[Nafsiyah] Cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Cinta (al-hubb, al-mahabbah) menurut Imam Syafie, sesungguhnya orang yang mencintai akan taat kepada apa yang dicintainya, “Inna al-muhibbi lima yuhibbuhu muthi’.”
Cinta akan lebih berharga dan bermakna apabila ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW.. Ini kerana mencintai baginda sudah tentu terbukti dengan mentaatinya, dan ini juga merupakan bukti kita mencintai Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku…”[TMQ Ali Imran (3): 31]
Selain daripada sebagai bukti cinta kepada Allah SWT., cinta kepada Rasulullah SAW. juga hendaklah kerana satu perkara lain: kerana besarnya cinta baginda kepada kita.
Firman Allah SWT. (yang bermaksud):
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” [TMQ at-Taubah (9): 128].
Dalam ayat di atas, kalimat ‘aziz[un] alayhi ma anittum (yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu) menunjukkan bahawa Rasulullah SAW. sangat sedih apabila melihat umatnya dalam kesusahan. Juga ketika umatnya bergelumang dengan dosa [Ibn al-Jauzi, Zad al-Masir, 3/247].
Perlu difahami, ungkapan “umat Nabi Muhammad SAW.” bukan meliputi orang Islam sahaja, tetapi semua orang yang hidup selepas baginda diangkat menjadi nabi dan rasul sehingga hari kiamat. Ini termasuklah orang Yahudi, Nasrani, Majusi, dan lain-lain. Baginda sakit kerana sedih memikirkan umatnya yang tidak masuk Islam [Lihat: TMQ asy-Syu’ara (26): 3]. Baginda akan sedih sekiranya ada di antara umatnya yang masuk neraka kerana kekufuran dan kefasikan mereka.
Kemudian, kalimat haris[un] alaykum (baginda sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu) menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat menginginkan agar seluruh umatnya beriman dan sentiasa berada dalam kebaikan [Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, 7/410].
Keinginan inilah yang membuatkan baginda berjuang sedemikian rupa agar umatnya mendapat hidayah dari Allah SWT. Baginda sanggup dihina, dipulaukan, diseksa dan diancam bunuh supaya umatnya mendapat kebaikan.
Bayangkan, baginda ikhlas berdakwah kepada mereka untuk kebaikan mereka. Sebaliknya, mereka bertindak buruk terhadapnya. Walaupun begitu, baginda tetap berdakwah kepada mereka dengan penuh kasih sayang.
Inilah maksud dari frasa bi al-mu’minin ra’uf[un] rahim[un] (Baginda amat penyayang dan bersikap belas kasihan kepada orang-orang yang beriman). Maksudnya, Rasulullah SAW. sangat mencintai umatnya [Al-Jaza’iri, Aysar at-Tafasir, 1/115].
Baginda banyak memberikan kebaikan kepada mereka dan bimbang mereka akan mendapat keburukan. Walau apa pun penderitaan yang baginda rasakan, yang ditimpakan oleh umatnya, baginda tetap bersikap baik terhadap mereka.
Dalam sebuah hadis disebutkan: Baginda dipukul oleh umatnya sehingga berdarah. Namun demikian, sambil menyapu darah dari mukanya, baginda berdoa, “Ya Allah, ampunilah umatku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” [HR al-Bukhari].
Baginda tidak mahu umatnya dibinasakan kerana mereka menolak dakwahnya. Sedangkan umat-umat terdahulu semuanya dibinasakan ketika mereka menolak dakwah para nabi. Contohnya umat Nabi Nuh AS. binasa ditelan banjir besar, kaum Nabi Luth AS. dimusnahkan oleh hujan batu, dan sebagainya. Perkara sebegini tidak berlaku kepada orang Islam.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-Ash, pada suatu ketika, Rasullullah SAW. sedang membaca kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Isa. Setelah itu, Nabi mengangkat tangan dan berdoa. “Ya Allah, umatku, umatku.” Selepas itu baginda menangis. Lalu Allah SWT berfirman, “Jibril, bertemulah dengan Muhammad, Tuhanmu Maha mengetahui apa yang sedang terjadi. Kemudian tanyakan kepadanya mengapa dia menangis.” Maka Jibril pergi bertemu Nabi. Kemudian dia memberitahu apa yang terjadi. Dia Maha Tahu tentang perkara tersebut. Kemudian Allah berfirman, “Jibril, bertemulah dengan Muhammad. Kemudian katakanlah: Kami membuatmu redha tentang nasib umatmu dan itu tidak akan mengecewakanmu.” [HR Muslim].
Kerana itulah cinta Rasulullah SAW. kepada umatnya tidak perlu dipersoalkan lagi. Cukuplah kita mendengar bahawa Nabi Muhammad SAW. di akhir hayatnya sangat risau akan umatnya. Pada saat-saat kematiannya,baginda masih memikiran dan merisaukan umatnya. Bukan keluarganya.
Baginda bertanya kepada Malaikat Jibril, “Bagaimana nasib umatku kelak?” Jibril menjawab, “Jangan risau wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: Aku mengharamkan syurga bagi sesiapapun, melainkan umat Muhammad sudah berada di dalamnya.” [HR ath-Thabarani, Mu’jam al-Kabir, 3/106].
Demikianlah betapa besarnya cinta Rasulullah SAW. kepada kita. Namun, sebesar mana cinta kita kepada baginda?
Berkaitan dengan itu, pada suatu hari, Umar bin al-Khattab RA. pernah menziarahi Nabi Muhammad SAW. dan menyatakan cintanya kepada baginda. Umar mengatakan bahawa dia mencintai Rasul SAW. daripada segala-galanya, melainkan satu, iaitu dirinya sendiri. Rasul pun menegur Umar.
Baginda menegaskan bahawa keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia mencintai Rasulullah melebihi segala-galanya. Umar pun segera bergegas memuhasabah dirinya dan membetulkan kenyataannya. Beliau mengatakan, cintanya kini ditujukan sepenuhnya kepada Rasulullah SAW. “(Buktikan) sekarang, wahai Umar!” Rasulullah memerintahkannya [HR al-Bukhari].
Para sahabat memberi contoh kepada kita bagaimana cara untuk mencintai Rasulullah SAW. Abu Bakar RA, misalnya, sanggup dipukul oleh orang kafir Quraisy demi melindungi Rasulullah SAW. Dia lalu pengsan. Apabila dia sedar, dia segera bertanyakan mengenai Rasulullah. Terdapat juga seorang wanita Ansar. Dia kehilangan anak, suami, bapa dan abangnya dalam peperangan. Namun, apabila tentera Islam kembali, yang ditanyakan ialah mengenai Rasulullah SAW.
Adakah cinta kita kepada Rasulullah SAW. sebesar cinta para sahabat kepada baginda? Apa yang pasti, jangan sampai cinta kita kepada Rasulullah SAW dikalahkan oleh cinta kita kepada orang lain. Jika itu berlaku, sesungguhnya kita sedang mengundang azab Allah SWT. [Lihat: TMQ Ali Imran (3): 31].
Maka, sekali lagi persoalannya: Adakah cinta kita kepada Rasulullah SAW sebesar cinta para sahabat kepada baginda? Sudah tentu kita mengharapkan sedemikian. Amin.
Wa ma tawfiqi illa billah.