[Pemikiran Politik Islam] Mengenal Politik (Muqaddimah)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Politik (siyasah) mempunyai makna mengatur urusan umat, baik di dalam mahupun di luar negeri. Politik dilaksanakan oleh negara mahupun umat. Negara mengurus kepentingan umat, sedangkan umat melakukan pembetulan atau muhasabah terhadap pemerintah.
Sejak Khilafah dihancurkan dan sistem politik kufur diterapkan di negeri-negeri kaum muslim, politik Islam tersingkir. Pada saat itulah masuk berbagai konsep pemikiran politik Barat yang ditegakkan di atas ideologi kapitalisme, yakni ideologi yang memisahkan agama dari kehidupan.
Umat Islam perlu memahami sepenuhnya bahawa politik Islam tidak dapat diterapkan tanpa tegaknya Daulah Khilafah. Memisahkan politik Islam dari kehidupan dan agama bermakna menghancurkan Islam, sistem, dan hukum-hukumnya, serta memusnahkan umat, nilai-nilai, peradaban, dan risalahnya.
Negara-negara kapitalis menganut doktrin pemisahan agama dari kehidupan dan politik. Mereka secara aktif menyebarluaskan doktrin tersebut dan menegakkan hukum-hukumnya di negeri-negeri kaum muslim. Mereka menyesatkan umat dengan menggambarkan bahawa politik tidak sejalan dengan agama. Politik dinilai bersifat pragmatik dan menerima realiti apa adanya, serta mustahil untuk mengubahnya.
Hal ini dimaksudkan agar umat tetap berada di bawah penindasan negara-negara kafir dan tidak mampu menemukan jalan bagi kebangkitannya. Lebih lanjut, kaum kafir menjauhkan umat Islam dari kelompok-kelompok politik Islam dan dari keterlibatan dalam kegiatan politik. Hal ini disebabkan negara-negara kafir menyadari sepenuhnya bahawa tidak mungkin umat Islam menyerang pemikiran kufur tanpa sebuah aktiviti politik dan tanpa terlibat pula dalam suatu organisasi politik yang berbasiskan Islam.
Mereka berkempen untuk menjauhkan umat Islam dari kegiatan politik dan para ahli politik Islam. Bahkan, mereka sampai pada usaha “melukiskan” politik sebagai kegiatan yang “kotor atau najis”, serta bertentangan juga dengan keagungan dan spiritual Islam.
Oleh sebab itu, umat Islam hendaklah memahami rahsia di sebalik perseteruan antara negara-negara kafir dan “penguasa-penguasa boneka” dengan kelompok-kelompok Islam yang berjuang menegakkan Khilafah. Kemudian memerangi pemikiran-pemikiran kufur, serta mengembalikan kejayaan Islam. Ini merupakan kemestian bagi umat Islam untuk memahami dengan sebaik-baiknya makna politik secara kebahasaan mahupun dari sudut pandang syariat. Politik Islam tidak dapat direalisasikan tanpa tegaknya Khilafah.
Tanpa itu semua, Islam mati secara politik. Islam juga tidak dapat dikatakan hidup tanpa tegaknya Khilafah yang bertindak sebagai entiti politik yang menegakkan dan melaksanakan semua hukum Islam. Inilah metode syarie untuk melaksanakan sistem dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan masyarakat.
Umat Islam juga perlu mengetahui bahawa Allah Swt. telah mewajibkan umat Islam untuk menerapkan semua hukum-Nya dan melarang pelaksanaan sistem kufur. Ini kerana hal tersebut bertentangan dengan sistem Islam dan merupakan sistem buatan manusia.
Oleh kerana itu, diperlukan usaha membina umat dengan tsaqafah Islam. Hal ini perlu dilakukan secara berkesinambungan untuk membekalkan umat dengan pemahaman tentang hukum-hukum dan pemikiran politik Islam. Kemudian, jelaskan metode untuk menggali hukum-hukum dan pemikiran dari akidah Islam dalam kapasitinya sebagai pemikiran politik.
Selain itu, perlu menekankan tsaqafah tersebut dari aspek spiritualnya. Fahamkan umat bahawa tsaqafah tersebut merupakan perintah atau larangan Allah, tanpa perlu merujuk pada pertimbangan lain. Aspek spiritual ini akan menjamin kekuatan hukum dan pemikiran dalam jiwa umat. Tunjukkan juga makna politik dan pemikiran politik kepada umat sehingga mereka sedar bahawa menyandang kewajipan untuk melaksanakannya dalam kehidupan.
Penekanan pada aspek spiritual juga dimaksudkan untuk menunjukkan pentingnya dakwah yang wajib mereka sampaikan ke seluruh dunia. Hal ini merupakan bahagian yang sangat penting mengingatkan keadaan yang sedang terjadi saat ini di dunia, iaitu hilangnya negara Islam, hukum-hukum, dan pemikiran Islam dari kehidupan. Dunia juga sedang tenggelam dalam kerosakan, penderitaan, dan perbudakan manusia.
Pembinaan politik terhadap umat boleh berupa pembinaan hukum-hukum dan pemikiran Islam, mahupun dengan mengikuti peristiwa-peristiwa politik. Ini akan menciptakan kesedaran politik (al-wa’yu as-siyasiyy) dan kesedaran umat akan misi dan tanggungjawab utamanya, iaitu menyampaikan syiar Islam kepada seluruh bangsa dan umat manusia.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.