[Ath-Thariq] Persyaratan Parti Berideologi (Bahagian 4/5)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Memahami metode yang benar dalam mengikat para anggota dengan partinya.
Adapun syarat yang ketiga, berkaitan dengan tatacara penerimaan anggota parti dan perkara-perkara yang dapat menghimpun dan mengikat anggotanya itu berdasarkan asasnya.
Berdasarkan penelitian kami atas metode Rasulullah SAW dan juga realiti beberapa harakah lain, kami mendapati bahawa beberapa harakah tadi tidak konsisten dalam melaksanakan tatacara yang betul ketika menerima anggota parti, menghimpun, dan mengikat mereka. Dan inilah yang menjadi faktor mendasar kegagalan parti tersebut. Hal itu tiada lain kerana berbagai harakah dan parti yang menemui kegagalan tersebut dalam mengikat orang-orang (atau anggotanya) berpijak pada asas yang salah. Harakah atau parti tersebut menjadikan status politik (seperti menteri dan anggota eksekutif), kemampuan ekonomi (seperti para pemilik modal), atau kedudukan dalam masyarakat (seperti ketua suku dan pangkat dalam struktur ketenteraan) sebagai asas diterimanya seseorang sebagai anggota parti, tanpa memperhatikan keadaannya, apakah layak atau tidak menjadi anggota parti.
Juga terdapat pada sebahagian harakah karakter menghimpun orang ramai. Harakah tersebut memusatkan perhatiannya pada usaha mengumpulkan anggota sebanyak mungkin dengan mengabaikan sifat dan keperibadian mereka, apakah mampu atau tidak. Dengan demikian, semua perilaku seperti ini menjadi penyebab gagalnya harakah tersebut.
Yang benar adalah bahawa asas yang digunakan dalam mengikat peribadi-peribadi atau menerima mereka sebagai anggota parti, untuk mewujudkan parti yang benar sehingga mampu mencapai tujuan, perlu ditetapkan berdasarkan kelayakan atau kompetensi peribadi mereka sendiri. Adapun kompetensi mereka itu digambarkan dalam dua hal utama berikut:
- Iman dan ikhlas dengan ideologi parti dan tujuannya, serta memahami keduanya.
- Mampu melaksanakan konsekuensi dan kewajipan yang berkaitan dengan anggota parti.
Berkaitan dengan poin pertama, dan ini menjadi hal yang sangat penting, yakni anggota parti perlu meyakini ideologi parti secara sempurna, memahami pedoman yang digariskan, dan meyakini fikrah (pemikiran) parti dan tujuannya dengan sempurna sehingga tidak mampu ditembus oleh keraguan, dan perlu memahami pedoman yang digariskan oleh ideologi, batas terendahnya adalah dia memahami bahagian-bahagian pemikiran yang ingin diwujudkan dalam realiti.
Jika beberapa karakter atau sifat ini tidak terpenuhi, seseorang itu tidak mungkin dapat melaksanakan aktiviti dengan benar kerana keimanan merupakan energi yang menggerakkan seseorang agar dapat melakukan sesebuah aktiviti, dan pemahaman menjadi sebab dia dapat mengetahui berbagai perkara yang mesti diimani. Pemahaman inilah yang menjadi sebuah perkara yang memungkinkan seorang anggota (pengemban dakwah) menularkan atau mengemban pemikiran dan perasaannya pada orang lain sehingga dapat mengubah mereka dan bersama-sama mengubah masyarakat seluruhnya.
Berdasarkan hal ini, betapa pentingnya syarat ini dan sangat perlu untuk menyedari dan memperhatikannya sehingga kalaulah boleh dengan berbagai sebab mempermudah syarat lainnya, maka sebuah parti tidak boleh bertoleransi dengan syarat ini. Ini bukan bermakna sebuah parti perlu menolak seseorang hanya kerana adanya indikasi dia tidak ikhlas, tetapi parti perlu bertindak hati-hati dan membuktikan dengan pasti sebelum menghukumi seseorang yang tidak ikhlas, kerana bila seseorang memiliki karakter ini (tidak ikhlas), bermakna dia perlu dijauhkan sama sekali dari parti, dan hal itu sama sekali tidak akan mengundang perselisihan.
Adapun poin kedua, yakni mampu melaksanakan segala konsekuensi dan kewajipan yang berkaitan dengan parti. Maksud dari poin ini adalah bahawa seseorang mampu melaksanakan—serendah-rendahnya—konsekuensi kepartian, atau sedikitnya, beberapa tugas kepartian seperti memberikan pengajaran, khutbah, kunjungan dari rumah ke rumah, dan kunjungan umum lainnya.
[Bersambung ke bahagian 5/5]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)