[Tsaqafah] Apakah Hukum Berhukum dengan Undang-undang Buatan Manusia?
Penulis: Halima Noer
Baru-baru ini, satu artikel di salah satu platform media sosial mempersoalkan apakah hukum mengambil atau menggunapakai undang-undang buatan manusia, adakah menyebabkan seseorang muslim itu jatuh kafir atau tidak? Menurut penulis, mengambil undang-undang buatan manusia tidak menjadikan seseorang itu kafir, asalkan undang-undang yang diperoleh tersebut melalui proses musyawarah. Sebab, musyawarah itu diperintahkan oleh Allah, maka disamakan dengan berhukum menurut hukum Allah.
Penulis juga cuba menguatkan pendapatnya dengan mengatakan bahawa tafsiran ayat-ayat al-Quran seperti al-Maidah ayat 44 yang berbunyi, “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan perkara yang diturunkan oleh Allah, mereka digolong sebagai orang-orang kafir,” tidak boleh ditujukan kepada perbincangan bahawa Tuhan adalah Maha Pembuat Hukum dan tidak boleh ada undang-undang manusia dalam mengatur kehidupan.
Menurutnya, jika semua terarah kepada itu, pasti ramai yang melanggar peraturan. Contohnya, melanggar peraturan jalan raya kerana menganggap ia peraturan yang dibuat oleh manusia sehingga boleh dilanggar. Penulis juga mempersoalkan, jika semua peraturan yang ada sekarang dicipta untuk mengatur kehidupan manusia dari perkara kecil dianggap bukan hukum Tuhan dan tidak layak diikuti, bagaimana kita boleh hidup aman tanpa peraturan? (islamkaffah[dot]id).
Namun, siapa sebenarnya yang berhak membuat undang-undang? Apakah sebenarnya hukum mengambil undang-undang buatan manusia, kafir atau tidak? Benarkah pendapat bahawa tidak mengapa mengambil undang-undang demokrasi kerana demokrasi menganjurkan musyawarah, sedangkan musyawarah adalah perintah Allah? Artikel berikut akan membincangkannya.
Siapakah yang Berhak Membuat Undang-undang?
Salah satu perbincangan yang paling penting berkaitan dengan undang-undang ialah siapa yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang bagi manusia, adakah Allah atau manusia? Dalam Kitab Syakhshiyyah Islamiyyah Juz 3 Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan sebagai berikut.
Pertama, berkenaan dengan fakta perbuatan dan benda, adakah sesuai atau tidak dengan naluri manusia, maka manusia dengan akalnya dapat menentukan hukum dan menilai akan hal ini, seperti pandai itu terpuji, dan bodoh itu tercela. Akan tetapi, mengenai hukum atau penilaian atas perbuatan dan benda itu di dunia, dan dilihat dari aspek pahala dan azab di akhirat, tidak dinafikan bahawa yang menentukan hukum dan penilaiannya adalah Allah, bukan manusia. Contohnya, keimanan adalah terpuji dan kekufuran adalah tercela. Ketaatan adalah terpuji dan kemaksiatan adalah tercela. Oleh kerana itu, akal manusia yang terbatas tidak mampu menentukan perkara tersebut.
Kedua, menentukan hukum dan menilai, adakah suatu perbuatan terpuji atau tercela tidak boleh diserahkan kepada kecenderungan semulajadi yang ada pada manusia. Sebab, kadang-kadang perkara yang sesuai dengan kecenderungan semulajadi tersebut, sebenarnya termasuk perbuatan yang tercela, seperti zina, homoseksual, dan lain-lain. Oleh itu, membuat undang-undang berdasarkan kecenderungan semulajadi adalah satu kesalahan yang nyata. Lebih-lebih lagi, jika manusia dibenarkan membuat undang-undang, iaitu dibenarkan memberikan penilaian, sudah tentu akan menghasilkan undang-undang yang berbeza-beza mengikut perbezaan watak individu dan zaman mereka.
Dengan demikian, yang berhak mengeluarkan hukum (Al-Hakim) hanyalah Allah Taala. Allah adalah Al-Mudabbir, Pembuat undang-undang dan peraturan. Akibatnya, manusia mesti mematuhi semua undang-undang dan peraturan-Nya. Inilah yang akan membawa kebaikan kepada manusia, baik di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT. memerintahkan untuk mengambil semua undang-undang ini dan melaksanakannya dalam kehidupan, seperti dalam firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208].
Adakah Jatuh Kafir jika Mengambil Undang-undang Buatan Manusia?
Kewajipan berhukum dengan hukum Allah (syariat Islam) adalah berkaitan dengan segala perkara dan berlangsung sepanjang zaman. Tidak ada suatu pun yang berlaku, sama ada pada masa dahulu, kini, atau akan datang kecuali ada hukumnya dalam syariat Islam.
Allah SWT. berfirman, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Islam.” [TMQ An-Nahl (16): 89].
Adapun orang-orang yang tidak mengambil hukum Allah, sebaliknya mengambil hukum buatan manusia, maka Islam telah menetapkan status mereka seperti yang dinyatakan dalam al-Quran iaitu kafir, zalim, atau fasik.
Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam QS Al-Maidah ayat 44, 45, dan 47.
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَٰفِرُونَ
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara berdasarkan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” [TMQ Al-Maidah (5): 44].
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara berdasarkan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Maidah (5): 45].
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara berdasarkan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” [TMQ Al-Maidah (5): 47].
Menurut penjelasan Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di, di dalam Kitab Tafsir as-Sa’di, “Dan barangsiapa tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah,” iaitu dari kebenaran yang nyata dan dia memutuskan berdasarkan pada kebatilan yang dia ketahui, kerana satu tujuan yang rosak, “… maka mereka adalah orang-orang yang kafir.” Berhukum dengan selain dari apa yang Allah turunkan termasuk perbuatan orang-orang kafir dan boleh jadi kufur yang keluar dari agama, hal ini jika ia meyakini kebolehan dan kehalalannya, dan boleh juga menjadi salah satu dosa besar serta termasuk perbuatan kufur yang mana pelakunya berhak mendapat azab yang keras.
Dijelaskan dalam Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran bahawa Ibnu Mas’ud dan Al-Hasan mentafsirkan, “Ayat tersebut berlaku secara umum bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah, baik dari kalangan umat Islam, Yahudi, dan orang-orang kafir. Maksudnya, orang tersebut membenarkan dan meyakini perbuatannya berhukum dengan hukum selain hukum Allah. Adapun orang yang melakukannya, sedangkan dia meyakini dirinya melakukan perbuatan yang haram, maka dia tergolong sebagai orang muslim yang melakukan perbuatan fasik.”
Jelaslah bahawa, berhukum dengan selain yang diturunkan Allah akan membawa kekufuran jika hal itu dilakukan dengan keyakinan (i’tiqadi). Jika tanpa disertai dengan keyakinan, maka tidak akan membawa kepada kekufuran, tetapi kepada kezaliman atau kefasikan (lihat QS Al-Maidah 45 dan 47).
Bolehkah Manusia Membuat Peraturan?
Terdapat peraturan yang boleh dibuat oleh manusia, tetapi ia mesti bersumberkan dari nas-nas Islam. Hal ini tidak dikategorikan “membuat hukum” seperti yang dibincangkan di atas.
Semua perkara yang berkaitan dengan sains, teknologi, penemuan saintifik, dan seumpamanya, serta segala jenis bentuk objek/alat/bangunan yang mempunyai unsur-unsur bandar dan lahir daripada kemajuan sains dan teknologi, boleh diambil. Boleh juga membuat undang-undang dan peraturan berkaitan dengan perkara tersebut.
Namun, perkara tersebut dikecualikan sekiranya terdapat aspek tertentu yang menyalahi ajaran Islam maka haram untuk mengambilnya. Ini kerana semua pemikiran yang berkaitan dengan sains dan teknologi tidak berkaitan dengan akidah Islam dan hukum syarak yang berkedudukan sebagai solusi kepada masalah manusia dalam kehidupan. Melainkan dapat dikategorikan sebagai sesuatu yang mubah, dapat dimanfaatkan oleh manusia dalam pelbagai urusan kehidupan mereka.
Dalil untuk ketentuan tersebut adalah ayat-ayat yang bersifat umum yang menerangkan bolehnya memanfaatkan seluruh benda yang ada di alam semesta bagi kepentingan manusia.
Juga berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW., “Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kalian. Jika aku perintahkan kepada kalian mengenai sesuatu hal yang termasuk dalam urusan agama kalian, laksanakanlah perintah itu. Akan tetapi, jika aku perintahkan kalian mengenai sesuatu hal yang termasuk dalam urusan dunia kalian, ketahuilah aku ini hanyalah manusia biasa.” (HR Muslim).
Juga berdasarkan hadis Nabi SAW. tentang pendebungaan kurma sebagaimana sabdanya, “… Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” (HR Muslim).
Juga berdasarkan perbuatan Nabi SAW. apabila menghantar beberapa orang sahabat ke sebuah daerah di Yaman untuk mempelajari pembuatan senjata perang. Atas dasar ini, setiap perkara yang tidak termasuk masalah akidah atau hukum syarak, dibenarkan untuk diambil selama tidak menyalahi ajaran Islam dan sepanjang tidak terdapat dalil khusus yang mengharamkannya. Seperti yang dicontohkan oleh penulis di atas tadi seperti peraturan jalan raya, tentu saja kita boleh mengambilnya.
Bolehkah Mengambil Demokrasi sebagai Sandaran Hukum?
Dalam artikel penulis juga ada menyatakan bahawa dibolehkan mengambil demokrasi sebagai sandaran, walaupun ia adalah hasil pemikiran manusia. Beliau berhujah bahawa demokrasi mengajar musyawarah, sedangkan musyawarah diperintahkan oleh Allah supaya sama seperti berhukum dengan hukum Allah. Sudah tentu ini adalah kesimpulan yang salah.
Selama ini memang ada pendapat yang menyamakan demokrasi dengan Islam kerana adanya persamaan konsep tentang musyawarah. Dalam QS Ali Imran ayat 159, Allah SWT. memerintahkan untuk bermusyawarah, “Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampun untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah mencintai orang yang bertawakal.”
Namun, sebenarnya terdapat perbezaan yang sangat mendasar antara konsep musyawarah dalam demokrasi dan musyawarah dalam Islam. Dalam demokrasi, musyawarah dilakukan dalam semua perkara, dalam semua urusan, termasuk urusan negara, menyelesaikan masalah, undang-undang, dan semua peraturan. Sedangkan dalam Islam tidak demikian. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Kitab Syakhsiyyah Islamiyyah Juz 1, pengambilan pendapat di dalam Islam tidak selalu melalui musyawarah, tetapi terbahagi kepada tiga perkara.
Pertama, jika berkaitan dengan perkara yang bersifat mubah, contoh berkaitan kemudahan dan prasarana, dibolehkan bermusyawarah dan pengundian (pengambilan suara/undi) untuk mengambil pendapat.
Kedua, jika berkaitan dengan hukum dan peraturan, ia wajib dikembalikan kepada hukum Allah (syarak) agar tidak dikembalikan kepada musyawarah. Contohnya berkaitan masalah pelacuran yang berleluasa. Dalam sistem demokrasi, penyelesaiannya adalah melalui musyawarah atau pengundian. Akan tetapi dalam Islam, kerana masalahnya jelas bahawa zina itu haram, maka tidak boleh ada kompromi dalam isu yang haram maka sudah tentu penyelesaiannya tidak boleh diambil secara musyawarah atau mengundi.
Ketiga, berkaitan perkara yang memerlukan kepakaran dan ilmu yang mendalam, maka Islam menetapkan perkara tersebut dikembalikan kepada yang pakar. Sebagai contoh, ketika perlu untuk menentukan dalam sebuah daerah sama ada di situ memerlukan jambatan yang kuat, kukuh, dan tahan gempa bumi, maka perkara itu tidak dimusyawarahkan, juga tidak ditentukan berdasarkan hukum syarak, tetapi dikembalikan kepada pendapat pakar dalam pembinaan jambatan.
Jelas sekali, musyawarah di dalam demokrasi adalah sangat berbeza dengan Islam. Wujudnya konsep musyawarah dalam demokrasi tidak semestinya menjadi alasan dibenarkan mengambil demokrasi yang jelas haram kerana ia menjadikan manusia sebagai sumber hukum.
Khatimah
Demikianlah, hanya hukum Allah yang wajib diambil dan digunakan untuk mengatur segala urusan manusia, sama ada berkaitan masalah individu, masyarakat, mahupun negara. Adapun berhukum dengan hukum buatan manusia, dalam perkara dan urusan yang berkaitan dengan hukum syarak dan akidah, maka itu adalah perbuatan haram. Jika hal itu dilakukan dengan keyakinan bahawa hukum Allah tidak benar dan tidak layak mengatur umat manusia, hal ini boleh membawa seseorang kepada kekufuran.
Manakala bagi perkara yang dibenarkan oleh syarak, seperti mengambil sains dan teknologi untuk kemaslahatan manusia, selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam, manusia dibenarkan membuat undang-undang dan peraturan. Wallahualam bissawab.