[Hadits Shiyam] Tauhidullah (Bahagian 1/2)
Allah SWT Berfirman, “dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama Allah?” Katakanlah: “Aku tidak mengakuinya”. Katakanlah lagi: “Hanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan aku berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)”.[TMQ Al-An’aam (6): 19]
Allah SWT berfirman, “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [TMQ At Taubah (9): 31]
Allah SWT berfirman, “dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak” [TMQ An Nisaa’ (4): 171]
Allah SWT berfirman, “Adakah benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan semula sesuatu yang mati? Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku”. (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar. Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu’” [TMQ Al Anbiyaa’(21): 21-25]
Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW mengutus Mu’adz bin Jabal ke Yaman. Dari Umaiyah bin Yahya bahawa dia mendengar Abu Ma’bad Musa bin Abbas berkata, “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata, ‘Ketika Nabi mengutus Mu’adz ke Yaman, beliau bersabda kepadanya, ‘Kamu akan mendatangi suatu kaum dari ahli kitab. Maka yang pertama kali yang perlu kamu serukan kepada mereka adalah agar mereka mengesakan Allah Taala. Apabila mereka sudah mengerti hal itu, beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka mengerjakan solat lima waktu.’”
Dengan dalil ini jelaslah bahawa kewajipan pertama yang perlu dilakukan oleh seorang muslim dalam mengemban dakwah Islam adalah mengajak kepada tauhidullah (pengesaan Allah), setelah itu mengajak kepada hukum-hukum Allah. Jelaslah bahawa pernyataan yang mengatakan Allah mempunyai anak adalah tindakan menyekutukan Allah, sebagaimana pernyataan bahawa ada Tuhan lain selain Allah.
Juga merupakan kepastian bahawa hujah tentang pengesaan Allah adalah hujah aqli, bukan hujah sam’i (naqli). Adapun dalil-dalil sam’i dalam Kitab dan Sunnah tentang pengesaan Allah adalah pengukuhan terhadap dalil yang telah ditetapkan oleh akal. Sekaligus menjelaskan makna pengesaan Allah tersebut.
Juga bahawa Islam adalah agama tauhid, sedangkan agama-agama yang lain tidak. Ini kerana, Yahudi menyatakan, “Uzair adalah anak Allah,” itu jelas syirik. Nasrani menyatakan, “Al Masih anak Allah,” itu pun jelas syirik. Demikian juga agama-agama paganisme lain yang kelihatan jelas kesyirikannya.
Ini tidak bermakna tauhid hanya diturunkan kepada Nabi Muhammad sahaja dan tidak kepada nabi-nabi lain. Ajaran tauhid diturunkan kepada semua nabi. Semua nabi yang diturunkan membawa ketauhidan. Firman Allah SWT, “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku” [TMQ Al Anbiyaa’ (21): 25]
“Dan telah disyariatkan kepadamu agama yang juga telah diwasiatkan kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepadamu, dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa.” [TMQ As Syuura (42): 13]
Ini berupa ajaran tauhid. Buktinya, sambungan ayat tersebut adalah,
“Tegakkanlah agama (tauhid itu), dan janganlah berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang musyrik (agama) yang kamu seru kepada mereka.” [TMQ As Syuura (42): 13]
Inilah ajaran tauhid. Banyak ayat yang datang (ketika itu) tentang tauhid kerana ketika Rasulullah SAW dihantar, amalan syirik tersebar luas ke seluruh dunia. Merupakan sebuah kemestian untuk membuka telinga orang-orang itu dalam banyak ayat tersebut dengan ketauhidan.
Sumber: https://muslimahnews.net/2024/10/12/32540/