Punca Rasuah: Ketakwaan Individu dan Sistem Negara yang Rosak
Oeh: Hidayah Muhammad
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, menyatakan bahawa punca utama masalah rasuah adalah hilangnya ketakwaan individu dan di peringkat negara, sebahagian besar berpunca daripada sistem yang gagal (rosak). Sistem yang berasaskan ideologi kapitalisme iaitu sistem yang lebih menekankan keuntungan dan manfaat.
“Rasuah itu antara punca utama hilangnya ketakwaan individu dan di peringkat negara, sebahagian besar rasuah datang daripada sistem yang rosak. Sistem yang berasaskan kepada ideologi kapitalisme hanya mementingkan keuntungan,” ujarnya dalam program Kupas Tuntas bersama jurucakap HTM, bertajuk Rasuah Semakin Parah: Sebab dan Solusi pada 6 September 2024 (Jumaat).
Ideologi kapitalisme sudah tertanam dalam pemikiran umat Islam, sehingga sistem ini menjadikan individu tidak bertakwa, tidak takut kepada Allah SWT dan berani melanggar hukum-hukum Allah SWT. Jadi selagi sistem sebegini ada, selagi itu kecenderungan individu untuk mengambil manfaat adalah tinggi kerana peluang itu sentiasa terbuka.
Ustaz Abdul Hakim memberi contoh: “Saya yang meluluskan semua ini, jadi anda ajukan satu projek. Kuasa untuk meluluskan ada pada saya. Saya nak beri kepada anda atau saya mahu beri kepada orang lain , kuasa ada pada saya.” Inilah yang membuka ruang kepada rasuah, tegasnya.
Ustaz Abdul Hakim turut menambah, sistem yang diterapkan adalah sistem yang berorientasikan kemaslahatan, bukan berlandaskan halal dan haram semata-mata. Jika pemikiran berlandaskan halal dan haram serta mencari keredhaan Allah SWT, semuanya akan berbeza.
“Sebanyak manapun keuntungan yang diperoleh, sebesar manapun kemaslahatan, jika ianya haram, dia tidak akan mengambilnya.”
“Oleh itu, sistem ini perlu diubah. Dalam sistem Islam, sebarang pelantikan pegawai, ketua negara akan melantik individu yang paling bertakwa, terbaik, dinasihati dan diperingatkan sentiasa. Dengan adanya nuansa dakwah yang berterusan, InsyaAllah pegawai tersebut akan menjadi pencegah rasuah dan tidak akan terjebak dalam amalan tersebut,” katanya menutup hujah.