Kempen ‘Muslimah Ideal: Seni Membentuk Generasi Pemimpin’
Kempen ‘Muslimah Ideal: Seni Membentuk Generasi Pemimpin’ siri kedua ini bertujuan mengangkat martabat wanita Muslim sebagai arkitek utama dalam mencorakkan generasi pemimpin masa depan yang bertakwa, berilmu, dan berdaya juang. Kempen ini menitikberatkan peranan wanita Muslim sebagai ibu, pendidik, serta pemimpin masyarakat dengan menjadikan tokoh-tokoh Muslimah sepanjang zaman sebagai teladan dalam membentuk insan yang unggul dan berjiwa besar.
Lembaran sirah memperlihatkan wanita luar biasa yang menjadi tulang belakang kebangkitan pemimpin Islam. Ummu Sulaim mendidik Anas bin Malik sehingga menjadi ulama besar serta pembantu Rasulullah SAW yang berjasa dalam periwayatan hadis. Asma’ binti Abu Bakar membentuk Abdullah bin Zubair menjadi pemimpin berani yang mempertahankan kebenaran hingga syahid. Khansa’ pula menanamkan semangat jihad serta tsaqafah Islam dalam jiwa anak-anaknya, sehingga menjadi mujahid yang teguh berjuang di medan perang tanpa gentar.
Pada masa kini, keteguhan Muslimah Palestin terus menjadi sumber inspirasi. Ummu Nidal Farhat, misalnya, membesarkan anak-anaknya dengan nilai keberanian dan pengorbanan sehingga menjadi lambang ketabahan seorang ibu. Beliau dikenali kerana menghantar anaknya, Muhammad Farhat, untuk melaksanakan operasi mempertahankan Palestin, menjadikannya simbol ibu era moden yang memahami makna sebenar jihad dan perjuangan.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa Muslimah bukan sekadar berperanan di dalam rumah, tetapi juga sebagai pembentuk peradaban gemilang melalui pendidikan yang berteraskan keimanan.
Melalui kempen ini, para Muslimah akan dibimbing untuk mengenali dan mengembangkan potensi besar yang dianugerahkan kepada mereka dalam mencetak generasi pemimpin. Dengan menghayati dan meneladani keunggulan karakter Muslimah ideal zaman dahulu malah era kontemporari, Muslimah dapat membimbing anak-anak dengan nilai-nilai Islam yang murni: kesolehan, keberanian, dan daya juang yang tidak pernah luntur.
Kempen ini juga berhasrat menghidupkan kembali peranan strategik Muslimah sebagai madrasah pertama dalam melahirkan generasi yang mampu membawa perubahan besar kepada dunia, memandu generasi ke arah merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.