[Keluarga] Memupuk Sifat Empati Sejak Awal Usia
Penulis: Nabila Ummu Anas
Setiap orang sepatutnya memiliki sifat empati, tidak terkecuali anak-anak. Empati adalah kemampuan untuk memahami perasaan yang membolehkan anak-anak dapat menempatkan diri mereka pada kedudukan orang lain, serta memahami emosi dan perasaan orang tersebut. Lebih-lebih lagi pada saat ini, ramai orang yang hidup dalam kesusahan dan penderitaan. Oleh itu, sifat empati sangat diperlukan daripada setiap orang termasuk anak-anak.
Namun, suasana kehidupan kapitalisme telah mendorong manusia sehingga berpola hidup sendiri (individualistik) dan tidak ambil peduli dengan orang lain. Mereka hanya mementingkan diri dan keluarganya sihat dan selamat tanpa mempedulikan nasib orang lain di sekelilingnya.
Oleh kerana itu, perlu ada usaha untuk memupuk rasa empati pada diri seseorang termasuk anak-anak. Memupuk rasa empati juga bererti membuat anak-anak belajar untuk memahami keadaan orang lain.
Empati bukan sekadar membuat anak merasa prihatin, tetapi ia juga mewujudkan perasaan dan pemikiran seolah-olah dirinya berada pada situasi tersebut.
Jika Anak Tidak Mempunyai Empati
Anak-anak akan cenderung bersikap tidak prihatin dengan keadaan di sekelilingnya jika tidak ada rasa empati di dalam diri. Akibatnya, anak-anak tidak mahu dan tidak boleh merasakan penderitaan yang dialami orang lain.
Malah, anak-anak juga mungkin tidak menunjukkan rasa bersalah setelah menyakiti orang lain. Akhirnya, anak-anak lebih suka merendahkan, meremehkan, atau mengecilkan orang lain yang sedang mengalami kesulitan.
Hal ini perlu diberikan perhatian. Jika keadaan ini berterusan dalam diri anak, ia akan mempengaruhi perkembangan keperibadian apabila dewasa kelak. Ibu bapa pastinya tidak mahu anak-anak mempunyai peribadi yang tidak peka, atau tidak mengambil berat dengan musibah yang menimpa orang lain. Ini kerana dia juga akan menerima perlakuan yang sama daripada orang lain.
Islam Mengajak Setiap Muslim untuk Berempati
Rasulullah SAW pada dasarnya juga mengajarkan umatnya untuk bersikap empati. Hal ini terdapat dalam sabda Rasulullah SAW, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh tubuhnya juga akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).” [HR Bukhari dan Muslim].
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Sesungguhnya, aku pernah mendirikan solat dan aku ingin memanjangkan solat itu, namun, aku mendengar tangisan bayi. Maka aku pendekkan solatku kerana aku bimbang akan menyusahkan ibunya.” [HR Bukhari].
Ibu bapa seharusnya mengajarkan kefahaman Islam ini kepada anak-anak mereka. Hal ini dapat dilakukan dengan memberitahu anak-anak tentang tabiat Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang sentiasa berempati antara satu sama lain.
Keluarga muslim juga hendaklah membiasakan diri menyampaikan rasa empati kepada anak-anak sekiranya jiran atau anggota masyarakat di sekelilingnya ditimpa musibah. Kemudian, ajarkan kepada anak cara berkelakuan yang sepatutnya.
Untuk menunjukkan rasa empati, anak-anak boleh diajak mendoakan atau menziarahi jiran untuk menghibur mereka jika mampu. Selain itu, boleh juga dengan memberikan bantuan untuk meringankan beban orang yang ditimpa musibah tersebut.
Bersikap empati juga merupakan sebahagian daripada kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda, “Lima kewajipan muslim terhadap muslim yang lain adalah menjawab salam, mendoakan orang yang bersin, memenuhi undangannya, menziarahi ketika dia sakit, dan mengiringi jenazahnya.” [HR Muslim].
Anak Meneladani Sikap Empati yang ada pada Ibu Bapanya
Ibu bapa sepatutnya tidak sekadar mendidik dan mengajar anak-anak untuk berempati terhadap orang yang ditimpa musibah. Namun, anak-anak juga harus melihat bahawa perasaan empati juga wujud dalam sikap seharian ibu bapanya di rumah.
Ketika anak sedang bersedih atau ditimpa masalah, ibu bapa mestilah peka dan menunjukkan sikap empatinya kepada anak. Justeru, ibu bapa juga perlu membantu dalam meringankan atau menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak. Jangan jadi ibu bapa yang tidak prihatin, dan hanya sibuk dengan pekerjaan atau urusan sendiri.
Begitu juga, jika ibu bapa mendapat perkhabaran tentang jiran yang sakit. Seharusnya ibu bapa turut mendoakan jiran tersebut dan segera mengetahui apakah bentuk bantuan yang diperlukan dan boleh diberikan kepada jiran yang sakit.
Untuk mewujudkan sifat empati anak, mereka sangat memerlukan contoh yang baik daripada orang dewasa di sekelilingnya, terutamanya daripada ibu bapanya. Jika empati hanya sekadar seruan di bibir saja, ia tidak akan memberi kesan terhadap pembentukan sikap empati kepada anak-anak.
Umat Memerlukan Pemimpin yang Berempati
Usaha ibu bapa bagi memupuk rasa empati anak sejak awal usia akan membuahkan hasil yang manis dikemudian hari. Akan lahir tokoh muslim yang peka dan prihatin terhadap muslim yang lain.
Anak ini akan hadir di tengah masyarakat sebagai “problem solver” kepada pelbagai masalah yang menimpa umat. Jika menjadi pemimpin, dia akan menjadi seorang pemimpin yang menyayangi dan disayangi rakyat.
Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang yang penyayang, maka mereka akan disayangi Allah. Barang siapa menyayangi yang di bumi, maka akan disayangi penghuni langit.” [HR Abu Dawud dan At-Turmidzi]. Wallaahu a’lam.