[HADIS] PENTINGNYA MUHASABAH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
MUHASABAH (menghisab) diri, dalam pandangan Haris bin Asad al-Muhasibi, adalah pangkal takwa. Dia berkata, “Pangkal ketaatan adalah sikap warak (waspada terhadap dosa). Pangkal warak adalah takwa. Pangkal takwa adalah muhâsabah diri. Pangkal muhâsabah diri adalah sikap khawf dan raja’ (harap dan cemas kepada Allah SWT). Pangkal khawf dan raja’ adalah memahami janji dan ancaman-Nya.” (Abu Nu’aim al-Asbahani, Hilyah al Awliyaa’, 4/282).
Menurut Imam Hasan al-Bashri, muhâsabah akan meringankan hisab pada Hari Akhirat. Sebab, dengan muhâsabah itulah hati kita terjaga daripada kelalaian, mulut terhindar dari mengucapkan keburukan serta perbuatan kita akan terpelihara dari segala maksiat dan kemungkaran. Menurut Ibnu Qayyim dalam kitab Mukhtasyar Minhâj al-Qâshidîn, “Muhasabah diri itu sejatinya dilakukan sebelum dan setelah melakukan perbuatan.”
Muhâsabah diri adalah sangat penting dilakukan oleh setiap muslim, setiap waktu, sebelum diri dihisab oleh Allah SWT pada Hari Akhirat nanti. Hal ini kerana, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
لَا تَزُولُ قَدَمُ ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَة مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلُ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ وَمَالِهِ مِن أين اكتسبه وفيم أنفقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمْ
“Kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada Hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara: Tentang umurnya, untuk apa dia habiskan. Tentang masa mudanya, untuk apa digunakan. Tentang hartanya, daripada mana dia perolehinya dan untuk apa dia belanjakan. Juga tentang ilmunya, apa yang dilakukan dengan ilmunya itu.” (HR at-Tirmidzi).
Kerana itulah, seorang muslim sepatutnya tidak melakukan apapun sebelum menghisab dirinya dan menimbang-nimbang adakah tindakannya halal atau haram. Dia juga sepatutnya memiliki waktu khusus pada malam atau siang hari untuk melakukan muhâsabah diri atas segala tindakannya. Jika telah sesuai dengan syariah, alhamdulillah. Jika ada yang menyimpang dari syariah, hendaknya dia bertaubat kepada Allah SWT. (Lihat: Abu Abdurrahman as-Silmi, Thabaqaat as-Suufiyyah, 1/33).
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.