[Pemikiran Politik Islam] Politik (Bahagian 2)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Berdasarkan ketentuan syariat, kekuasaan dan pengurusan kepentingan umat diberikan hanya kepada penguasa. Rasulullah saw. bersabda, “Apabila seseorang melihat sesuatu yang tidak disukai dari amirnya (pemimpinnya), maka bersabarlah. Siapa saja yang memisahkan diri dari penguasa (pemerintahan Islam) walau sejengkal saja, lalu mati, maka matinya adalah mati jahiliah.” (HR Al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas ra.).
Hadis ini menunjukkan bahawa pemberontakan kepada penguasa bererti pemberontakan kepada kekuasaan. Ini bermakna kekuasaan adalah milik Amir, bukan milik orang lain. Rasulullah saw. juga bersabda, “Dahulu Bani Israel diurus oleh para nabi. Apabila seorang nabi wafat, diutuslah nabi berikutnya. Akan tetapi tidak ada lagi nabi setelahku. Namun, akan ada para Khalifah.” (HR Muslim dari Abu Hurairah ra.).
Hadis ini menunjukkan bahawa kepentingan kalian, wahai kaum muslim, akan dipelihara dan diurus oleh para Khalifah. Jadi, yang memelihara dan mengurus kepentingan kaum muslim telah ditentukan secara pasti. Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa selain Amir, tidak ada yang mempunyai kekuasaan.
Tidak ada pula yang diperkenankan memelihara dan mengurus kepentingan umat, selain Khalifah. Ini membuktikan bahawa pemeliharaan dan pengurusan kepentingan umat adalah tanggungjawab penguasa semata. Lebih lanjut, berbagai tindakan Rasulullah saw. menunjukkan bahawa tanggungjawab pengurusan kepentingan umat dan kekuasaan adalah milik beliau sebagai ketua negara.
Beliaulah yang mendelegasikan kekuasaan dan mengurus kepentingan umat. Sebagai contoh, Rasulullah saw. menunjuk seseorang untuk menjalankan tugasnya di Madinah pada ketika beliau berangkat ke medan perang (ghazwah). Beliau juga mengangkat gabenor wilayah, hakim, petugas pengumpul kekayaan, serta orang-orang untuk melakukan tugas-tugas awam, seperti membahagikan air, menghitung hasil pertanian, dan sebagainya. Itulah bukti bahawa kekuasaan dan tanggungjawab pengurusan kepentingan umat adalah milik penguasa, iaitu Khilafah dan orang-orang yang ditugaskan oleh Khalifah atau Amir, dan orang-orang yang diangkat oleh Amir.
Sultan atau penguasa mengurus kepentingan umat dengan cara mengikat. Dengan kata lain, tanggungjawab pengurusan kepentingan umat dibatasi hanya milik penguasa. Pihak lain tidak diperkenankan melaksanakan tanggungjawab ini.
Syariat telah menentukan bahawa kekuasaan dan tanggungjawab pengurusan umat adalah milik Sultan (Khalifah) dan orang-orang yang diangkat oleh Khalifah. Apabila ada pihak lain, selain Imam dan orang-orang yang diangkat oleh Imam, melaksanakan tanggungjawab pemerintahan dan pengurusan kepentingan umat, maka dia telah melanggar syariat.
Itu bererti tindakannya tidak sah (batil) dan setiap kebatilan hukumnya haram. Oleh sebab itu, tidak diperkenankan kepada siapa pun, selain Khalifah dan orang-orang yang diangkat Khalifah, melakukan tugas-tugas pemerintahan dan kekuasaan.
Orang-orang tersebut juga tidak diperkenankan mengurus kepentingan umat kerana tugas-tugas tersebut merupakan tanggungjawab penguasa. Tidak seorang pun diperkenankan melaksanakannya selain mereka.
Adapun politik dalam negeri Negara Islam bertumpu pada pelaksanaan hukum-hukum Islam terhadap seluruh warga negara. Sepanjang kekuasaan Negara Islam, hukum-hukum dan aturan Islam diberlakukan di semua wilayahnya. Negara Islam menerapkan peraturan mengenai hubungan antara individu (muamalah), melaksanakan sistem perundangan jenayah (hudud), memelihara akhlak (moral), menjamin pelaksanaan ibadah, dan mengawal selia segala urusan yang berkaitan dengan hukum Islam.
Islam menjelaskan prosedur (kaifiah) pelaksanaan undang-undangnya kepada siapa saja yang berada dalam kekuasaannya, baik muslim mahupun non-muslim. Negara Islam menerapkan hukum-hukum Islam sesuai dengan prosedurnya. Prosedur itu merupakan metode (thariqah) untuk melaksanakan hukum syariat, sebagaimana Islam memberikan solusi untuk semua masalah.
Allah Swt. menyerukan agama Islam kepada seluruh umat manusia di dunia. Allah Swt. berfirman, “Hai manusia, apakah yang memperdayakan kalian (sehingga berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.” (TMQ Al-Infithar: 6).
[Bersambung ke bahagian 3/6]
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.