GAZA DAN KUASA IMPERIALISME
Rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap Gaza telah mendapat perhatian dan reaksi daripada pelbagai pihak di seluruh dunia. Sejak awal Februari, Trump dengan nada angkuh menyatakan hasrat untuk mengusir penduduk Gaza ke negara jiran seperti Jordan dan Mesir bagi membangunkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan yang dinamakan “Riviera Timur Tengah.” Kenyataan ini menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya daripada negara-negara yang terlibat langsung dalam isu ini.
Jordan dan Mesir, sebagai negara jiran Palestin, telah dengan tegas menolak cadangan tersebut. Raja Abdullah II dari Jordan menegaskan pendirian negaranya yang tidak akan menerima sebarang rancangan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza. Sebaliknya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyokong cadangan ini, menggambarkannya sebagai “revolusioner” dan “kreatif,” yang menunjukkan ketidakpedulian terhadap hak-hak kemanusiaan rakyat Palestin.
Jika kita kaji dengan lebih mendalam, isu penindasan terhadap umat Islam di Gaza bukanlah fenomena yang baru bermula pada tanggal 7 Oktober 2023 tetapi ianya telah bermula sejak tahun 1948 lagi. Sejak penubuhan negara Israel, rakyat Palestin telah berdepan dengan penderitaan yang berterusan. Krisis ini turut melibatkan campur tangan Amerika Syarikat (AS) sebagai penyokong utama Israel yang telah memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh kuasa besar ini dalam membenarkan tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin. Hal ini terbukti melalui tindakan President AS, Trump yang secara terbuka meneruskan tradisi negara itu sebagai pembekal utama bantuan senjata kepada Israel sejak awal tercetusnya krisis Israel-Gaza.
Penindasan, penyeksaan dan penyingkiran umat Islam dari tanah Gaza seperti tiada penghujungnya. Krisis Gaza adalah sebahagian daripada gambaran lebih besar mengenai perjuangan umat Islam melawan imperialisme global. Negara berkuasa besar seperti AS secara terbuka menggerakkan strategi untuk memastikan bahawa perjuangan Hamas, sebagai pejuang membela Gaza, dapat ditumpaskan. Rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza bukanlah semata-mata soal pembangunan, tetapi lebih kepada usaha untuk menghapuskan hak kemanusiaan dan menguasai kawasan strategik yang kaya dengan sumber alam semula jadi.
Jelaslah isu Gaza antara salah satu kisah penderitaan dunia Islam atas kerakusan kuasa besar seperti AS dalam memperluaskan pengaruh dan kuasa imperialismenya dengan tujuan untuk menguasai dan menjajah tanah umat islam. Pada masa yang sama, ia merupakan satu strategi bagi memastikan pejuang-pejuang Hamas tidak lagi berkuasa mempertahankan Gaza agar AS dapat menyingkirkan semua penduduk Gaza demi kepentingan pelan tindakannya dalam menguasai Gaza. Oleh yang demikian Trump dapat memastikan tiada halangan dalam rancangan imperialisme tersebut.
Refleksi apa yang berlaku kepada umat Islam seluruh dunia dan khususnya pada umat Islam di Gaza adalah akibat tiadanya pembela umat islam sejak runtuhnya Daulah Islamiyah pada tahun 1924. Sejak itu, kuasa besar sentiasa melancarkan agenda imperialisme mereka demi menguasai tanah umat Islam seluruh dunia dengan tujuan menguasai dan mengeksploitasi tanah-tanah umat Islam yang kaya dengan sumber alam serta terletak di laluan perdagangan antarabangsa yang penting.
Oleh yang demikian, umat perlu mengembalikan semula perisai yang telah hilang ini demi membela umat islam agar agenda imperialisme pihak kufur Barat tidak berjaya. Disamping itu juga pemerintah umat Islam juga perlu berperanan dalam membentuk kesatuan umat islam seluruh dunia dalam mempertahankan tanah umat islam daripada penjajahan. Penyelesaian yang ditawarkan oleh pihak kufar Barat seperti memindahkan rakyat Gaza daripada negara mereka bukanlah satu penyelesaian yang akan membela dan mempertahankan umat islam, malah itu hanya akan memperkukuhkan lagi agenda imperialisme mereka. Keadaan ini akan menyebabkan umat Islam hilang hak mereka dan penindasan akan berlaku secara berterusan.
Ingatlah! Agenda imperilaisme pihak kufar ini sesungguhnya tidak akan berjaya kerana Allah telah memberikan peringatan bahawa sebanyak mana tipu daya dan usaha yang dilakukan oleh mereka dalam menjajah umat islam, Allah pasti akan membalasnya.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 54:
“Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
Malah Allah tidak akan memenangkan mereka ke atas umat Islam, Oleh itu, kita sebagai umat islam perlu teguh bersatu demi membela saudara seaqidah kita khususnya di Gaza dan umat islam di seluruh dunia,amnya.
Wallahu’alam
Dr Aeni@Ainul
Ahli Lajnah I’lamiyyah MHTM
Sumber berita:
https://www.sinarharian.com.my/article/711893/global/trump-berdegil-tetap-mahu-beli-gaza