-masing boleh mengacu pada peratusan modal masing-masing.
Keenam, keuntungan (laba) adalah pendapatan yang telah ditolak beban atau kos, misalnya kos untuk makanan kuda.
Ketujuh, jika berlaku kerugian, maka kerugian dibahagi di antara kedua pihak berdasarkan kadar peratusan modal masing-masing.
Wallahu a’lam.