WANITA PALESTIN : LAMBANG KEBERANIAN DAN KETABAHAN WANITA ERA MODEN
Penulis: Nisa Raihanah
Kisah penderitaan masyarakat Palestin yang menjadi mangsa kebiadaban Isreal dan Amerika telah menghantui umat Islam sejak tahun 1948 sehingga kini. Pada tahun 2024, pembongkaran kebiadapan Israel dan Amerika dapat dilihat secara nyata melalui pelbagai medium media sosial. Sejak itu, kisah Palestin menghantui dunia sehinggalah pelbagai demonstrasi dilaksanakan sebagai solidariti kepada Palestin, khususnya Gaza. Perkongsian di media Sosial telah membuka mata masyarakat dunia tentang pengorbanan, keberanian dan ketabahan seluruh masyarakat Palestin terutamanya kaum wanita di sana. Lembaran kali ini akan cuba membawa para pembaca menghayati kisah seorang wanita Palestin yang penuh inspirasi iaitu Mariam Farhat atau lebih dikenali sebagai Ummu Nidal.
Ummu Nidal turut digelar sebagai khansa Palestin. Keberanian wanita ini terbukti apabila beliau tidak takut untuk menjadikan rumahnya sebagai tempat perlindungan buat para mujahidin. Selain itu, Ummu Nidal juga telah menghantar tiga orang anak lelakinya ke medan perang dan beliau menerima berita kesyahidan anak-anaknya dengan hati yang gembira. Wanita tabah ini menangis apabila memikirkan tiba masanya nanti sudah tiada lagi anak untuk dihantar ke medan perang.
Ummu Nidal merupakan seorang ibu yang memiliki visi dan misi hidup yang jelas. Dengan meletakkan redha Allah SWT sebagai misi hidup, wanita ini membesarkan anak-anaknya dengan cita-cita Muslim sejati, iaitu menjadi mujahid untuk membela agama Allah SWT. Ummu Nidal tidak menjadikan harta dan pangkat sebagai impian bagi dirinya dan anak-anaknya. Dia membesarkan anak-anaknya dengan akidah Islam yang kukuh sehingga terzahir keimanan yang luar biasa dalam diri anak-anaknya. Ummu Nidal rela melepaskan anak-anaknya demi agama Allah SWT. Dengan keyakinan yang utuh terhadap janji-janji Allah SWT, Ummu Nidal tanpa ragu melepaskan anak-anaknya ke medan jihad sehingga mati sebagai seorang syahid. Walaupun terselit rasa pilu di hati seorang ibu, namun semua itu tidak menghalangnya menghantar anak seterusnya ke medan jihad demi mempertahankan bumi yang diberkati Allah SWT daripada terus dijajah oleh Rejim Zionis.
Dalam satu wawancara, Ummu Nidal berkongsi kepada umum bahawa sebagai seorang ibu, dia telah membentuk anak-anaknya dengan keinginan syahid sebagai cita-cita utama. Ummu Nidal sedar bahawa dia bertanggungjawab melindungi anak-anaknya daripada menderhaka kepada Allah SWT. Ummi Nidal sangat bimbang jika anak-anaknya memillih jalan yang salah. Oleh itu, dia memilih untuk mencorakkan anaknya menjadi Muslim mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah. Ummu Nidal mengakui bahawa tiada hal lain yang dapat membahagiakannya kecuali melihat anak-anaknya sanggup mengorbankan diri kepada agama seperti berjihad dan melaksanakan segala kewajipan yang telah diamanahkan kepada mereka.
Tidak dapat disangkal, setiap ibu di muka bumi ini pasti mahu melihat anaknya bahagia di dunia dan di akhirat. Namun, hal yang menjadi cabaran di era modenisasi ketika ini apabila kebahagiaan seseorang diukur melalui kaca mata kapitalisme, iaitu melalui pangkat dan pemilikan harta. Apabila para wanita yang sepatutnya menjadi ejen pembentukan generasi Muslim terbuai dengan kecintaan dunia, maka impian membentuk generasi Muslim yang bermanfaat kepada agama adalah sangat mencabar.
Hakikatnya, wanita Muslim perlu berubah terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana, cerdasnya sesuatu generasi adalah kerana cerdasnya para wanita yang membentuk sesuatu generasi itu. Setiap wanita Muslim mesti memiliki tujuan hidup yang jelas iaitu semata-mata mencari redha Allah SWT sehingga terzahirnya tindakan-tindakan yang luhur seperti cintanya Ummu Nidal kepada agamanya. Semua wanita perlu berubah dengan menjadikan Islam sebagai kayu ukur setiap perbuatan sehingga kebahagian dirinya diperoleh apabila hidup dalam ketaatan kepada Allah SWT. Dengan terbentuknya sudut pandang kehidupan yang betul dalam kalangan wanita Muslim, maka daripada tangan wanita cerdas beginilah akan terlahirnya generasi seterusnya yang akan membela agama Allah SWT dengan penuh keikhlasan.
Generasi inilah yang akan memerangi ideologi kapitalisme, sekularisme, faminisme, nasionalisme dan individualisme. Generasi yang jelas tujuan hidupnya akan mempertahankan agama Allah SWT demi meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kebahagiaan dunianya dicapai dengan ketenangan yang diperoleh apabila melaksanakan kewajipan dan meninggalkan keharaman. Dengan kebahagiaan di dunia ini, dia membawa bekalan pahala dan rahmat Allah SWT untuk meraih syurga Allah SWT.
Kisah Ummu Nidal bukanlah satu-satunya kisah yang boleh dicontohi. Ada ramai lagi para wanita Palestin memiliki keberanian dan ketabahan seperti Ummu Nidal. Walau di mana-mana pun kita berada, kita juga adalah wanita Muslim yang berpotensi menjadi sang pemberani, cekal dan bijak. Dari rahim kita generasi Muslim seterusnya akan lahir dan dari tangan kitalah generasi Muslim bertakwa dibentuk demi mengembalikan kegemilangan Islam yang bakal menjadi rahmat pada sekalian alam.
Wallahu’alam.