[HADIS] WASIAT NABI SAW, “ISTIQAMAHLAH!”
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
SEORANG Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, ajarilah aku dari Islam ini suatu ucapan yang mana aku tidak perlu lagi bertanya tentang hal itu kepada orang lain selain engkau.”
Beliau menjawab:
قُلْ أَمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
“Katakanlah, ‘Aku beriman kepada Allah,’ kemudian istiqamahlah!” (HR Ahmad).
Ibnu Rajab mengatakan, “Wasiat Nabi SAW ini sudah mencakup wasiat dalam agama ini seluruhnya.” (Ibn Rajab al-Hanbali, Jaami’ al-‘Uluum wa al-Hikam, hlm. 246).
Istiqamah adalah menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) tanpa berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqamah mencakup pelaksanaan semua bentuk ketaatan kepada Allah SWT, zahir dan batin; meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Inilah pengertian istiqamah yang disebutkan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali.
Imam an-Nawawi dalam Bahjah an-Naazhiriin, Syarh Riyaadh ash-Shaalihiin, juga berkata, “Para ulama mentafsirkan istiqâmah dengan luzuum thaa’atilLaah. Maksudnya, tetap berterusan dalam ketaatan kepada Allah SWT.”
Begitu pentingnya setiap muslim untuk tetap istiqamah dalam ketaatan atau ketakwaan kepada Allah SWT, ada doa khusus yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita dan sering beliau panjatkan, iaitu:
ِيَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Duhai Tuhan Yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (HR at-Tirmidzi).
Imam Hasan al-Bashri juga mengajar kita untuk banyak memohon keistiqamahan kepada Allah SWT dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا فَارْزُقُ الْإِسْتِقَامَةَ
“Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Kerana itu berilah kami keistiqamahan.” (Ibn Rajab al-Hanbali, Jaami’ al-‘Uluum wa al-Hikam, hlm. 245).
Semoga kita tetap menjadi orang-orang yang istiqamah dalam ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT sehingga akhir hayat kita. Aamiin.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.