[TRIVIA MUSLIMAH IDEAL]
Ummu Umarah RA
Sudahkah anda kenal dengan Mujahidah (wanita yang ikut berperang) pertama dalam sejarah Islam? Ummu Umarah ra adalah wanita mulia dan pejuang. Beliau orang ansar dari suku Khazraj. Ummu Umarah telah turut serta dalam beberapa peristiwa besar bersama Rasulullah SAW; baiat Aqabah, perang Uhud, perjanjian Hudaibiyah, perang Khaibar, umrah Qadhiyah, penaklukan Mekah dan perang Hunain. Beliau juga turut bersama dalam perang Yamamah melawan orang-orang murtad yang dipimpin oleh Musailamah. Ketika perang Uhud, beliau membuktikan baiatnya untuk melindungi Nabi SAW. Pada saat genting di Uhud, beliau berdiri di samping Nabi SAW dengan memegang perisai dan pedang. Dhamrah binti Mazini berkata, “Hari itu Nusaibah berperang dengan bersungguh-sungguh. Bahkan sampai ada 13 luka sabitan pedang di tubuhnya. Aku melihat Ibnu Qum’ah menebas bahunya hingga meninggalkan luka parah yang mengambil masa setahun untuk sembuh”. Tidak berhenti di situ, keesokannya Ummu Umarah menyertai pasukan perang ke Hamra Asad meskipun luka parah. Luka parah yang dialaminya dalam perang Uhud sama sekali tidak melemahkan semangatnya kerana kekuatannya bersumber dari Allah SWT.
Kekuatan Ummu Umarah dalam menghadapi segala rintangan tidak datang daripada tubuhnya yang terluka, tetapi dari kekuatan iman dan tawakal kepada Allah SWT. Beliau adalah contoh wanita yang menunjukkan bahawa keberanian, ketabahan, dan semangat juang yang tinggi dapat membentuk seorang pemimpin yang hebat, bukan sahaja dalam medan perang tetapi juga dalam membimbing generasi akan datang. Ummu Umarah adalah simbol kekuatan wanita dalam sejarah Islam, yang mengajarkan kita untuk terus berjuang demi agama dan kebenaran.