[Pemikiran Politik Islam] Sistem Pemerintahan Islam: Negara Kesatuan, Bukan Negara Persekutuan
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Islam menuntut persatuan di antara negara-negara kaum Muslim dan melarang mereka membentuk sebuah persekutuan (federasi) atau konfederasi. Sistem pemerintahan Islam yang benar adalah berbentuk negara kesatuan. Hal ini selaras dengan perintah Islam dan larangannya terhadap bentuk-bentuk pemerintahan yang lain.
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang memberikan baiat kepada seorang imam, lalu memberikan uluran tangannya (baiat) dan memberikan buah hatinya, hendaklah dia taat kepadanya sejauh kemampuannya. Apabila datang seseorang hendak mencabut kekuasaannya, maka potonglah lehernya.” (HR Muslim dari ‘Abdullah bin ‘Amr).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir darı keduanya.” (HR Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri).
Hadis pertama menunjukkan larangan memecahbelahkan keutuhan negara dan kewajipan untuk mencegah perpecahan negara, walaupun perlu menggunakan pedang (kekerasan). Hadis kedua menjelaskan larangan membahagi negara menjadi negara-negara kecil yang mengakibatkan munculnya lebih dari satu khalifah (pemimpin).
Dengan demikian, sistem pemerintahan Islam berbentuk kesatuan, bukan sistem persekutuan (federasi). Mengambil bentuk selain sistem kesatuan, atau dengan kata lain mengambil bentuk sistem persekutuan, merupakan tindakan yang diharamkan.
Sistem persekutuan (federasi) merupakan suatu bentuk kesepakatan antara dua negara atau lebih dengan menyatukan beberapa hal ehwalyang berkaitan dengan pemerintahan sambil tetap menjaga kewujudan negara masing-masing. Setiap negara boleh menarik balik sebahagian atau kesemua hal ehwal yang diatur bersama tersebut pada bila-bila masa saja yang dikehendaki.
Dengan demikian sistem persekutuan (federasi) sama sekali berbeza dengan sistem negara kesatuan. Hal ini jelas terbukti dengan kenyataan bahawa setiap negara tetap wujud sebagai sebuah negara yang berdiri sendiri. Langkah pertama yang diambil untuk mewujudkan sistem persekutuan (federasi) adalah memilih anggota parlimen persekutuan dan merangka perlembagaan persekutuan, yang antara lain menjelaskan tentang hal ehwal yang akan ditadbir bersama.
Perlembagaan negara persekutuan dapat menentukan sejumlah hal ehwal, misalnya urusan perundangan, peraturan-peraturan administrasi pemerintahan, urusan luar negeri, angkatan bersenjata, ekonomi, dan sebagainya untuk ditadbir secara bersama. Mereka boleh menyatukan institusi-institusi kenegaraan, sementara setiap negara (bahagian/negeri) tetap wujud, sebagaimana yang dianuti oleh Amerika Syarikat. Konfederasi juga boleh dibentuk dengan tetap membiarkan setiap negara berdiri sendiri, tetapi menyatukan sebahagian hal ehwal mereka, seperti yang dilakukan oleh bekas Kesatuan Soviet.
Jadi, perlembagaan negara persekutuan (federasi) menentukan bentuk sistem persekutuan (federasi) yang akan digunakan. Ini perlu mendapat persetujuan parlimen persekutuan dan parlimen di setiap negara yang mengambil bahagian, jika negara bahagian tersebut memiliki parlimen.
Kekuasaan atas sejumlah hal ehwal yang tidak diatur dalam perlembagaan akan tetap menjadi milik setiap negara. Dengan demikian, masing-masing negara bahagian tetap berdiri sebagai negara yang terpisah dan tetap merupakan institusi yang berbeza.
Jadi, negara persekutuan memiliki kuasa berdasarkan perlembagaan. Itulah realiti negara persekutuan. Dengan demikian, usaha dua negara untuk menghapuskan kewajipan penggunaan pasport, membangun kerjasama ekonomi, menyatukan kurikulum pendidikan dan perundangan, bukanlah satu bentuk sistem persekutuan. Usaha-usaha tersebut hanya berlaku di kalangan negara-negara yang bukan anggota persekutuan.
Demikian pula, ia bukan persekutuan jika satu atau lebih parlimen, persidangan, atau pemimpin kumpulan pelbagai negara memutuskan untuk menubuhkan kesatuan sesama mereka. Kesatuan di kalangan negara-negara ini semata-mata merupakan satu bentuk manifestasi keinginan mereka untuk mencapai matlamat tertentu.
Sebagai syarat untuk penubuhan negara bersekutu adalah kewujudan perlembagaan yang menentukan bentuk persekutuan, anggota-anggota persekutuan, dan kuasa yang dimilikinya. Namun Islam melarang sistem persekutuan, walau apa pun bentuk dan jenisnya. Ini kerana sistem pemerintahan Islam adalah sistem kesatuan, bukan persekutuan.
Lagipun, kedaulatan dalam Islam tergolong dalam hukum syariat. Syariatlah yang menentukan sistem pemerintahan, perundangan, dan kewangan. Tidak seorang pun diperkenankan menyusun sendiri aspek-aspek tersebut. Hukum-hukum syariat berlaku sama untuk setiap muslim di setiap negeri sehingga penerapan undang-undang yang berbeza tidak dibenarkan.
Sistem kewangan berlaku sama untuk setiap muslim. Belanjawan negara untuk setiap orang Islam datang daripada baitulmal, tidak kira sama ada negeri mereka memberikan hasil atau tidak. Jihad adalah kewajipan setiap muslim. Setiap muslim wajib memenuhi panggilan jihad apabila ada wilayah negara Islam yang diserang musuh.
Jadi, suka atau tidak suka, kaum muslim mesti menerapkan satu institusi sistem perundangan, kewangan, dan perkara-perkara yang berkaitan dengan sistem pemerintahan yang tidak berbeza bagi setiap umat Islam. Sistem pemerintahan dan sistem kehidupan bagi kaum muslim berbentuk kesatuan, bukan persekutuan. Dengan demikian, Islam mewajibkan kesatuan. Islam melarang bentuk negara kerjasama persekutuan, sebaliknya mewajibkan persatuan dan perang (jihad) untuk mencapainya.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.