[Hadits Shiyam] Keterikatan pada Hukum-Hukum Syarak, Merealisasikan Autoriti Hukum Syarak dan Menentukan Standard Perbuatan dalam Kehidupan (Bahagian 2/3)
Nabi SAW bersabda, “Aku diberi Al-Quran serta sesuatu yang sama dengan Al-Quran itu.”
Seorang muslim tidak boleh menghalalkan sesuatu dengan standard manfaat atau maslahat, serta dengan akal, dan lainnya. Sesungguhnya halal adalah apa saja yang dihalalkan Allah. Sebaliknya, haram adalah apa saja yang diharamkan Allah Taala.
Banyak nas telah menyebutkan adanya larangan bagi seseorang untuk menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. Firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘Ini halal dan ini haram’ untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.” (TMQ An Nahl: 116).
“Katakan, ‘(Terangkanlah kepadamu) tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebahagiannya) halal.’ Katakanlah, ‘Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?’” (TMQ Yunus: 59).
“Sesungguhnya mengundurkan Bulan Haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah telah mengharamkannya. Maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang baik perbuatan yang buruk itu.” (TMQ At Taubat: 37).
Parameternya kemudian adalah apa yang dihalalkan Allah serta apa yang diharamkan-Nya, dan semata-mata bukan yang lain. Dengan demikian, (semuanya) akan bergantung menurut batasan halal dan haram tersebut.
Jika masalahnya masih kabur dan belum diketahui halal atau haramnya, aktiviti tersebut hendaklah dihentikan dahulu hingga benar-benar diketahui. Sebabnya, di sana masih banyak perbuatan yang belum diketahui oleh kebanyakan orang kerana ketidakjelasan persoalan tersebut. Oleh kerana itu, tidak boleh bertarjih terhadap yang halal dengan pertimbangan manfaat, maslahat, atau pun pertimbangan akal.
Juga tidak boleh bertarjih terhadap yang haram dengan pertimbangan berbahaya, menimbulkan kerosakan, atau pun pertimbangan akal. Yang perlu dilakukan adalah menghentikan perbuatan tersebut hingga persoalannya menjadi jelas bagi mereka.
Apabila telah jelas halal, mereka boleh mengerjakannya, tanpa sedikit pun keberatan. Namun apabila haram, mereka mesti menjauhinya dengan rela dan puas, sekalipun ia amat bermakna bagi hidupnya.
Selagi persoalan tersebut masih kabur antara halal atau haram, sebaiknya mereka menjauhinya hingga benar-benar diketahui. Apabila ternyata belum diketahui, lebih baik menjauhinya.
Diriwayatkan oleh Bukhari dari Amir. Dia mengatakan, “Aku mendengar Nu’man bin Basyir mengatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Halal itu amat jelas dan haram pun amat jelas, di antara keduanya ada kesamaran (musytabihat) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Barang siapa yang menghindarinya, dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Barang siapa yang jatuh ke dalam kesamaran itu, dikhuatirkan dia akan jatuh ke dalam keharaman. Seperti gembala yang menggembalakan ternaknya, dikuatirkan terjatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa dalam setiap kepemilikan ada yang menjaga. Bahawa perlindungan Allah di muka bumi-Nya adalah keharaman-Nya. Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada segumpal daging. Apabila (daging) itu baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, itulah hati.’”
Dengan cara ini, sebenarnya orang tersebut telah menelusuri jalan yang lebih dekat dengan keselamatan. Ini menunjukkan status penjelasan Rasulullah SAW tentang perincian parameter perbuatan tersebut. Bahkan beliau menambahkan adanya kewajipan untuk berdiam pada batas antara halal dan haram berupa dorongan untuk menjauhi perbuatan tersebut, ketika perbuatan tersebut masih kabur antara kehalalan dan keharamannya. Ini merupakan penekanan dan penjelasan yang paling jelas dalam masalah halal dan haram.
Inilah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa autoriti hukum syarak ini wajib direalisasikan dan bahawa pandangan hidup itu semata-mata halal dan haram. Inilah satu-satunya standard perbuatan dalam kehidupan. Ini cukup memuaskan bagi seorang muslim apabila dia beriman kepada Al-Quran dan kenabian Muhammad SAW. Dia akan menerima bahawa dia wajib mengatur perilakunya dalam kehidupan ini berdasarkan apa yang dibawa oleh Al-Quran dan hadis Rasul. Dengan demikian, seorang muslim telah merealisasikan autoriti hukum syarak pada dirinya dan menjadikan halal dan haram sebagai standard kehidupannya, bukan maslahat, manfaat, atau pun akal.
Oleh itu, dia akan mengembalikan nilai keterikatan kepada hukum syarak tersebut sebagai landasan dalam kehidupan individu sehari-hari dan dalam interaksi antara individu. Dengan demikian, hukum syarak kembali diperhitungkan dan kedisiplinan perilaku dengan segala keteraturan yang dapat menghasilkan kestabilan dan ketenteraman masyarakat pasti akan wujud.
Sumber: Hadits Shiyam