[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam] Nasionalisme di Arab Saudi dan Negara Teluk
Arab Saudi serta negara-negara di kawasan Teluk mencerminkan sebuah kes klasik nasionalisme yang telah ditanamkan oleh Barat, khususnya British. Suku-suku yang kuat di wilayah ini dimobilisasi untuk bangkit melawan Khilafah Uthman dengan janji bantuan kewangan dan kemerdekaan negaranya.
British pada awalnya memanfaatkan Syarif Hussain beserta anaknya, Faisal dan Abdullah, untuk memberontak melawan Khilafah. Revolusi ini terjadi akibat hasutan seorang ejen British yang terkenal, iaitu TE. Lawrence [1] yang berusaha mengacaukan pasukan-pasukan Negara Islam dan memutuskan komunikasi antara mereka. Sementara itu, pasukan Jeneral Allenby terus mara dari Mesir pada tahun 1917. Namun, apabila British mula tidak menyukai Syarif Hussain, British menggantikannya dengan Abdu al-Aziz bin Saud yang juga dibiayai oleh British dan usahanya untuk mendapatkan kekuasaan.
Pada akhir 1927, keluarga Saud telah berjaya menguasai sebahagian besar Jazirah Arab. Pada tahun yang sama pula diratifikasi perjanjian oleh British yang memberikan kekuasaan penuh kepada keluarga Saud sebagai imbalan atas pengakuannya terhadap kekuasaan British atas kabilah-kabilah Teluk di Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Oman. Pada 1932, Jazirah Arab diberi nama baru, iaitu kerajaan Arab Saudi.
Sejak saat itu, keluarga Saud memegang kawalan pemerintahan atas wilayah tersebut dengan membangun kekuasaannya di atas struktur kesukuan. Keseluruhan pemerintahan dikendalikan oleh anggota keluarga Saud, yang kini jumlahnya mencapai 5,000 orang.
Adapun Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, dan Oman, British juga telah meletakkan ejen-ejennya sebagai penguasa sejak sebelum runtuhnya Negara Islam pada 1924. Keluarga Al-Sa’id telah menandatangani perjanjian dengan British pada 1891, keluarga Al-Sabah di Kuwait pada 1889, keluarga Al-Tsani menyusul pada 1915. Masih banyak penguasa daerah Emiriah Arab Bersatu yang juga melakukan hal yang sama.
Pemberian kekuasaan pada keluarga-keluarga yang telah dilakukan oleh British ini sebenarnya sama maksudnya dengan mengembalikan Jazirah Arab kepada zaman pra-Islam, ketika wilayah ini dikuasai oleh banyak suku atau kabilah. Bentuk pemerintahan yang semacam ini tidak mampu membangkitkan umat Islam di wilayah tersebut. Sebaliknya, pembahagian wilayah berdasarkan batas-batas nasionalisme telah memupuskan harapan akan tercapainya suatu kemajuan. Ini kerana masing-masing penguasa terlalu sibuk untuk mempertahankan kedudukannya. Walaupun kenyataannya negara-negara di Jazirah Arab memperoleh pendapatan negara daripada minyak yang jumlahnya jauh melampaui jumlah yang diperoleh negara-negara Barat, pendapatan itu ternyata tidak mendorong kebangkitan. Wang yang telah diperoleh dairpada minyak sejak 1940-an itu dipindahkan ke akaun bank-bank di Swiss dan pusat-pusat pelaburan di negara-negara Barat.
Nasionalisme tidak mampu mengangkat darjat negara-negara ini, tetapi sebaliknya menjerumuskan mereka ke dalam cengkaman orang-orang kafir lebih dalam dari sebelumnya.
Nota kaki:
[1] Thomas Edward Lawrence digambarkan sebagai seorang pahlawan dalam film Lawrence of Arabia. Dalam film itu, dia digambarkan sebagai seorang lelaki yang terjebak dalam konflik antara orang-orang Arab dan Turki. Sesungguhnya Lawrence adalah seorang ejen British yang tugasnya mengorganisasikan pembangkangan bersenjata terhadap Negara Islam.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam