[Pemikiran Politik Islam] Masalah Utama
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Realiti kaum muslim pada saat ini dirasakan oleh semua umat Islam tanpa perlu penjelasan atau pembahasan lagi. Negeri-negeri kaum muslim diperintah dengan sistem kufur. Jelas bahawa negeri-negeri tersebut merupakan Dar Kufur. Mereka terbahagi menjadi lebih dari 50 institusi dalam bentuk negara, emiriah, dan kesultanan.
Seluruh negara tersebut terlalu lemah untuk berhadapan dengan kaum kafir. Dengan demikian, masalah politik utama kaum muslim adalah menyatukan negeri-negeri muslim tersebut dan mengubahnya menjadi Dar Islam. Inilah masalah utama (qadhiyyah mashîriyah) tersebut, bahkan sesungguhnya inilah jantung berbagai masalah penting yang dihadapi kaum muslim.
Demikian pentingnya masalah ini sehingga merupakan masalah hidup dan mati. Mengubah negeri-negeri kaum muslim menjadi negara Islam dan menyatukan mereka adalah tujuan utama yang mesti diraih. Metode yang digunakan untuk mencapai tujuan ini adalah tegaknya kembali Khilafah sebagai satu-satunya sistem pemerintahan di negeri-negeri kaum muslim. Ini dilakukan sebagai usaha mengubah mereka menjadi negara Islam, dilanjutkan dengan menyatukan mereka dengan negeri-negeri muslim lainnya.
Namun demikian, perlu difahami bahawa cabaran yang dihadapi kaum muslim pada ini bukan sekadar mengangkat seorang khalifah. Sesungguhnya hal ini merupakan fardhu kifayah bagi kaum muslim, sebagaimana hadis riwayat Ibnu ‘Umar yang menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Dan barang siapa mati tanpa memiliki seorang imam atas jemaah kaum muslim, dia mati seperti seorang jahiliah.” (HR Al-Hakim).
Atas dasar hadis ini, sebahagian umat Islam mengatakan bahawa tegaknya Khilafah bukan merupakan masalah utama. Pernyataan ini adalah hujah yang tidak tepat kerana cabaran yang dihadapi kaum muslim pada saat ini adalah penegakan Khilafah. Dengan kata lain, kaum muslim perlu menerapkan sistem Khilafah sebagai sistem pemerintahan.
Realiti penegakan Khilafah berbeza dengan masalah pengangkatan khalifah, sekalipun pengangkatan khalifah termasuk salah satu agenda dalam sistem Khilafah. Penegakan Khilafah jelas merupakan permasalahan utama. Ini kerana di samping merupakan satu-satunya metode untuk mengubah Dar Kufur menjadi Dar Islam, penegakan Khilafah juga merupakan metode untuk menghancurkan sistem kufur, iaitu menghilangkan kekufuran yang nyata dan terbuka. Hal ini sejalan dengan sabda Rasulullah SAW, “…kecuali kamu melihat kekufuran yang nyata.” atau dikatakan, “Ya Rasululllah, apakah kita tidak memerangi mereka dengan pedang?” Rasulullah berkata, “Tidak, selama mereka tetap mendirikan solat di antara kalian.” (HR Imam Muslim).
Dengan demikian, metode (thariqah) untuk merealisasikan perkara utama juga merupakan suatu masalah utama kerana hanya dengan metode tersebut perkara utama tersebut dapat diwujudkan. Begitu pula, nas-nas dalam sunnah menunjukkan bahawa hal ini merupakan suatu masalah utama.
Dengan demikian, masalah penegakan Khilafah ini perlu dilihat sebagai masalah hidup dan mati. Namun demikian, sejak kaum muslim diperintah dengan sistem yang kufur dan urusan mereka diatur oleh orang-orang kafir, munafik, dan para pengkhianat, sudah semestinya mereka berjuang membebaskan diri mereka dari cengkaman kekufuran beserta para pemimpin dan pendukungnya.
Namun demikian, mereka seringkali kehilangan arah bahawa tujuan utama mereka adalah menyelesaikan masalah utama mereka yang perlu dipandang sebagai masalah hidup dan mati. Akibat kurang faham akan hal ini, kaum muslim sebagai ummah yang satu (kesatuan ummah) belum mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi bahaya penahanan dan penyeksaan, penganiayaan, dan juga kematian.
Semua risiko tersebut memang tidak dapat dipisahkan dari perjuangan untuk merealisasikan suatu masalah utama. Akibatnya, setiap perjuangan Islam selalu mengalami kegagalan sehingga umat belum mampu melangkah ke depan dalam meraih tujuan perjuangan mereka.
Sejak awal, kaum muslim tidak perlu berfikir dan merenung terlalu banyak untuk dapat menyimpulkan bahawa masalah mereka adalah masalah utama yang mesti dihadapi. Masalah ini tetap jelas sampai sekarang, sebagaimana jelas bagi setiap orang bahawa mustahil kaum kafir memberikan toleransi bagi kembalinya Islam dalam kehidupan politik, iaitu dalam pemerintahan. Ini akan terjadi sepanjang mereka memiliki kekuatan walau sedikit untuk menyerang umat Islam yang berjuang demi tujuan tersebut.
Demikian pula, para pengkhianat dan kaum munafik tidak kurang jahatnya daripada majikan mereka, yakni kaum kafir. Mereka akan berbuat apa saja sejauh kemampuan mereka untuk memerangi para mukmin yang hendak mencabut mereka daripada kedudukan-kedudukan kepemimpinan dalam rangka menegakkan hukum-hukum Allah SWT dan melindungi kesucian-Nya.
Dengan demikian, mustahil setiap usaha kaum muslim dalam masalah ini akan mencapai kejayaan, kecuali apabila mereka memahami bahawa masalah ini adalah masalah yang sangat vital. Kejayaan tidak dapat dicapai tanpa risiko-risiko tertentu. Sesuai kenyataan, selagi kaum muslim belum memahami risiko suatu perjuangan atau memahami hakikat aturan-aturan Allah SWT mengenai masalah ini, maka mereka hanya akan berusaha berjuang dalam masalah-masalah yang bukan merupakan masalah vital, iaitu masalah-masalah umum.
Dengan demikian, risiko yang dihadapi lebih kecil daripada masalah hidup dan mati. Perlu juga difahami bahawa perjuangan untuk menghadapi dan memenangkan suatu masalah utama, seperti penghapusan sistem kufur dan penegakan sistem Khilafah, tidak mungkin dilakukan oleh seorang individu. Sekalipun dia telah berusaha sejauh kemampuannya, tetap tidak mungkin, kecuali apabila setiap konsep dan tindakannya dilandasi pemikiran bahawa perjuangan ini merupakan masalah hidup dan mati.
Dengan demikian, kaum muslim, baik secara individu mahupun berkelompok, perlu terus berjuang dan berpandangan bahawa perjuangan melawan sistem kufur ini merupakan masalah hidup dan mati. Demikianlah sifat alamiah yang dipersyaratkan dalam masalah ini. Sesungguhnya hukum syariat dalam Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW telah menentukan tindakan yang mesti dilakukan.
Namun demikian, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita cara menentukan masalah utama yang dihadapi, serta mengambil risiko hidup atau mati dalam setiap masalah utama. Pada saat Allah SWT mengutus beliau dengan membawa risalah Islam, beliau mengawalinya dengan menyampaikan Islam melalui perjuangan pemikiran (ash-shira’ul fikri), menjadikan kemenangan Islam sebagai masalah utamanya, dan menjadikan masalah tersebut sebagai masalah hidup dan mati.
Diriwayatkan dalam hadis bahawa bapa saudara Nabi, yakni Abu Thalib, menceritakan kedatangan kaum Quraisy yang memintanya menghentikan dakwah Rasulullah. Dia berkata kepada Rasulullah SAW, “Kaummu telah datang kepadaku dan mengatakan begini dan begitu, jadi selamatkan diriku dan dirimu, dan jangan engkau bebani aku dengan (masalah) yang tidak sanggup aku hadapi.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Wahai bapa saudaraku, demi Allah, apabila mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku menghentikan dakwahku, aku tidak akan menghentikannya sampai Allah memberikan kemenangan atau aku mati kerananya.”
Ketika beliau menegakkan negara Islam dan melaksanakan jihad, beliau pun menentukan kemenangan Islam sebagai masalah utama yang perlu dihadapi. Beliau juga menjadikan masalah kemenangan Islam sebagai masalah hidup dan mati.
Diriwayatkan juga bahawa pada saat beliau berkhemah di Asafan, dua marhalah dari Mekah, dalam rangka perjalanan umrah menjelang peristiwa Hudaibiyah, seseorang daripada Bani Ka’b menemui beliau. Rasulullah SAW bertanyakan khabar tentang kaum Quraisy. Kemudian, orang tersebut berkata, “Mereka (Quraisy) telah mengetahui perjalanan anda, dan mereka mempersiapkan diri mereka serta berselubung kulit harimau (menunjukkan kekuatan yang menakutkan). Mereka berkhemah di Dzi-Thuwa dan bersumpah kepada Allah bahawa tidak akan membiarkanmu memasuki Mekah selamanya. Pasukan berkuda mereka dipimpin oleh Khalid ibnu al-Walid berada di Kira’ Al-Ghamîm.”
Mendengar laporan tersebut, Rasulullah SAW bersabda, “Celakalah kaum Quraisy. Mereka telah dihancurkan dengan peperangan. Apa ruginya mereka apabila mereka membiarkan masalah antara aku dan suku bangsa Arab lainnya? Apabila mereka (bangsa Arab) membunuhku, lalu apa yang mereka inginkan? Dan apabila Allah memberikan kemenangan atas mereka kepadaku, mereka akan dapat masuk Islam tanpa mengalami kekerasan. Dan apabila mereka tidak mahu (masuk Islam), mereka akan memerangiku selagi mereka kuat. Apa yang mereka (Quraisy) fikirkan? Demi Allah, aku akan meneruskan jihad untuk apa yang Allah sampaikan kepadaku sampai Allah memberi kemenangan atau leherku ini terpisah.” (HR Ahmad dari Miswar ibnu Makhramah).
Terpisahnya leher bererti sampai pada kematian. Kemudian beliau melanjutkan perjalanannya sehingga ke Hudaibiyah. Dalam kedua-dua masalah tersebut, iaitu menyampaikan dakwah melalui pertarungan pemikiran dan menyampaikan dakwah melalui pedang dan jihad, Rasulullah SAW menentukan masalah yang beliau hadapi. Beliau menjadikan kemenangan Islam sebagai masalah utama.
Dalam kedua-dua kes tersebut, beliau menyatakan ukuran yang menjadi risiko perjuangan, iaitu hidup dan mati. Berkenaan dengan masalah utama itu, beliau bersabda dalam kes pertama, “Sampai Allah memberikan kemenangan atau aku mati kerananya,” dan dalam kes kedua beliau berkata, “Sampai Allah memberi kemenangan atau leherku ini terpisah.” Andaikan Rasulullah tidak menentukan ukuran perjuangan tersebut dengan risiko hidup atau mati, maka Islam tidak akan menganggap kedua-dua kes tersebut sebagai masalah utama. Beliau tidak akan memperoleh kemenangan, baik dalam menyampaikan dakwah dengan pertarungan pemikiran, mahupun melalui pedang dan jihad.
Mirip dengan keadaan sekarang, pada saat umat Islam diperintah dengan sistem kufur dan manakala kaum muslim dipimpin oleh kaum kafir dan munafik. Dalam keadaan tersebut, apabila kaum muslim tidak memahami bahawa masalah ini merupakan masalah yang vital dan masalah hidup atau mati, maka tidak mungkin mereka meraih kemenangan dalam perjuangannya atau maju ke depan, meski hanya selangkah.
Dengan demikian, kami menyeru kepada seluruh kaum muslim yang saat ini berada di tengah-tengah kubangan kekufuran yang menguasai negeri-negeri kaum muslim untuk bersama-sama berjuang menegakkan Khilafah. Ini adalah metode untuk mengubah negeri-negeri kaum muslim menjadi Dar Islam, menyatukannya dengan negeri-negeri muslim lainnya, serta menyampaikan dakwah ke seluruh dunia, sehingga Islam meraih kemenangan.
Kami menyeru kepada seluruh umat Islam untuk mengulangi dengan sepenuh keyakinan dan kesedaran pernyataan Rasulullah SAW, “Demi Allah, apabila mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku menghentikan dakwahku, aku tidak akan menghentikannya sampai Allah memberikan kemenangan atau aku mati kerananya.”
Demikian pula sumpah beliau, “Demi Allah, aku akan meneruskan jihad untuk apa yang Allah sampaikan kepadaku, sampai Allah memberi kemenangan atau leherku ini terpisah.”
Wallahualam bissawab.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.