[Keluarga] Bahtera Kita Akan Berlabuh Menuju ke Syurga
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Setiap orang yang beriman pastinya mengharapkan syurga sebagai tempat kembali yang kekal abadi. Bukan hanya untuk bersendirian, malah ingin dipertemukan di syurga bersama seluruh ahli keluarga. Seorang suami ingin sentiasa bersama isteri dan anak-anaknya, baik di dunia mahupun di akhirat kelak, mereka mahu bersama di syurgaNya, begitu juga sebaliknya.
Sudah tentu, harapan ini tidak berlaku serta-merta. Namun, setiap pasangan dan keluarga Muslim harus berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Walaupun pada saat ini kita tidak dapat merasai syurga tetapi Allah SWT telah menggambarkan keadaan kehidupan di tempat yang mulia itu. Syurga tempat kembali orang-orang beriman yang dipenuhi dengan kenikmatan sebenar.
Janji Allah bagi Orang-Orang Beriman
Allah SWT juga telah menjelaskan bahawa di akhirat kelak, setiap ibu bapa akan bersama-sama dengan anak-anak dan keturunannya di dalam syurgaNya. Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.” [TMQ At-Tur (52): 21].
Dalam tafsir Ibnu Katsir dijelaskan, Allah SWT menceritakan tentang nikmat, pemberian, dan kebaikanNya kepada makhlukNya. Orang-orang yang beriman itu, jika anak-anak mereka mengikut mereka dalam urusan keimanan, nescaya anak-anak mereka akan mengikut mereka dalam kedudukan yang sama, walaupun anak-anak mereka belum mencapai tahap amal yang sama dengan mereka. Oleh itu, hati dan pandangan para ayah berasa sejuk dengan pertemuan mereka dengan anak-anak mereka sehingga mereka dapat bersatu dalam keadaan yang terbaik dalam segala hal. Allah SWT telah menghilangkan kekurangan amal dan menggantikannya dengan amal yang sempurna, tanpa mengurangi amal dan kedudukan yang sempurna, memandangkan adanya persamaan di antara mereka.
As-Sauri telah meriwayatkan daripada Amr bin Murrah, daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu Abbas yang berkata bahawa sesungguhnya Allah SWT benar-benar mengangkat anak cucu orang mukmin menjadi sedarjat dengannya, walaupun amal mereka berada di bawahnya sehingga dengan keberadaan mereka bersama anak-anak mereka menjadi senang. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat ini [TMQ Ath-Thur(52): 21]. Menurut Al-Qurthubi, ketakwaan seseorang itu boleh jadi disebabkan oleh ketakwaan datuk dan moyangnya. Oleh kerana itu, Ibn al-Musayyib berkata kepada anaknya, “Sesungguhnya aku akan memperbanyakkan sembahyangku kerana kamu, dengan harapan aku akan dilindungi, begitu juga kamu.”
Dari Ibnu Abbas, Nabi SAW menyebutkan, “Apabila seseorang itu masuk syurga, dia akan ditanya tentang ibu bapanya, isterinya, dan anak-anaknya. Maka dikatakan, ‘Sesungguhnya mereka belum dapat mencapai darjat kamu.’ Maka dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah beramal untuk diriku sendiri dan juga untuk mereka.’ Maka diperintahkan supaya mereka dihubungkan (bergabung) dengannya.” Setelah itu Ibnu Abbas RA membaca firmanNya, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan,” [TMQ Ath-Thur(52): 21] , hingga akhir ayat.
Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas berhubung dengan ayat ini, “Barangsiapa yang anak cucunya beriman, kemudian mengerjakan amal ketaatan kepadaKu, maka Aku akan menghubungkan keturunannya dengan mereka di syurga, begitu dengan anak-anak mereka yang masih kecil”.
Dari beberapa penjelasan tafsir dan hadis Rasulullah SAW. Dari sini jelaslah bahawa bukan sahaja di dunia ini, keberkatan ibadah ibu bapa juga sampai ke akhirat untuk anak-anak mereka. Di akhirat kelak, ketakwaan ibu bapa dapat meninggikan darjat syurga anak-anaknya. Namun, ketakwaan ibu bapa tidak serta merta menjadi jaminan kebahagiaan anak mereka tanpa syarat. Jika seorang anak melakukan dosa, maka dia akan masuk ke neraka terlebih dahulu. Di dalam Al-Tahrir wa al-Tanwir Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa pilihan lafaz أَلْحَقْنَا yang bermaksud “kami pertemukan mereka”, adalah untuk menunjukkan kefahaman bahawa kemungkinan anak-anak mereka akan dimasukkan terlebih dahulu ke neraka untuk membersihkan. dosa-dosa mereka, kemudian mereka akan dikembalikan. ke syurga setaraf ibu bapanya. Ini adalah anugerah Allah SWT bagi mereka yang beriman.
Keluarga Muslim Hendaklah Berusaha Meraih Syurga
Syurga tidak dapat dicapai dengan mudah, tetapi memerlukan pelbagai usaha dan kerja keras. Sudah tentu semuanya mesti dipatuhi mengikut peraturan yang dikehendaki oleh Yang Maha Pembuat Hukum dan tidak boleh menyalahinya. Tegasnya Allah SWT memerintahkan ibu bapa, terutama suami, untuk menjaga diri dan keluarga mereka daripada api neraka. Ini sebagaimana firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahrim(66): 6].
Ibu bapa pastinya memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa keluarga mereka ke syurga Allah dan menghindarkan keluarga mereka dari ganasnya api neraka. Kedua-duanya juga mestilah menjadikan keluarga sebagai taman syurga untuk semua ahli keluarga. Apakah yang boleh kita lakukan untuk mencapai syurgaNya bersama keluarga kita?
- Mencintai Allah di atas segalanya dan berusaha memeliharanya.
Keluarga Muslim yang mencintai Allah melebihi segalanya akan patuh dan tunduk kepada apa yang dikehendaki oleh Zat yang dicintainya. Cinta kita kepada Allah SWT bukan sekadar ungkapan lisan, tetapi mestilah dibuktikan dengan sikap dan tingkah laku. Perasaan cinta ini harus terus disuburkan dalam diri semua ahli keluarga. Demikianlah, keluarga akan menjadi tempat yang istimewa untuk semua ahli keluarga.
Cinta yang sepenuhnya kepada Allah SWT akan menjadikan Allah tempat bergantung kepada keluarga Muslim. Ini bermakna menjadikan syariat Islam sebagai panduan dan penyelesaian kepada segala permasalahan yang berlaku dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram akan dijadikan landasan, bukan hawa nafsu. Di sinilah pentingnya semua ahli keluarga khususnya ibu bapa mengukuhkan kefahaman tentang syariat Islam dan berusaha sedaya upaya melaksanakannya mengikut petunjuk Allah dan RasulNya.
Dalam perjalanan rumah tangga, perbezaan pendapat dan perselisihan boleh berlaku antara ahli keluarga. Namun, dengan menjadikan syariat Islam yang sempurna dan tidak lekang oleh waktu sebagai asas untuk mendirikan rumah tangga, semua ini dapat diatasi. Dengan cara ini, keberkatan dan kesejahteraan akan sentiasa diberikan kepada kita sekeluarga. Seterusnya, kita dan pasangan serta semua anak-anak kita akan tiba di pelabuhan terakhir iaitu syurgaNya.
- Menjadikan akhirat sebagai orientasi kehidupan berkeluarga.
Daripada Zaid bin Tsabit RA, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan fakir di kedua sudut matanya, dan dia tidak akan memperoleh dunia, kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang tujuan hidupnya adalah akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya, menjadikan harta dalam hatinya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina.” [HR Ahmad].
Daripada hadis ini, terdapat tiga kerugian yang akan dialami oleh orang yang menjadikan dunia sebagai orientasi hidupnya. Sebaliknya, terdapat tiga kelebihan bagi orang yang menjadikan akhirat sebagai orientasi kehidupannya dengan tidak meninggalkan dunia ini. Semestinya kita hendaklah berusaha menjadikan akhirat sebagai orientasi hidup kita supaya kita dapat tiga kebaikan ini. Pertama, setiap urusan akan dipermudahkan supaya berjaya dan dijauhkan daripada kegagalan. Kedua, diberi rasa cukup (kaya) dalam hatinya agar sentiasa bersyukur. Ketiga, dia diberi kecukupan dalam hidup. Harta (dunia) akan sentiasa mengejarnya (mendekat). [Lihat: TMQ Asy-Syura(42): 20]. Setiap keluarga Islam hendaklah sentiasa menjadikan akhirat sebagai orientasi hidup mereka agar syurga dapat dicapai. insyaAllah.
- Membina diri dan keluarga dengan tsaqafah Islam.
Dalam apa jua keadaan, menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi umat Islam. Ini boleh dilakukan dengan mempelajari buku tentang Islam atau menghadiri majlis-majlis ilmu. Aktiviti ini boleh dilakukan untuk meningkatkan kefahaman ahli keluarga terhadap agama Islam. Oleh itu, adalah penting untuk membina diri dan keluarga dengan tsaqafah Islam sehingga boleh menjadikan syariat Islam sebagai piawaian kehidupan. Sebagai ketua keluarga, seorang suami atau bapa wajib mendidik isteri dan anak-anak agar semua ahli keluarga terpelihara daripada api neraka. Begitu juga seorang isteri atau ibu, selain berperanan sebagai pendamping suami, dia juga berperanan sebagai pengasuh dan pendidik utama kepada anak-anaknya.
Lebih-lebih lagi, jika aktiviti ini dilakukan bersama keluarga, pastinya lebih menyeronokkan. Kita juga boleh mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam dengan membincangkannya bersama ahli keluarga sehingga semua lebih memahami Islam. Dengan mengikuti pengajian secara rutin, ibu bapa akan lebih mudah mengukuhkan kefahaman Islam anak-anak. Malah mengambil bahagian dalam pengajian rutin bersama-sama boleh memberi peluang untuk membina dan mewujudkan keakraban antara ahli keluarga. Ini akan dilaksanakan dalam keluarga, termasuk jika ada ahli keluarga yang melanggar syariat, lebih mudah untuk diluruskan dan dinasihati.
- Memberi teladan baik kepada anak.
Ibu bapa adalah sosok yang dicontohi oleh anak-anak, baik dalam tutur kata mahupun perbuatan seharian. Jika ibu bapa bertakwa, berpegang teguh kepada syariat, dan dekat dengan Allah SWT, pasti anak-anak akan mencontohi kedua-duanya kerana melihat akhlak dan tabiat baik mereka berdua. Ibu bapa yang soleh akan dapat membentuk anak yang soleh juga. Ini boleh dimulakan dengan menanamkan akidah yang benar dan rasa kecintaan yang paling tinggi hanya kepada Allah dan RasulNya. Ibu bapa juga wajib memperkenalkan syariat Islam dan mendidik anak-anak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Dengan cara ini, mereka sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai dasar untuk melangkah walau di mana sahaja mereka berada.
Ibu bapa yang soleh akan dapat mendampingi dan membimbing anak-anak mereka untuk mencintai Islam dan sanggup melaksanakan syariatnya dengan penuh ketaatan. Akhirnya anak akan menjadi anak yang soleh juga. Bukan ibu bapa sahaja yang mampu membawa anak-anak ke syurga, begitu juga sebaliknya. Sudah tentu, kita semua sangat ingin semua ahli keluarga kita dapat berkumpul bersama di syurgaNya pada yaumil akhir kelak..
- Saling mendoakan.
Kita hendaklah sentiasa mendoakan pasangan dan anak-anak kita pada setiap masa, terutama pada waktu yang mustajab berdoa.. Lebih-lebih lagi apabila kita ditimpa kesusahan, musibah, kemurungan, dan kebimbangan. Mohon agar Allah hapuskan segalanya dan berikan segalanya yang terbaik untuk keluarga kita.
Kekuatan doa isteri merupakan senjata terbesar dan berkesan dalam setiap langkah dan usaha suami. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” [HR Tirmidzi].
Tiada tempat untuk kita memohon pertolongan dan keampunan, melainkan hanya kepada Allah SWT. Pasangan dan anak-anak kita sesungguhnya milik Allah SWT. Dialah yang memegang hati mereka. Semoga Allah menjadikan kita sekeluarga sentiasa taat kepadaNya, sentiasa melindungi pasangan dan anak-anak kita, memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk setiap kesulitan yang kita hadapi, dan memberi rezeki kepada keluarga kita. Semoga Allah memudahkan bahtera kita untuk berlabuh menuju syurgaNya. Amin.