[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam]
Fakta Nasionalisme sebelum Lahirnya Islam
Pada masa menjelang kedatangan Islam, Jazirah Arab tercabik-cabik dan terkoyak-koyak kerana kuatnya perpecahan yang didasarkan pada batas-batas nasionalisme. Penduduknya hidup dalam khemah atau rumah dan membentuk keluarga. Beberapa keluarga membentuk klan, lalu sekelompok klan membentuk suku.
Masing-masing suku memiliki peraturan sendiri yang mengatur kehidupan anggotanya. Kehormatan, kebanggaan, prestij, harga diri, dan kesetiaan adalah nilai-nilai yang dipertahankan oleh suku-suku ini. Segala kegiatan disesuaikan dengan kerangka kerja yang telah disusun oleh suku. Siapa pun yang melanggar peraturan-peraturan ini akan diberi peringatan atau dikenakan ancaman hukuman.
Berkumpul bersama dengan model seperti ini memberikan rasa aman bagi para individu dalam suku ini dan juga bagi orang-orang yang meminta suaka kepada mereka. Aspek lain daripada bentuk kesukuan ini adalah bahawa siapa pun yang meminta perlindungan kepada suku, dia wajib dilindungi oleh suku, sekalipun orang tersebut pernah terlibat permusuhan dengan suku tersebut. Ini merupakan cara yang lain untuk memperoleh keamanan.
Suku-suku yang dominan pada saat itu adalah Quraisy di Mekah, Aus, Khazraj, serta beberapa suku Yahudi di Yathrib (Madinah) dan Tsaqif di Thaif. Kesetiaan yang kuat terhadap suku masing-masing sering menjadi pemicu persaingan dan permusuhan antara suku. Permusuhan ini sering memanas dan memuncak menjadi perselisihan yang berakhir dengan peperangan. Mereka berkelahi hanya kerana masalah yang remeh, seperti masalah padang rumput, air, kuda, dan unta.
Zaman jahiliah (kebodohan) pada masa itu penuh dengan hal-hal seperti itu. Sepanjang abad kelima, salah satu perang yang sangat terkenal adalah Harb al-Basus yang disebabkan oleh terbunuhnya unta bernama Basus milik seorang tua dari Bani Bakr. Perang ini berlangsung selama tiga puluh tahun dan masing-masing menyerang, merampas, dan membunuh. Harb Dahis wa’l Ghabraa timbul kerana ketidakjujuran dalam suatu pacuan kuda antara suku Abs dan Dhabyan di Arabia Tengah. Perang ini berlangsung sampai beberapa waktu.
Kedua-dua suku Aus dan Khazraj di Yathrib (sekarang Madinah) juga terlibat dalam Harb al-Bu’ath. Adapun di Mekah, Suku Quraisy dan sekutunya, Bani Kinanah, berperang dengan Suku Hawazin dalam perang Harb al-Fujjar.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam