Bangsa Tatar Memeluk Agama Islam
Bangsa Tatar berasal dari Gurun Gobi, jauh di utara China. Mereka adalah suku penggembala, yang menyembah berhala, bintang dan sujud kepada matahari, ketika matahari terbit. Agama yang tersebar di kalangan mereka dinamakan Shamaniyah. Mereka memuliakan roh nenek moyang mereka.
Perkataan Tatar digunakan untuk merujuk kepada suku Mongol, Turki, Uyghur, Saljuk dan suku kaum lain yang mendiami wilayah ini. Istilah Tatar digunakan untuk semua suku Mongol dan Turki, yang kemudiannya menjadi asas penubuhan Khilafah Uthmaniyyah. Istilah Mongol juga merangkumi semua suku kaum ini. Melihat kepada cengkaman Genghis Khan terhadap puak lain. Oleh itu, kumpulan etnik Mongol digunakan untuk merujuk kepada majoriti penduduk di benua Asia, yang mempunyai kulit kuning.
Persoalannya, apakah pengaruh Mongol terhadap sejarah umat Islam, selain pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai? Apa yang kita ketahui tentang Mongol, selepas mereka memusnahkan Baghdad, dan mereka berjaya dikalahkan dalam Perang Ain Jalut?
Memori tentang bangsa Mongol yang telah hilang dari ingatan umat Islam ialah bangsa Mongol mula memeluk Islam 35 tahun selepas mereka memasuki wilayah umat Islam. Tidak sampai setengah abad mereka memasuki wilayah umat Islam, barulah majoriti mereka beragama Islam. Melalui tangan mereka, Allah SWT memuliakan Islam kembali. Mereka juga berjaya menakluki pelbagai wilayah, yang dengannya kekuasaan umat Islam diperkukuh untuk jangka masa yang panjang. Malah, tidak sedikit di antara mereka yang berperang melawan sesama suku mereka sendiri, demi Islam.
Tidak dapat dinafikan bahawa selepas serangan mereka ke atas Baghdad, dan 35 tahun mereka di bumi Islam, personaliti mereka tidak hilang, melainkan setelah mereka memeluk Islam. Namun, dari aspek akidah dan dakwah Islamiyyah, jelas tidaklah sehebat pada zaman generasi pertama umat Islam. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya menutup mata terhadap sisi positif mereka dalam sejarah Islam, serta sumbangan mereka kepada perluasan wilayah Islam yang belum pernah terjadi sebelumnya. Bahkan, sejarah tersebut belum mampu dilakar kembali sehingga kini.
Islam berjaya masuk ke kawasan yang sebelum ini tidak pernah didiami oleh umat Islam. Pengaruh mereka begitu kuat di sana, walaupun terdapat usaha berterusan dari musuh-musuh Islam untuk memusnahkan dan menghancurkan mereka. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa bangsa Mongol mewariskan tanah umat Islam yang luas, dari timur jauh hingga ke sempadan wilayah barat, dan sempadan Asia-Eropah.
Wilayah Tatar termasuklah wilayah Eropah Timur, Siberia Barat, wilayah Iran, China dan Mongolia, wilayah Turkistan Barat, dan India. Menariknya, dakwah Islamiyyah tiba-tiba tersebar di kalangan bangsa ini. Apa yang tidak pernah diwujudkan sebelumnya dapat direalisasikan melalui para pengemban Islam. Baik dengan cara melalui senjata atau pun perlu berhadapan tekanan daripada pemerintah dan raja, mereka dapat menembusinya. Oleh kerana itu, Islam mula menembusi jiwa musuhnya, dan menawan hati mereka.
Oleh itu, adalah suatu yang aneh bilamana negara yang menang dalam perang ini akhirnya tunduk kepada Islam, yang penganutnya mereka kalahkan. Kebiasaannya, bangsa yang kalah akan mengikuti dan tunduk kepada bangsa yang menang. Tetapi, tidak dengan Islam dan kaum Muslim. Sebaliknya, Tatar tunduk kepada Islam dan kaum Muslim, orang-orang yang ditaklukkan. Malah, bangsa Tatar memeluk agama Islam ketika berada pada kedudukan yang paling kuat, dan puncak kekuasaan mereka.
Sumber: Mediaumat Tabloid Edisi 250
https://media-umat.info/masuk-islamnya-bangsa-tatar/