[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Membentuk Kesatuan Antara Gerakan (Bahagian 2/4)
[Sambungan dari bahagian 1/4]
Jika penyatuan gerakan bukan merupakan tujuan, yang wajib menjadi tujuan adalah menjadikan berbagai gerakan/kelompok atau parti politik Islam menjalankan tugas dakwahnya sesuai dengan ketentuan syarak. Dengan demikian, semua pola pemikiran dan operasional dakwahnya bersumber dari dalil-dalil syarak. Hendaknya seluruhnya ditujukan untuk melanjutkan kehidupan Islam, yakni menjadikan kaum muslim berkehidupan secara Islami dalam semua tindakan/kegiatan mereka sehari-hari. Ini akan mendorong mereka untuk bertahkim/merujuk kepada syarak semata dalam semua urusannya, baik dalam persoalan-persoalan kecil mahupun besar.
Mesti diusahakan untuk mewujudkan Islam dalam kehidupan individu, bermasyarakat, dan bernegara. Di samping itu, perlu menjauhkan jemaah, gerakan, dan kelompok dakwah Islam dari sikap saling bermusuhan. Ini kerana pada akhirnya perkara tersebut hanya akan menyibukkan mereka dalam hal-hal yang tidak perlu (semisal mengecam, menyebarkan isu, mengembangkan fitnah, dan yang sejenisnya), sehingga melupakan tujuan utamanya.
Apabila hal ini dapat disepakati untuk dicapai oleh semua pihak, ini bermakna tujuan penyatuan pokok-pokok fikiran gerakan telah terealisasi. Memang yang kita inginkan adalah adanya pertemuan antara para jemaah, gerakan, dan organisasi Islam, untuk duduk berdampingan dan membahas masalah-masalah penting yang dihadapi oleh umat pada setiap saat. Kemudian disepakati cara memecahkan setiap halangan yang dihadapi oleh setiap gerakan demi meraih tujuan utama yang melatarbelakangi keberadaan setiap gerakan Islam, iaitu melestarikan kehidupan Islam dengan mendirikan Khilafah Islamiah, serta membimbing dan mengarahkan semua manusia kepada Islam.
Inilah yang merupakan tugas utama umat, sebagaimana yang tertera di dalam firman Allah SWT., “(Dan) demikianlah kami jadikan kalian umat yang terbaik (bertindak adil) agar menjadi saksi bagi manusia, (bahawa kalian telah menyampaikan risalah Islam kepada mereka) dan Rasul juga menjadi saksi atas kalian (pada Hari Kiamat bahawa ia telah menyampaikan Risalah tersebut kepada umatnya).” (TMQ Al Baqarah: 143).
Oleh kerana itu, berbagai jemaah, kelompok, atau gerakan Islam berkewajipan agar umat menjadikan Islam sebagai asas bagi kehidupan, serta menjadikan halal dan haram sebagai standard atas segala perbuatan. Selain itu, menjadikan idea-idea atau persepsi-persepsi Islam sebagai suatu keyakinan yang mendominasi semua jemaah, kelompok, mahupun gerakan Islam tersebut.
Kejayaan gerakan Islam hari ini memerlukan saluran komunikasi dan kerjasama, serta penyatuan tujuan bagi semua gerakan Islam yang ada di dunia demi mengatasi masalah utama umat, iaitu melanjutkan kehidupan Islam dengan cara membentuk dan menegakkan Khilafah Islamiah.
Oleh kerana itu, setiap harakah (gerakan) hendaklah berusaha memecahkan masalah utama tersebut dengan semboyan masing-masing bergerak sesuai dengan pemahaman serta pola operasional dakwahnya. Sebabnya dalam hal ini, masalah melanjutkan kelangsungan kehidupan Islam merupakan induk dari semua krisis yang muncul dalam tubuh umat.
Untuk mencapai tujuan tersebut, suatu gerakan tidak dibolehkan menyibukkan diri dengan kegiatan-kegiatan sampingan yang dapat mengalihkan jemaah/gerakan dari tujuan pokok atau utamanya yang telah disebutkan di atas. Tidak boleh mencurahkan sebahagian besar perhatian dan waktunya kepada dunia pendidikan, kesihatan, kesenian Islam, media massa, dan percetakan buku-buku Islam. Demikian pula pembinaan jasmani, semisal tenaga dalam, latihan ketenteraan, silat, senaman demi kesihatan, berbagai cabang olahraga, dan lainnya. Juga, pembinaan rohani seperti bacaan wirid berjam-jam, menyepi, dan sebagainya. Semua itu dapat mengalihkan perhatian suatu gerakan menjadi ahli akademi ilmiah atau kegiatannya hanya seputar lembaga pendidikan, menguruskan klinik, studio rakaman, penerbitan, menjadi kelompok militer, ahli kelab sukan, tarekat, dan sebagainya. Hal semacam ini tidak boleh terjadi pada suatu gerakan/harakah Islam kerana dapat mengalihkan mereka dari tugas utamanya.
Langkah taktik-strategik yang perlu ditempuh untuk menyatukan berbagai aktiviti gerakan dapat dilakukan sebagai berikut:
Pertama, diadakan pertemuan antara gerakan , tetapi hanya terbatas pada peringkat kepimpinan atau qiyadah gerakan. Ini dimaksudkan agar saling memahami satu sama lain, serta untuk menghindarkan diri dari sikap saling berselisih, menyerang, atau menyudutkan.
Kedua, membahas aspek persamaan dan perbezaan dalam setiap perhubungan (pertemuan), baik di peringkat qiyadah/kepimpinan, mahupun anggota. Dalam model pertemuan yang demikian itu, hendaklah ditetapkan peraturan yang jelas. Misalnya, berbagai perbezaan yang terdapat di antara gerakan Islam yang masih dalam batasan syarak, maka tidak perlu dipersoalkan, apalagi sampai mengundang adanya perpecahan atau pertikaian. Namun apabila perbezaan itu terjadi kerana menyalahi ketentuan hukum syarak, setiap gerakan perlu tunduk kepada pendapat yang benar.
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.