[PEDULI PALESTIN] Bersetuju dengan Penyelesaian Dua Negara Merupakan Satu Bentuk Pengkhianatan Terhadap Palestin Yang Diberkati dan Islam
Merujuk kepada suatu wawancara bersama CNN baru-baru ini, PMX mengakui bahawa entiti Zionis ‘berhak’ untuk wujud di atas Tanah Palestin, meskipun hanya secara ‘de facto’, kerana mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri [Harian Metro, 21/11/2024]. Pandangan ini tidak mengejutkan, memandangkan dasar luar Malaysia yang telah lama menyatakan sokongannya terhadap penyelesaian dua negara.
Sejarah Palestin dalam Pemerintahan Islam
Dalam konteks hukum Islam, Palestin merupakan tanah Kharajiyah kerana ia telah diperolehi melalui peperangan dan perjanjian semasa kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab. Ia bermaksud, setiap bidang tanah di Palestin dikenakan kharaj iaitu, bayaran tahunan ke atas tanah. Hasil kutipan kharaj ini dikelolakan oleh Baitul Mal (perbendaharaan negara Islam) dan dimiliki oleh umat Islam. Allah SWT berfirman:
“Harta rampasan (fai) apa saja yang Allah berikan kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk suatu negeri adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, kaum miskin dan ibnu sabil. Agar harta tersebut jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian.”
[Al-Hasyr (59): 7]
Status Palestin: Milik Umat Islam hingga Hari Kiamat
Hukum Islam menetapkan bahawa status tanah Kharajiyah tidak berubah dan kekal milik umat Islam sehingga Hari Kiamat. Inilah yang ditunjukkan oleh Khalifah Abdul Hamid II yang menolak permintaan Zionis untuk membeli walau seinci tanah Palestin, kerana beliau memahami bahawa Palestin adalah milik umat Islam secara mutlak.
Memberikan pengiktirafan atau pemilikan tanah Palestin kepada orang asing, khususnya Zionis, adalah bertentangan dengan hukum Islam. Ia juga melanggar hak umat Islam ke atas tanah suci tersebut. Mana-mana individu atau pihak yang menyokong penyelesaian dua negara sebenarnya mengkhianati umat dan agama Islam. Pengkhianatan ini bukan sekadar soal politik, tetapi juga merupakan pelanggaran prinsip asas syariat Islam.
Sebagai umat Islam, kita perlu menolak sebarang penyelesaian yang memberikan legitimasi kepada penjajahan tanah Palestin. Palestin adalah amanah umat Islam dan akan kekal demikian hingga akhir zaman.
Sumber: mykhilafah