[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Membentuk Kesatuan Antara Gerakan (Bahagian 1/4)
Jika masih memungkinkan membentuk suatu kesatuan dan kerjasama di antara organisasi/gerakan Islam saat ini, bagaimana sepatutnya bentuk-bentuk konkrit dari kesatuan tersebut? Apakah aspek kerjasama dan penyelarasan yang merupakan bentuk konkrit dari kessatuan tersebut?
Sebelum kita berbicara tentang kesatuan dan penyatuan gerakan-gerakan Islam, maka terlebih dahulu perlu dibicarakan aspek-aspek yang wajib dipersatukan dan yang tidak wajib dipersatukan. Setelah itu, barulah dibicarakan penyatuan gerakan-gerakan Islam, lalu menyusul pembicaraan tentang bentuk hubungan di antara berbagai gerakan Islam. Pembahagian aspek-aspek pembicaraan seperti ini bermaksud agar jawapan yang ingin dikemukakan dapat lebih menyeluruh.
Jika kita meneliti jemaah, organisasi, kelompok gerakan, atau harakah Islam yang ada pada setiap masa, akan dijumpai keberagaman yang majmuk. Keadaan tersebut disebabkan oleh dua faktor:
Pertama, syarak membolehkan adanya banyak gerakan/kelompok harakah Islam, serta mazhab yang berbeza. Ini sebagaimana yang telah dialami oleh kaum muslim terdahulu atau timbulnya berbagai mazhab ijtihad. Semua mazhab ini posisinya sama seperti kelompok/gerakan Islam lainnya. Dasar kebolehan adanya beraneka ragam kelompok dakwah adalah berdasarkan firman Allah SWT, “(Dan) hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
Lafaz “ummah” pada ayat di atas tidak mengehadkan jumlah jemaah atau kelompok gerakan Islam, walaupun ayat itu mewajibkan kaum muslim untuk membentuk suatu jemaah yang melaksanakan tugas dakwah, sebagaimana yang tertera pada ayat di atas.
Seandainya telah terbentuk suatu jemaah, maka kewajipan tersebut tidak lagi dibebankan kepada yang lain. Oleh kerana itu, tidaklah wajib membentuk dua jemaah. Dengan demikian, apabila telah terbentuk suatu jemaah, tujuan dari ayat tersebut telah terlaksana. Kalau ternyata kemudian muncul jemaah yang kedua, pembentukan itu hukumnya mubah (boleh ada).
Begitu pula kata “ulaika” (merekalah) dalam ayat tersebut, sesungguhnya adalah penunjukan (“isim isyarah”) untuk jamak yang merujuk kepada lafaz “ummah”, yakni bahawa jemaah-jemaah atau kelompok-kelompok dakwah yang ada semuanya termasuk golongan “muflihun” (orang-orang yang beruntung). Jadi, dengan menunjuk kepada lafaz “ummah” atau dengan menggunakan redaksi (sighah) jamak, bererti boleh terbentuk banyak jamaah yang beragam.
Kedua, setiap gerakan berdiri atas dasar pemahaman tertentu terhadap pola operasi dakwahnya, selain pemahaman mereka dalam menentukan keutamaan terhadap masalah-masalah penting umat. Mengenai pola operasi dakwah bagi suatu gerakan, memang nas-nas syarak memungkinkan adanya lebih dari satu jenis pemahaman. Sebabnya, nas-nas tersebut, khususnya yang berkaitan dengan pola operasi gerakan, menunjukkan lebih dari satu pengertian dan bersifat zhanniyatud-dilalah. Misalnya, ada gerakan yang menganalogikan situasi sekarang dengan situasi dakwah Rasulullah SAW di Makkah. Dengan demikian, mereka beranggapan bahawa menggunakan tindakan fizikal (kekerasan) adalah sesuatu yang tidak sesuai dengan dakwah Rasulullah SAW.
Ada juga gerakan yang bersandar pada hadis-hadis yang mengharuskan umat menentang penguasa dengan pedang atau kekerasan. Mereka beranggapan bahawa hadis-hadis tersebut memang mengharuskan agar umat bertindak demikian.
Dari sudut tinjauan lain, ada sebahagian harakah Islam menganalisis bahawa penyebab utama munculnya berbagai krisis politik, ekonomi, militer, mahupun pendidikan, dan krisis lainnya dewasa ini, adalah kerana tidak adanya negara Islam.
Selain itu, ada pula yang beranggapan bahawa semua krisis tersebut muncul kerana lemahnya aspek keimanan dan rendahnya segi kerohanian kaum muslim. Sedangkan kelompok lain beranggapan bahawa kelemahan umat Islam pada masa sekarang disebabkan oleh lemahnya bidang penghidupan ekonomi, keterbelakangan umat di bidang pendidikan, termasuk ilmu pengetahuan dan teknologi.
Berdasarkan dua faktor di atas, maka munculnya beraneka ragam gerakan merupakan suatu hal yang wajar. Bahkan menurut sunatullah, ini merupakan suatu keharusan, sebagaimana firman-Nya, “Jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia menjadi umat yang satu. Akan tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhannya. Dan untuk itu, Allah menciptakan mereka.” (TMQ Hud: 118—119).
Oleh kerana itu, tidak boleh dipandang bahawa perbezaan pendapat antara gerakan sebagai sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Apabila ada seseorang atau kelompok dakwah tertentu yang berpendapat demikian, maka ini adalah suatu kekeliruan terhadap fakta nas-nas syarak, tabiat manusia, hakikat gerakan, dan pola operasi dakwah.
Sepengetahuan kami, tidak terdapat di dalam Al-Quran mahupun sunnah satu dalil syarak pun yang mengharuskan adanya kesatuan antara gerakan Islam, dalam erti bergabung dalam satu wadah gerakan di bawah perintah seorang Amir/pemimpin dan menjalankan tugas dakwah dengan satu pemahaman serta satu pola operasi dakwah. Sungguh, tidak ada dalil syarie yang mengharuskan kesatuan semacam ini. Oleh kerana itu, tidak dilarang adanya keberagaman gerakan Islam.
Penyatuan berbagai gerakan ke dalam satu wadah, bukanlah merupakan tujuan yang perlu dicapai. Sebabnya, sesungguhnya adanya keragaman tersebut justeru dibolehkan. Bahkan wajar pula apabila suatu gerakan mencanangkan dan mengutamakan suatu pola operasi dakwah sesuai dengan pemahamannya sendiri.
Namun demikian, perbezaan paham dan pendapat yang terdapat dalam berbagai gerakan/harakah Islam tidak bererti boleh berselisih dan saling memutuskan hubungan. Sikap tersebut telah diharamkan dan tidak boleh terjadi.
Jika keberagaman gerakan merupakan hal yang wajar, maka pemutusan hubungan dan saling bertikai adalah hal yang tidak wajar, bahkan wajib dicegah dan diupayakan agar tidak sampai terjadi. Sebabnya, Allah SWT berfirman, “…(Dan) Janganlah kamu berselisih (berbantah-bantahan) yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan (kekuasaan)mu. …” (TMQ Al Anfaal: 46).
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.