[SOAL JAWAB]
Syarat Lelaki Mahram yang Menemani Wanita Bersafar: Wajib Baligh atau boleh sekadar Mumayyiz?
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Saya ingin bertanya, berkenaan kakak saya yang hendak melakukan safar dari Sanana, Maluku Utara, ke Baubau Sulawesi Tenggara. Beliau mempunyai seorang anak lelaki (mumayyiz) sekitar tahun 3 sekolah rendah. Dari tulisan ustaz berkenaan safar, mahram yang menemani wanita dalam safar mestilah dikategorikan sebagai mahram kekal termasuk anak lelaki. Adakah syaratnya mesti anak lelaki yang sudah baligh? Atau bolehkah jika usianya mumayyiz? Masa perjalanannya 3 hari 3 malam. Namun begitu, kapal akan berlabuh beberapa kali di pelabuhan untuk menurunkan penumpang. Adakah dibenarkan dengan keadaan tersebut, kakak saya pergi berlayar bersama dengan anak lelakinya yang berumur 9 tahun?
Jawapan :
Sebelum menjawab, ada baiknya kita refresh dahulu pemikiran kita, bahawa memang ada dalil syarie yang melarang seorang wanita muslimah melakukan safar (perjalanan) tanpa mahram atau tanpa suami, jika perjalanan pulang dan pergi adalah sehari semalam (atau lebih). Di antaranya ialah hadis dari Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW. telah bersabda :
لا يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ باللَّهِ وَالْيَومِ الآخِرِ، تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَومٍ وَلَيْلَةٍ إلَّا مع ذِي مَحْرَمٍ عَلَيْهَا
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, untuk melakukan perjalanan yang jauh perjalanannya sehari atau satu malam, kecuali wanita itu ditemani mahramnya.” (HR. Muslim, no. 1339).
Mengenai lelaki mahram yang menemani wanita bersafar itu, adakah disyaratkan dia sudah baligh atau belum? Cukupkah lelaki mahram itu adalah anak kecil yang sudah mumayyiz (berumur sekitar 7 tahun atau lebih)? Di sini terdapat khilāfiyah (perbezaan pendapat) di kalangan ulama berkenaan syarat mahram lelaki yang menemani wanita bersafar, terdapat 3 pendapat ulama seperti berikut, sebagaimana yang dijelaskan oleh Nūrah binti Ibrāhim bin Sulaymān Al-‘Umar dalam kitabnya Ahkām Al-Mahram fī Al-Fiqh Al-Islāmī (hlm. 25-26):
Pertama, lelaki mahram tidak disyaratkan baligh, tetapi sudah dianggap memadai jika dia adalah seorang remaja lelaki (al-murāhiq, Eng: adolescence/teen ages), iaitu remaja yang umurnya hampir mendekati baligh, sekitar umur seorang pelajar lelaki sekolah menengah di bawah umur baligh (15 tahun). Ini adalah pendapat sebahagian ulama Hanafiyah (Ibnu Abidin, Raddul Muhtār, 2/465), dan pendapat yang rājih (dianggap lebih kuat) menurut ulama Syafi’iyyah. (Ibnu Ḥajar Al-Haitsamī, Tuhfatul Muhtāj, 4/25).
Kedua, lelaki mahram tidak disyaratkan baligh, tetapi memadai anak lelaki itu mumayyiz (sekitar umur 7 tahun ke atas). Ini adalah pendapat ulama Malikiyyah. (Muḥammad bin Abdurraḥmān al-Maghribī, Mawāhibul Jalīl, 2/525).
Ketiga, mahram lelaki disyaratkan mesti sudah baligh dan berakal. Ini adalah pendapat ulama dalam mazhab Hanafi (Al-Kasani, Badāi’u Al-Shanāi’, 2/125), pendapat ulama Syafi’iyyah (Ibnu Hajar Al-Haitsami, Tuhfatul Muhtāj, 4/25), dan pendapat ulama Hanabilah (Ibnu Qudamah, Al-Mughnī, 5/34).
Pendapat yang rājih (hujah yang lebih kuat), wallāhu a’lam, adalah pendapat yang pertama, iaitu mahram lelaki itu tidak disyaratkan sudah baligh, tetapi cukuplah dia sudah remaja (al-murāhiq), iaitu pada usia yang hampir baligh, kerana dua sebab : Pertama, kerana yang menjadi tujuan adanya mahram lelaki adalah untuk menjaga wanita yang ditemaninya dalam bersafar, dan ini sudah dapat direalisasikan dengan kehadiran remaja lelaki (al-murāhiq). Kedua, kerana tidak terdapat dalil yang tegas (jāzim) bahawa lelaki yang menemani wanita bersafar itu mesti baligh, maka berlaku hukum asal (atau mengamalkan istish-hāb), iaitu berpegang kepada hukum asal bahawa tidak semestinya lelaki mahram itu sudah baligh.
(Nūrah binti Ibrāhim bin Sulaymān Al-‘Umar, Ahkām Al-Mahram fī Al-Fiqh Al-Islāmī, hlm. 26).
Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan mengenai pendapat yang kami rajihkan di atas, maka mahram lelaki yang masih di tahun 3 sekolah rendah (mumayyiz) atau berumur 9 tahun, tidak dibenarkan untuk menemani ibu kandungnya dalam perjalanan, yang berlangsung selama sehari semalam atau lebih (perjalanan pergi balik), seperti soalan di atas. Kami menasihatkan kepada ibu tersebut untuk mencari mahram lelaki lain yang memenuhi syarat-syarat syariatnya, atau jika tidak ditemui, bersabarlah dan jangan memaksakan diri untuk bermusafir. Seorang wanita yang melakukan safar sendirian, sangat terdedah untuk menjadi mangsa jenayah atau gangguan seksual pada zaman yang rosak ini. Wallāhu a’lam.
Sumber:
https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/614
#SoalJawab #WanitaSafar #SyaratMahramWanitaSafar