Pembukaan Dayeuh Pakuan kepada Islam (Sejarah Awal Islam di Bogor Sebelum Era Kolonial, Sekitar 1480–1680) (Bahagian Kesembilan)
Misi jihad ofensif ke Lampung dan Pakuan telah ditekankan sejak awal oleh Panembahan Hasanuddin yang memegang kekuasaan di Banten iaitu “kerana hendak mengalahkan semua orang kafir yang belum Islam”.[1]
Ini tidak bermakna Banten mahu memaksa Islam kepada penduduk yang masih berpegang kepada agama lama mereka. Kita telah melihat bagaimana “semua ajaran di Gunung Pulosari” (kalayan pun ajar saking Pulasari) yang separuh daripadanya bukan Islam berperang di pihak pasukan Islam.[2]
Mereka tidak dipaksa bersyahadat terlebih dulu untuk bergabung ke kubu kaum Muslim. Visi pasukan Muslim adalah futûhât, “pembebasan” dari kezaliman Surawisesa sehingga Nilakendra yang menyengsarakan hidup rakyat Pajajaran. Visi inilah yang dijalankan umat Islam sedunia dari masa Rasulullah SAW untuk membebaskan negeri-negeri Arab dan bukan Arab menjadi Dâr al-Islâm. Secara sempurna, visi tersebut diungkapkan Rubâ’î bin Amîr yang dihantar menemui Jeneral Rustum dari Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qâdisiyah: “Allah mengutus kami untuk memerdekakan siapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada sesama manusia menuju penyembahan hanya kepada Allah; dari kesempitan dunia menuju luasnya akhirat; dan dari kezaliman agama menuju keadilan Islam.” (Allâh ibta’atsanâ li nukhrija man syâ’a min ‘ibâdati’l-‘ibâd ilâ ‘ibâdatillâh, wa min dhîqi’d-dunyâ ilâ si’atihâ, wa min jauri’l-adyân ilâ ‘adli’l-Islâm).[3]
Sepanjang sejarah tamadun Islam, jihad tidak pernah ditafsirkan sebagai penindasan, sekatan kebebasan, atau rampasan paksa tanah dan harta benda orang lain. Jihad selain ditafsirkan sebagai usaha untuk mengekalkan kewujudan masyarakat Islam, juga sentiasa bermaksud usaha memberi peluang kepada setiap orang untuk memilih Islam. Syariah Islam untuk jihad adalah untuk menyingkirkan berbagai rintangan yang diciptakan oleh kelompok-kelompok tertentu, termasuk para penguasa, dalam menghalangi akidah Islam dari orang ramai. Allah menegaskan definisi jihad dalam Kalam-Nya yang mulia (yang bermaksud): Perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan agar ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kalian) maka tidak ada permusuhan lagi, kecuali terhadap kaum yang zalim [TMQ al-Baqarah (2): 193].
Inilah tujuan dari futûhât Islam. Futûhât bermaksud pembebasan. Ini membuka kesempatan yang luas bagi setiap orang di suatu negeri yang dibebaskan untuk berfikir rasional dan bebas daripada belenggu kuasa zalim mengenai pilihan Islam mereka. Setelah Islam sampai, semuanya terpulang pada pilihan yang bebas merdeka tanpa paksaan adakah mereka ingin memeluk Islam atau menolaknya.[4]
Dalam Sajarah Banten dijelaskan bahawa setelah Pakuan berjaya dibebaskan, perajurit dan rakyat Pajajaran “diundang untuk mengucapkan kalimat syahadat. Sebahagian (kerana) kehendak sendiri” (lan kinen ngundhanga, kalimahing syahadat, sawaneh arep pribadi).[5]
Maulânâ Yûsuf menjalankan wasiat datuknya, Sunan Gunung Jati, tentang siyâsah syar’iyyah untuk membangun kembali Pakuan pasca-perang, iaitu agar “dibuat kota yang indah di gunung yang akan diserbu itu” (agawe patana adi ing gunung pinangka iku) dan “dibuat pertapaan yang indah” (gawanen patapa adi).[6]
Politik syarie Kesultanan Banten adalah agar setelah di-futûhât, Pakuan dijadikan “kota yang indah” dan “pertapaan” yang digunakan oleh rakyat Pajajaran untuk mendalami ajaran Islam. Mungkin sekarang kita tidak mengetahui bentuk seni bina “kota yang indah” dan “pertapaan” di Pakuan masa Islam dahulu. Hal ini kerana peninggalan bukti (evidence) arkeologinya masih belum digali sehingga saat ini. Namun, kalau kita berpegang pada ungkapan Sajarah Banten di atas, ditambah fakta masyarakat Bogor yang tetap teguh memegang Islam, sudah pasti dasar pembangunan ini benar-benar dilaksanakan.
[Bersambung]
Catatan kaki:
[1] Jan Edel (ed.), Hikajat Hasanoeddin, 52.
[2] Ibid, 52-55.
[3] Abû’l-Fidâ’ Ibn al-Katsîr, al-Bidâyah wa’n-Nihâyah, 9/623. Diakses dari al-Maktabah al-Islamiyyah Islamweb, https://www.islamweb.net/ar/library/index.php?page= bookcontents&idfrom=747&idto=748&bk_no= 59&ID= 819
[4] Taqiyuddin Muhammad, Daulah Shalihiyyah di Sumatera, 54-55.
[5] Sajarah Banten, Pupuh Durma (no. XXI) bait 13, 115. Dari Naskah G (LOr 7389) dalam Titik Pudjiastuti, Menyusuri Jejak Kesultanan Banten, 286. Di sini, Pudjiastuti menerjemahkan kata “ngundhanga” dengan “disuruh”. Penulis menerjemahkannya dengan kata “diundang”.
[6] Ibid, Pupuh Kinanthi (no. XIX) bait 4-6, 111-112. Ibid, 282-283.