[TELADAN ULAMA] TAJAMKANLAH SELALU MATA HATIMU
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (TMQ Al-Hajj 22: 46)
Suatu hari Baginda Rasulullah SAW melewati seorang sahabat yang sedang membaca al-Quran. Sampailah pada ayat yang ertinya: “Jika langit terbelah dan memerah seperti kulit merah” (TMQ ar- Rahman [55]: 37). Seketika tubuhnya rasa gementar dan dia menangis seraya berkata, “Aduh, apa yang akan berlaku pada diriku sekiranya langit terbelah (terjadi kiamat)? Sungguh malang nasibku!” Mendengar itu, Nabi SAW pun bersabda, “Tangisanmu menyebabkan para malaikat pun turut menangis.”
Dikisahkan pula, Abdullah bin Rawahah RA suatu ketika tampak sedang menangis dengan sedihnya. Melihat keadaannya itu, isterinya pun turut menangis hingga Abdullah bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Isterinya menjawab, “Melihatmu menangis, itulah yang menyebabkan aku menangis.” Abdullah bin Rawahah RA lalu berkata, “Saat aku membayangkan bahawa aku bakal menyeberangi shirâth, aku tidak tahu adakah aku akan selamat atau tidak. Itulah yang membuatku menangis.” (Al- Kandahlawi, Fadhâ’il A’mâl, hlm. 565.)
Kisah-kisah seperti ini, yang menggambarkan rasa takut para sahabat, juga generasi salafush- salih, terhadap azab Allah SWT sangatlah banyak. Wajarlah jika mereka adalah orang-orang yang selalu bersungguh-sungguh dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT dan dalam menjauhi kemaksiatan kepada-Nya kerana begitu dahsyatnya rasa takut mereka kepada-Nya. Benarlah Fudhail bin Iyadh saat berkata, “Rasa takut kepada Allah SWT selamanya akan membawa kebaikan.”
Bagaimana dengan generasi muslim saat ini? Sayang, rasa takut kepada Allah SWT kelihatan begitu sukar tumbuh pada kebanyakan dari kita. Apa yang sering berlaku adalah sebaliknya. Kita seolah-olah menjadi orang yang paling berani menghadapi azab Allah SWT kelak pada Hari Kiamat. Mengapa tidak? Perilaku kebanyakan dari kita menunjukkan demikian. Menerapkan hukum-hukum kufur, mencampakkan hukum-hukum Allah, menerapkan hukum secara tidak adil dan berlaku zalim terhadap rakyat tidak lagi dipandang sebagai maksiat. Korupsi, bersekongkol untuk tujuan tercela dan suap-menyuap tidak lagi dipandang sebagai dosa. Riba, judi, dan khianat dalam perniagaan tidak lagi dianggap sebagai suatu tindakan yang salah. Mendedahkan aurat, bergaul bebas, curang (bagi pasangan yang telah menikah) dan zina tidak lagi dipandang sebagai perbuatan laknat. Begitulah seterusnya. Pihak-pihak yang melakukan perbuatan-perbuatan tercela itu tadi dengan nyata menunjukkan bahawa kebanyakan generasi muslim saat ini adalah orang-orang yang berani mencabar azab Allah SWT yang sesungguhnya maha dahsyat! Padahal jika ada setitik sahaja pada diri kita rasa takut kepada Allah SWT, kita pasti akan selalu berusaha meninggalkan semua perbuatan terkutuk tersebut.
Sepatutnya kita merasa malu dengan generasi shalafush-shalih sebagaimana direpresantasikan oleh secuil kisah sahabat di atas. Mengapa tidak. Sebahagian mereka sudah mendapatkan jaminan Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga. Namun, rasa khuatir dan takut kepada Allah SWT yang luar biasa sering menyelimuti sebahagian besar kalbu mereka. Marilah kita merenung kembali kekhuatiran dan rasa takut Umar ibn al- Khattab RA, salah seorang sahabat besar Rasulullah SAW yang telah dijamin masuk syurga, saat beliau berkata, “Pada Hari Kiamat nanti, apabila diumumkan bahawa semua manusia akan masuk syurga, kecuali seorang saja yang masuk neraka, maka aku sangat khuatir bahawa yang seorang itu adalah aku kerana begitu banyaknya dosa-dosaku.”
Bagaimana dengan kita? Meski jelas kita sangat jauh lebih banyak dosanya daripada Umar bin al-Khattab RA dan belum pasti mendapatkan ‘tiket’ untuk masuk syurga, rasa khuatir dan takut kepada azab Allah SWT seolah sukar tumbuh dalam diri kita. Kebanyakannya kita santai-santai sahaja, bahkan seolah seperti sudah kebal dengan rasa takut kepada Allah SWT, dan tidak khuatir dengan azab-Nya yang pasti siapapun mustahil sanggup menanggungnya.
Jika begitu keadaanya, sudah tiba masanya kita merenungkan kembali firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi, “Aku tidak akan mengumpulkan dua ketakutan pada seorang hamba. Jika dia tidak takut kepada-Ku di dunia, maka Aku akan memberinya rasa takut di akhirat. Jika dia takut kepada-ku di dunia, maka Aku akan menghilangkan rasa takut pada dirinya di akhirat.”
Kerana itu, benarlah Abu Sulaiman Darani saat berkata, “Kecelakaanlah bagi jiwa yang kosong dari rasa takut kepada Allah SWT!”
Lantas mengapa kebanyakan generasi muslim saat ini begitu hampa dari rasa takut kepada Allah SWT? Tidak lain, sebagaimana dinyatakan Allah SWT sendiri, “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”(TMQ Al-Hajj 22: 46)
Ya, kebanyakan mata hati kita memang sudah dibutakan oleh gemerlap dunia yang sesungguhnya bersifat sementara dan cenderung menipu. Akibatnya, kita tidak sanggup lagi melihat pahala dan dosa, serta tidak berdaya lagi menatap nikmat syurga dan azab neraka yang sesungguhnya kekal dan abadi serta benar-benar ‘nyata’.
Alhasil, marilah kita kembali menajamkan mata hati kita!