[HADIS] JANGAN TERLENA OLEH DUNIA YANG FANA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya (yang maksudnya): “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu, “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat menjadi orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak akan sekali-kali melambatkan (kematian) seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (TMQ al-Munafiqun [63]: 9-11).
Allah SWT juga berfirman (yang maksudnya): “(Demikianlah) hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku dapat berbuat amal soleh yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang dia ucapkan saja.” (TMQ al-Mu’minun [23]: 99-100).
Sebab itulah Baginda Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita, “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau seperti orang yang berada dalam perjalanan.” (HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi).
Ya, bagi seorang muslim, di dunia ini hakikatnya dia seperti orang asing. Sebab, ‘tanah air’- nya yang hakiki adalah syurga. Insya Allah, syurgalah tempat dia kembali.
Manusia di dunia ini, seperti seorang musafir yang meninggalkan negerinya untuk sementara, kemudian dia akan kembali. Oleh itu, sudah pasti dia tidak akan berlama-lama di dunia dan tidak akan mengambil bahagian dari kenikmatan dunia ini, kecuali sekadarnya sahaja untuk bekal kembali (ke akhirat). (Muhammad bin ‘Alan, Daliil al-Faalihiin li Thuruuq Riyaadh ash-Shaalihiin, III/7).
Dalam ungkapan yang berbeza, Ibn Umar RA juga mengingatkan kita, “Jika kamu ada di waktu petang, jangan menunggu datangnya waktu pagi. Jika kamu ada di pagi hari, jangan menunggu datangnya waktu petang. Jadikanlah masa sihatmu (untuk beramal soleh) sebelum datang masa sakitmu) dan jadikanlah masa kehidupanmu (untuk beramal soleh) sebelum datang kematianmu.” (HR al-Bukhari).
Maknanya, bersegeralah selalu kita dalam melakukan amal soleh. Jangan menunda-nundanya seolah-olah kita mempunyai banyak waktu. Sedangkan itu hanyalah angan-angan kita sahaja kerana sesungguhnya waktu kita di dunia ini amatlah sedikit.
Wa maa tawfiiqii ilLaa bilLaah.