[Siri Sinar Ramadhan] Keutamaan Ramadhan
Penulis: Farisha Aris
Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya umatku mengetahui kebaikan-kebaikan yang dikandung bulan Ramadhan, nescaya umatku mengharapkan Ramadhan terus ada sepanjang tahun” (HR Abu Ya’la, at-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & ad-Dailami).
Berdasarkan hadis di atas, sesungguhnya di dalam bulan Ramadhan yang padanya Allah SWT telah mensyariatkan puasa bagi umat Islam, terkandung banyaknya kebaikan dan kelebihan bagi umat Islam yang melaksanakan ibadah puasa. Dan pastinya Allah SWT akan memberi ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukannya demi mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Terdapat banyak keutamaan-keutamaan pada bulan Ramadhan yang mulia ini di antaranya telah diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk dan panduan kepada seluruh umat Islam. Seterusnya di bulan Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka kerana banyaknya amal soleh yang dilakukan sekaligus untuk memotivasi umat Islam untuk melakukan amal kebaikan. Manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat kemudian dibelenggu. Pada bulan Ramadhan juga terdapat suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar (malam kemuliaan).
Seterusnya keutamaan bulan Ramadhan adalah sebagai pembersih dan pelebur dosa-dosa. Ada banyak kesempatan kepada umat Islam untuk meraih keampunan daripada Allah SWT di sepanjang bulan Ramadhan kerana Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu keampunan dan rahmat kepada hamba-Nya. Dan ada banyak kesempatan yang boleh kita maksimakan untuk memperbanyak doa kerana bulan Ramadhan adalah waktu mustajab untuk memanjatkan doa dan tidak tertolak doanya untuk dikabulkan oleh Allah SWT seperti ketika waktu sahur, sebelum waktu berbuka puasa, di antara azan dan iqamah dan ketika Lailatul Qadar.
Selain itu, keutamaan bulan Ramadhan selanjutnya yang tidak boleh disia-siakan adalah tingginya nilai pahala yang Allah SWT berikan malah dilipat gandakan pahalanya bagi hamba-Nya yang melaksanakan amal ibadah dan amal kebaikan sebanyak-banyaknya. Ada amal ibadah yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar, ada amalan yang Allah SWT setarakan dengan haji bahkan amalan yang nilai pahalanya tidak terbatas iaitu sedekah. Begitu lah buktinya betapa kasih dan pemurahnya Allah SWT kepada hamba-Nya. Dengan semakin mendekatnya bulan Ramadhan 2025, mari lah kita berdoa semoga kita masih diberikan kesempatan untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan sehingga kita dapat meraih dan mengejar keutamaan bulan Ramadhan. Wallahu a’lam bishawab.