Pentingnya Satu Frekuensi dalam Pengasuhan dan Pendidikan Anak
Oleh: Najmah Saiidah
Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa ibu adalah madrasatuluula (sekolah pertama dan utama) bagi anak-anaknya. Seorang ibu bertanggung jawab terhadap pengasuhan dan pendidikan anaknya. Kitalah, sebagai ibu, yang berperananan penting menanamkan asas pemahaman Islam bagi anak-anak kita, sehingga anak-anak kita mampu menjawab dengan benar dari mana dia datang, untuk apa dia hidup di dunia, dan akan ke mana kelak setelah kehidupan di dunia. Menjadikan ketaatan kepada Allah di atas segalanya dan sentiasa menjauhi larangan-Nya, memahami dan patuh terhadap syariat, sehingga kelak ketika mereka memasuki dunianya yang berwarna, mereka faham bagaimana seharusnya seorang Muslim bersikap.
Dengan penanaman akidah dan syariat Islam yang lurus, kita berharap anak-anak kita kelak seiring prosesnya menuju dewasa, mereka memiliki integriti tinggi sebagai seorang Muslim sejati. Mereka mampu bersikap tegas menolak yang batil dan membela yang hak. Mengambil yang halal dan menolak yang diharamkan oleh Allah, berlapang dada untuk terus belajar hukum-hukum Islam, dan mempelajari tsaqafah Islam dan menerapkannya dalam kehidupan.
Pentingnya Satu Frekuensi dalam Pola Pengasuhan Anak!
Tidak dapat dinafikan bahawa proses pengasuhan dan pendidikan anak bukan suatu hal yang mudah, akan tetapi bukan juga merupakan hal yang tidak mustahil kita lakukan. Memang perlu usaha yang sungguh-sungguh dan sentiasa memanjatkan doa yang khusyuk agar kita sentiasa diberi kekuatan dan kemudahan.
Selain itu, proses pengasuhan dan pendidikan anak juga mesti melibatkan para ayah kepada anak-anak kita. Di bahu mereka juga terdapat tanggung jawab pendidikan bagi anak. Ketika proses pengasuhan dan pendidikan anak ini dilakukan bersama-sama oleh ayah dan ibu, tentu saja ianya akan menjadi lebih ringan. Kerana adanya kesamaan langkah antara ayah dan ibu merupakan hal yang penting dalam proses pembentukan keperibadian anak, lebih-lebih berkaitan dengan hal-hal yang mendasar atau prinsip hidup.
Pada faktanya, kadang kala terdapat perbezaan pemahaman antara ayah dan ibu tentang sesuatu dan hal ini biasanya membawa dampak kepada pola asuh terhadap anak-anak. Jika hal ini berkaitan dengan hal prinsip, sudah pasti ianya perlu diselesaikan dengan baik oleh pasangan ayah dan ibu, dengan mengembalikannya kepada tuntunan syarak. Akan tetapi jika berkaitan dengan permasalahan cabang atau berkaitan dengan hal yang mubah, maka hal ini juga perlu didiskusikan dengan baik, tidak mengedepankan ego masing-masing yang pada akhirnya anak yang menjadi mangsa.
Jika kita cermati fakta yang ada, ketika ayah dan ibu tidak berada dalam satu frekuensi (tidak memiliki penilaian dan ‘selera’ yang sama tentang sesuatu), saat mereka menunjukkan perbezaan dalam memperlakukan dirinya, anak akan mengalami kekeliruan untuk menentukan siapa yang perlu diikuti. Jika hal ini terus berlanjut, ia akan memberi kesan yang bahaya kepada anak, di mana anak akan kehilangan pijakan kepercayaan secara umum. Hal ini kerana apa yang dilihatnya sebagai sesuatu yang tidak konsisten, sering berubah, dan tidak memiliki standard yang tetap. Bahkan anak dapat menjadi peribadi yang oportunis (orang yang suka mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri).
Sebagai contoh, seorang anak tidak dibiasakan oleh ibunya makan gula-gula, tapi kemudian suatu keadaan tertentu ayahnya memberinya gula-gula agar si anak berhenti menangis. Kadang kala kebiasaan baik yang sudah dididik oleh ibunya sekian lama, boleh rosak dalam sekelip mata sahaja disebabkan oleh sekali pelanggaran. Contoh lain misalnya anak dimarahi ayahnya kerana suatu kesalahan, tapi kemudian dibela oleh ibunya, atau sebaliknya. Situasi seperti ini akan menjadikan wibawa ayah di mata anak luntur, dan menjadikan anak ‘besar kepala’. Hal inilah yang perlu dihindari oleh para ibu bapa.
Di sinilah pentingnya satu frekuensi antara ayah dan ibu, lebih-lebih lagi jika datuk dan neneknya terlibat secara tidak langsung dalam pola pengasuhan dan pendidikan anak. Lalu, apa yang perlu kita usahakan agar proses ini dapat berjalan dengan baik?
Langkah Bersama Menyatukan Frekuensi
Sudah semestinya proses pengasuhan dan pendidikan anak menjadi projek bersama yang dilakukan oleh ayah dan ibu. Meskipun memiliki peranan yang berbeza dalam mengasuh anak sehari-hari, ayah dan ibu memiliki peranan yang sama pentingnya dalam mengasuh anak. Ada beberapa usaha yang dapat dilakukan untuk meminimalkan terjadinya perbezaan yang selanjutnya akan menghasilkan keharmonian dalam mengasuh dan mendidik anak, di antaranya:
- Hukum Syarak Dijadikan Dasar Utama dalam Pengasuhan dan Pendidikan Anak
Menjadi suatu kemestian bagi setiap keluarga Muslim untuk menjadikan Islam dan syariatnya sebagai panduan dan solusi terhadap seluruh permasalahan yang terjadi dalam kehidupan berkeluarga. Kita fahami bersama bahawa hukum syarak datang dari Allah SWT, yang bersifat tetap, sesuai dengan fitrah manusia dan memuaskan akal, pada akhirnya akan membawa kepada ketenteraman. Kerananya, ketika syariat Islam dijadikan sebagai rujukan, maka keluarga memiliki standard yang jelas dan tegas dalam menilai segala sesuatu.
Seterusnya ketika syariat Islam dijadikan sebagai standard ketika menghadapi masalah, maka inilah yang akan memudahkan bagi ayah dan ibu dalam proses pengasuhan dan pendidikan anak, terutamanya dalam hal-hal yang prinsip dan mendasar. Selanjutnya akan terbentuk keperibadian Islam yang tangguh pada seluruh anggota keluarga dan juga keberkahan dan ketenteraman akan sentiasa tercurah bagi keluarga kita. Di sinilah pentingnya kedua ayah ibu untuk menguatkan pemahaman Islam di tengah-tengah anggota keluarga.
- Konsisten
Jika kedua ayah ibu tidak konsisten, misalnya jika seorang ibu menegur dengan tegas sementara si ayah melindungi (backup) si anak, maka anak akan ‘lari’ kepada ayahnya. Sebaliknya jika seorang ayah memberi hukuman akan perilaku buruk anak, namun ibunya pula tidak sanggup melihat anaknya dihukum, dia dalam diam membelanya, maka anak akan mendapatkan perlindungan dari sang ibu. Maka yang terjadi pada anak bukanlah mempelajari suatu nilai tertentu namun belajar lari dan mencari tempat yang selamat.
Kadang ketika kita tidak konsisten justeru akhirnya akan merosak segalanya, ibarat kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ketika kita memberi kelonggaran sedikit saja, keteladanan yang sebelumnya sudah kita bina akan rosak sehingga perlu mengulang prosesnya dari awal. Oleh sebab itu, ayah dan ibu hendaklah selalu konsisten dalam mengasuh dan mendidik anak-anak serta memberikan keteladanan kepada anak-anaknya dari hal yang besar hinggalah ke sekecil-kecil hal.
Menjaga keberlangsungan sebuah aktiviti kadang memang tidak mudah, ada saja godaannya dan seringkali ada keinginan untuk melanggarnya. Di sinilah justeru perjuangan ayah dan ibu akan diuji. Tetapi yakinlah dengan kita sentiasa berpijak kepada hukum Allah dan terus meningkatkan taqarrub kepada Allah, maka kita akan semakin diberi kemudahan untuk terus berusaha agar konsisten.
- Keteladanan
Keluarga adalah poros penting dalam proses pengasuhan dan pendidikan anak, kerana keluarga (ayah ibu) merupakan tempat pertumbuhan anak yang pertama, di mana dia mendapatkan pengaruh darinya pada masa yang amat penting dan paling kritis dalam pendidikan anak yang akan sangat membekas, sehingga tidak mudah hilang. Hal ini kerana, keluarga merupakan batu asas bangunan dan tempat pembinaan pertama untuk mencetak dan mempersiapkan generasi Islam yang berkualiti, iaitu generasi yang memiliki keperibadian Islam yang kuat.
Kebiasaan yang disaksikan dan dialami oleh seorang anak dari kedua ibu ayahnya akan -secara langsung atau pun tidak langsung- terakam dalam fikiran, bahkan sangat mungkin akan diikuti atau ditiru oleh anak-anak kita. Di sinilah pentingnya ayah ibu memberikan keteladanan bagi anak-anaknya, lebih-lebih lagi ketika keduanya berada dalam satu frekuensi dalam mencontohkan hal-hal yang baik kepada anak. Maka hal ini akan semakin mempermudah tercapainya tujuan proses pengasuhan dan pendidikan ayah ibu kepada anak-anaknya.
- Komunikasi dan kerjasama yang baik antara ayah dan ibu
Sebagaimana halnya yang sering terjadi dalam tim kerja, ,keteguhan kadang tidak selalu dapat diwujudkan, sukar untuk menyatukan perbezaan yang ada. Begitu juga pada tim ayah-ibu dalam konteks pengasuhan anak. Konflik yang terjadi akibat kesukaran menyatukan atau mengharmonikan berbagai perbezaan yang ada pada pengasuhan anak boleh disebabkan oleh beberapa hal. Disedari atau tidak, cara mengasuh ayah ibu sangat dipengaruhi oleh bagaimana mereka dahulu diasuh di masa kanak-kanak.
Pengalaman diasuh di masa kanak-kanak akan menjadi sebuah model yang dijalankan ketika seseorang menjadi ibu bapa yang perlu mengasuh anak-anaknya. Perlu dilakukan beberapa langkah agar perbezaan-perbezaan tersebut tidak merugikan pengasuhan anak-anak mereka. Dan memang pada akhirnya komunikasi yang baik antara ayah dan ibu menjadi penentu. Kerjasama antara ayah dan ibu juga perlu terus diupayakan sehingga tidak terjadi kekeliruan pada anak. Keduanya perlu duduk bersama dan berdiskusi mengenai bagaimana sebaiknya melakukan pengasuhan terhadap anak.
Jika perbezaan itu dapat disamakan, hal ini merupakan langkah ideal. Jika masing-masing mengemukakan pendapat yang didasari semata-mata demi kepentingan anak, menyamakan pendapat, yang sering kali bererti mengubah suatu pendapat, umumnya lebih mudah dilakukan.
Jika ternyata ada perbezaan-perbezaan yang sukar untuk diubah atau disamakan, kerendahan hati dari salah satu pihak untuk mempercayai pandangan pasangannya yang diputuskan bersama untuk diterapkan dalam pengasuhan anak adalah diperlukan. Hal ini penting kerana, di saat ayah ibu berada di hadapan anak, keduanya mesti menunjukkan keteguhan serta kebersamaan.
Khatimah
Kadang kala memang tidak dapat dihindari adanya pola asuh dan didik yang berbeza pada kedua ayah dan ibu. Hal ini kerana, memang tidak ada ayah ibu yang sama persis dalam hal pola asuh. Tentu saja hal ini bukan merupakan penghalang untuk terjadinya proses pengasuhan dan pendidikan yang baik bagi anak-anak. Ketika kedua ayah ibu menjadikan syariat Islam sebagai pijakan dalam melaksanakan proses tumbuh kembang anak dan konsisten menerapkannya, maka perbezaan tersebut akan dapat teratasi.
Terlebih lagi dengan adanya komunikasi yang baik, diskusi, serta kerjasama dan saling mengalah untuk kebaikan anak-anak, maka akan mampu menyatukan kedua pola asuh yang berbeza tersebut, sehingga akhirnya perbezaan ini juga akan menjadi sesuatu yang produktif bagi proses pengasuhan dan pendidikan anak-anak. Wallahu a’lam bishshawab.