[TRIVIA MUSLIMAH IDEAL]
Hindun binti Utbah RA
Tahukah anda Hindun binti Utbah menjadi muslimah terbaik pada masa Islam? Banyak orang mengenal
Hindun sebagai orang yang merobek tubuh Hamzah ra. namun ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau menjadi muslimah yang baik setelah menerima Islam. Hindun sejak zaman jahiliyah sememangnya dikenali sebagai seorang yang fasih berbahasa dan berani, memiliki keyakinan diri yang tinggi, tekad dan berpandangan tajam. Selain itu beliau juga seorang wanita penyair yang cerdas dan keperibadian yang kuat. Pada masa jahiliyah, Hindun tampil berperanan dalam mengobarkan semangat Quraisy dengan menabuh rebana untuk membangkitkan semangat pasukan dan mengobarkan api perang. Namun saat telah beriman, beliau sangat berperanan dalam membakar semangat juang tentera Islam. Hindun membawa tongkat pemukul tabuh dan membacakan bait-bait puisi pembakar semangat juang. Tentera-tentera yang cuba melarikan diri dari medan perang akan ditempelak untuk kembali ke medan perang. Pada perang Yarmuk, Hindun menempelak Abu Sufyan dengan berkata, “Kembali lagi ke medan perang! Berjuanglah habis-habisan agar engkau dapat menebus kesalahan masa lalumu!”. Ucapannya yang lantang membuatkan Abu Sufyan kembali ke medan perang.
Begitulah jasa Hindun dalam membela Islam. Segala kelebihan yang dimilikinya digunakan sehabis baik untuk Islam sehingga habis hayatnya.
Pengajaran dari kisah Hindun adalah bahawa setiap manusia berpeluang untuk berubah dan memperbaiki diri. Keimanan yang tulus dapat mengarahkan seseorang kepada jalan kebenaran, dan kelebihan yang dimiliki dapat digunakan untuk perjuangan yang lebih bermakna. Islam tidak hanya menerima mereka yang baik sejak awal, tetapi juga mereka yang bertaubat dengan ikhlas dan berusaha menjadi lebih baik.
#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif