BOLEHKAH SYIRKAH DIHADKAN JANGKA WAKTUNYA?
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Ustaz, bolehkah syirkah mudharabah dihadkan jangka waktunya? Misalnya, dipersetujui bahawa jangka waktunya selama satu tahun. Dan setelah itu dilakukan akad baru.
Jawapan :
Jawapannya, ada ikhtilāf (perbezaan pendapat) di kalangan ulama mengenai bolehkah syirkah ada jangka waktunya, menjadi dua pendapat:
Pertama, boleh, ini pendapat ulama Hanafiyah dan ulama Hanabilah.
Kedua, tidak boleh, ini pendapat ulama Malikiyyah dan Syafi’iyyah. (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 38/64).
Alasan ulama Hanafiyah dan Hanabilah yang membolehkan, antara lain kerana syirkah adalah akad jā`iz, ertinya akad yang tidak mengikat (ghayru lāzim), iaitu masing-masing pihak berhak melakukan fasakh (pembatalan) akad bila-bila saja, secara sepihak, seperti halnya akad wakālah. Padahal dalam akad wakalah dibolehkan ada ta’qīt (penetapan jangka waktu tertentu). (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 38/64).
Maka dari itu, ulama Hanafiyah dan Hanabilah membolehkan syirkah berjangka waktu (ada tempoh), misalnya pemodal (shāhibul māl) mengucapkan ijab kepada pengelola modal (mudhārib) dengan redaksi sebagai berikut :
ضَارَبْتُكَ عَلىَ هَذِهِ الدَّرَاهِمِ أَوِ الدَّناَنِيْرِ سَنَةً
“Saya mudharabahkan kepada anda modal saya sekian dirham atau sekian dinar, dalam jangka waktu satu tahun.” (Al-Mausā’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 38/64).
Adapun ulama Syafi’iyyah dan Malikiyyah yang tidak membolehkan, beralasan antara lain kerana syirkah yang dengan tempoh waktu tertentu dianggap bertentangan dengan sifat syirkah sebagai akad jā`iz, yang ertinya merupakan akad yang masing-masing pihak berhak melakukan fasakh (pembatalan) akad bila-bila masa saja, secara sepihak. Jadi, selagi jangka waktu syirkah belum berakhir, bererti hak fasakh (pembatalan akad) yang sepatutnya menjadi hak semua pihak, ditiadakan, ini tidak boleh. (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 38/64).
Maka dari itu, ulama Malikiyah dan Syafi’iyyah tidak membolehkan syirkah dengan jangka waktu/tempoh tertentu, sebagaimana pendapat mereka bahawa :
فَلَوْ أُجِّلَ الْعَمَلُ فِيْهَا ابْتِدَاءً أَوْ انْتِهَاءً ، كَاعْمَلْ فِيْهاَ سَنَةً مِنَ اْلآنَ… فَسَدَتِ الْمُضَارَبَةُ
“Kalau ditentukan jangka waktu bekerja dalam syirkah, ada permulaan dan ada akhirnya, misal pemilik modal berkata kepada pengelola modal, ’Bekerjalah dengan modal itu selama satu tahun sejak sekarang… maka syirkah mudharabahnya fasad.” (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 38/64).
Pendapat yang rājih (lebih kuat dalilnya) menurut kami adalah pendapat ulama Hanafiyah dan Hanabilah yang membolehkan syirkah berjangka waktu, sebagaimana pendapat Imam Ibnu Qudamah, rahimahullāh, berikut ini :
وَيَصِحُّ تَأْقِيْتُ الْمُضاَرَبَةِ، مِثْلُ أَنْ يَقُوْلَ: ضَارَبْتُكَ عَلىَ هَذِهِ الدَّرَاهِمِ سَنَةً، فَإِذَا انْقَضَتْ، فَلاَ تَبِعْ، وَلاَ تَشْتَرِ
“Boleh hukumnya penetapan jangka waktu syirkah mudharabah, misalnya (shahibul mal) berkata (kepada pengelola modal),”Saya mudharabahkan kepada anda modal sekian dirham selama satu tahun, maka jika jangka waktunya berakhir, jangan anda menjual atau membeli.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughnī, 5/70; Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 2/27).
Alasan pentarjihan pendapat ini adalah kerana akad syirkah mudharabah itu dasarnya adalah akad wakālah, padahal dalam akad wakālah, diperbolehkan ada “al-ta`qīt” (التأقيت) atau penetapan jangka waktunya. Dalam kitab Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah dijelaskan bahawa :
يَصِحُّ تَأْقِيْتُ الْوَكاَلَةِ بِأَجَلٍ عَنْدَ جَمِيْعِ الْفُقَهاَءِ
“Boleh hukumnya penetapan jangka waktu dalam tempoh tertentu untuk akad wakalah, menurut semua fuqaha`.” (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 2/27).
Hanya saja, ada dua syarat untuk bolehnya penetapan jangka waktu syirkah ini, iaitu :
Pertama, disyaratkan ada keredhaan semua pihak untuk melepaskan haknya melakukan fasakh sebelum jangka waktu syirkah berakhir, dan
Kedua, penetapan jangka waktu syirkah ini tidak menimbulkan mudharat (seperti kerugian usaha, dsb) bagi para pihak yang bersyirkah.
Demikianlah kami cenderung pada fatwa nombor 10.670 dari http://www.islamweb.net yang berbunyi sebagai :
وَالَّذِيْ يَتَرَجَّحُ عِنْدَنَا – وَاللهُ أَعْلَمُ – هُوَ الْمَذْهَبُ اْلأَخِيْرُ ماَ دَامَ التَّقْيِيْدُ بِزَمَنٍ يُمَثِّلُ رَغْبَةَ صاَحِبِ الْماَلِ، مَعَ انْتِفَاءِ الضَّرَرِ عَنِ اْلآخَرِ وَحُصُوْلِ الرِّضاَ مِنْهُ
“Dan pendapat yang rājih bagi kami, wallāhu a’lam, adalah mazhab terakhir (yang membolehkan penetapan jangka waktu syirkah), selama keterikatan dengan jangka waktu tertentu itu mencerminkan kehendak (keredhaan) dari pihak pemodal (shāhibul māl), dengan syarat tidak boleh terjadi dharar (bahaya) dari pihak lainnya dan terwujudnya keredhaan (juga) dari pihak lain itu.” (Lihat : https://www.islamweb.net/ar/fatwa/10670/حكم-تحديد-مدة-المضاربة).
Dalil syarat pertama, iaitu adanya keredhaan para pihak, didasarkan pada ayat :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ اِلَّآ اَنْ تَكُوْنَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِّنْكُمْۗ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta di antara sesama kamu dengan cara yang batil (tidak halal), kecuali berupa perniagaan atas dasar suka sama suka (saling redha) di antara kamu.” (TMQ An-Nisā` [4] : 29).
Syarat keredhaan semua pihak tersebut, juga didasarkan pada hadis Rasulullah SAW yang sahih berikut ini :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:( الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ ) رواه أبو داود (3594 ) ، ورواه الترمذي (1352)
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata,’Rasulullah SAW telah bersabda,’Kaum muslimin (bermuamalah) menurut syarat-syarat (yang dipersetujui di antara) mereka.” (HR. Abu Dawud, no 3594; dan Al-Tirmidzi, no. 1352).
Adapun dalil syarat kedua, iaitu tidak boleh menimbulkan dharar (bahaya) seperti kerugian usaha dan sebagainya, bagi para pihak dalam syirkah, adalah hadis :
عنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ سَعْدِ بنِ مَالِكٍ بْنِ سِنَانٍ الخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: (لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ). رواه ابن ماجة (2341)، ورواه أحمد (1/313)، ورواه الحاكم (2/66)، ورواه الدارقطني (3/77)، ورواه اليهقي في السنن الكبرى، (6/69).
Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,”Tidak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri (dharar) dan bahaya bagi orang lain (dhirār).” (HR. Ibnu Majah, no. 2341; Ahmad, 1/313; Al-Hakim, dalam Al-Mustadrak, 2/66; Al-Daraquthni, 3/77; Al-Baihaqi, dalam As-Sunan Al-Kubra, 6/69).
Wallāhu a’lam.