An-Nawar Binti Malik, Muslimah di Sebalik Pencatat Wahyu
Oleh: Ruruh Anjar
Firasat seorang muslimah yang berperanan sebagai ibu telah melahirkan cendekiawan muslim kepercayaan Rasulullah dan para sahabat. Mendorong dan memotivasi agar buah hatinya tidak pernah terlepas dari gelora jihad di jalan Allah.
An-Nawar binti Malik, berasal dari kalangan Ansar dari Bani Najjar. Sejak fajar Islam terbit, dia dan suaminya tidak ragu-ragu untuk berjalan dan menapaki jalan keimanan. Mereka berdua mendidik anaknya, Zaid bin Tsabit, dengan asas Islam yang teguh.
Namun, sebelum peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah, suaminya gugur dalam Perang Bu’ats yang melibatkan suku Aus dan Khazraj.
Ketika itu Zaid berusia 5 tahun, sehingga menuntut An-Nawar menempa Zaid seorang diri menjadi muslim yang baik dan meraih kejayaan di dunia dan akhirat.
Menjadi Madrasah Utama bagi Zaid
Berbekalkan kecerdasan dan kecintaan kepada Islam, An-Nawar menancapkan tsaqafah Islam ke dalam dada Zaid. Dia mampu menempatkan dirinya sebagai madrasah utama dan mengalirkan ilmunya ke dalam diri Zaid.
Barakallah, Zaid tumbuh menjadi sosok yang matang dan berkualiti. Cerdas dan genius.
Pada usianya 11 tahun, dia berjaya menghafal belasan surah Al-Quran. Selain itu An-Nawar juga menggilap mental Zaid untuk menjadi seorang pejuang.
Ketika berusia 13 tahun, Zaid dengan bersemangat mendaftarkan diri untuk mengikuti Perang Badar. Akibatnya, kehadirannya menarik perhatian kerana tubuhnya yang kecil tidak sepadan dengan pedang ayahnya yang lebih besar daripada tubuhnya.
Keinginan Zaid tersebut mendapat tindak balas positif daripada Rasulullah, namun Rasulullah tidak mengizinkannya ikut kerana peraturan perang melarang kanak-kanak menyertainya.
Dengan bijak, Rasulullah menjelaskan bahawa berperang tidak hanya memerlukan semangat, tetapi kesediaan fizikal dan usia. Untuk itu, Zaid diminta bersabar beberapa tahun lagi hingga dinyatakan bersedia untuk berjihad di medan perang.
Zaid sungguh kecewa dan menangis. Lalu dia mengadukan hal tersebut kepada ibunya. “Rasulullah melarangku berjihad,” rajuknya.
An-Nawar faham dengan gelora semangat jihad di dalam diri anaknya, namun di sisi lain dia juga memahami akan kebijakan Rasulullah. Dengan arif, An-Nawar memberikan alternatif jalan perjuangan yang dapat dilakukan oleh Zaid sesuai usianya.
“Jangan bersedih, anakku. Jika jihad di medan perang belum boleh dilakukan anak-anak seusiamu, cubalah berjihad dengan cara lain yakni melalui lisan atau tulisan,” jelasnya.
Membuka Jalan Zaid Berperanan Besar bagi Daulah Islam
An-Nawar tidak sembarang memberi saranan kepada anaknya. Dia mengenali potensi besar yang dimiliki oleh Zaid terutamanya dalam bidang retorika dan penulisan.
An-Nawar juga berusaha meyakinkan Zaid, “Engkau telah menguasai dan menghafal Al-Quran dengan sempurna, malah boleh menulis semula dengan baik,” tegasnya. Kata-kata An-Nawar melegakan hati Zaid dan dia berhenti menangis. Zaid bersetuju dengan cadangan ibunya.
Selanjutnya An-Nawar mengajak Zaid berjumpa Rasulullah dan menyampaikan kebolehan yang dimiliki oleh Zaid. Rasulullah dengan senang hati mengizinkan Zaid menunjukkan kebolehannya.
Zaid pun melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan sangat merdu sehingga Rasulullah terkesima. Sebagai penghargaan, Rasulullah menugaskan Zaid untuk jihad pertamanya iaitu mempelajari Kitab Taurat milik orang Yahudi.
“Wahai Zaid, pelajarilah kitab Yahudi untukku kerana aku tidak dapat membuat mereka beriman kepada apa yang aku katakan kepada mereka.”
Usaha An-Nawar yang mengajarkan Zaid untuk bekerja keras, membuatnya mudah memahami kitab Taurat. Malah melebihi jangkaan kerana Zaid juga mempelajari bahasa kitab tersebut iaitu bahasa Ibrani dan menguasainya. Dia mampu berkomunikasi, membaca, dan menulis dalam bahasa Ibrani sebagaimana penutur aslinya.
Akhirnya, Rasulullah melantik Zaid sebagai penterjemah bagi Daulah Islam, penulis wahyu, penulis surah, dan sebagai perunding antara kabilah atau negara asing dengan Daulah Islam.
Walaupun setelah Rasulullah wafat, Zaid berperanan penting dalam dakwah Islam pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar bin Khattab. Salah satunya adalah pengkodifikasian Al-Quran. Selain itu, Zaid juga dikenali sebagai pakar hadis. Terdapat sekitar 92 hadis yang diriwayatkannya.
Benarlah bahawa peranan muslimah sebagai seorang ibu sangat penting untuk anak-anaknya. Untuk menjadi ummu warabbatul bait dan madrasatul ula, seseorang itu harus mengenali dan mengenal pasti potensi yang ada pada setiap anak. Kerana pada dasarnya, setiap anak itu unik dan memiliki potensi masing-masing sehingga selayaknya digali dan dikembangkan.
Seorang ibu juga sejatinya adalah penjaga peradaban Islam, daripadanya akan tercetak generasi rabbani, generasi khairu ummah yang akan menyebarkan cahaya Islam di setiap pintu penghuni dunia ini. Wallahu a’lam bishshawwab.
*Dipetik daripada pelbagai sumber.