ORANG ALIM YANG SESAT MENYESATKAN?
Oleh: Ustaz Irfan Abu Naveed
Ulama, wajib menjauhi apa yang diperingatkan Rasulullah ﷺ dalam hadis dari Tsauban r.a., dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
«إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ»
“Sesungguhnya yang aku khuatirkan atas umatku adalah para pemimpin yang (sesat) menyesatkan.” (HR. Al-Tirmidzi, Abu Dawud, Ahmad)
Lafaz innamâ dalam hadis di atas merupakan penanda bentuk kalimat yang mengandungi pengkhususan (al-qashr), yang berfaedah menguatkan pesan di dalamnya. Sedangkan yang dimaksud al-a’immah (pemimpin) dalam hadis ini adalah umarâ’ (penguasa) dan ’ulamâ (tokoh ulama).
Lafaz al-a’immah, lafaz ini jelas melekat pada penguasa (umarâ’) dan orang yang berilmu (’ulamâ). Kerosakan yang menimpa mereka, menjadi pangkal bagi kerosakan masyarakat secara umum, maka relevan jika baginda Rasulullah ﷺ memperingatkan bahaya para pemimpin yang sesat menyesatkan ini. Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (w. 505 H) dalam Ihyâ’ ’Ulûm al-Dîn (II/352) mengatakan:
ففساد الرعايا بفساد الملوك وفساد الملوك بفساد العلماء وفساد العلماء باستيلاء حب المال والجاه ومن استولى عليه حب الدنيا لم يقدر على الحسبة على الأراذل فكيف على الملوك والأكابر
Kerosakan masyarakat disebabkan kerana rosaknya penguasa. Rosaknya penguasa disebabkan kerana rosaknya mereka yang berilmu, dan rosaknya mereka yang berilmu disebabkan kerana dikuasai cinta harta dan kemasyhuran. Barangsiapa dikuasai cinta dunia, maka dia takkan mampu membetulkan rakyat lemah, lantas bagaimana (dia boleh membetulkan) para penguasa dan pembesar?
(*membetulkan – memuhasabah, ed)
Diriwayatkan dari Ziyad bin Hudair r.a., dia berkata: Umar bin al-Khattab r.a. pernah berkata kepadaku:
«هَلْ تَعْرِفُ مَا يَهْدِمُ الْإِسْلَامَ؟»
“Tahukah engkau apa yang menghancurkan Islam?”
Lalu aku menjawab: “Tidak tahu”, kemudian ’Umar r.a. berkata:
«يَهْدِمُهُ زَلَّةُ الْعَالِمِ، وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ وَحُكْمُ الْأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ»
“Yang menghancurkan Islam adalah penyimpangan orang berilmu, bantahan orang munafiq terhadap Al-Quran, dan keputusan para pemimpin yang menyesatkan.” (HR. Al-Darimi, al-Baghawi)