Tsaqafah Islam Sebagai Bahan Bakar Utama Membentuk Perubahan Sosial yang Berjaya
(Terjemahan)
Ramadhan tahun ini hadir di tengah-tengah tekanan hidup, krisis dan kegelapan dunia yang semakin pekat. Umat Islam semakin terkesan dengan kehancuran masyarakat akibat kezaliman dan korupnya orang-orang yang memegang kekuasaan yang menerapkan sistem kapitalisme jahiliyah.
Kejahilan dan kelumpuhan pemikiran turut menyelimuti umat, hingga mereka bersikap dingin malah menolak seruan dakwah. Keadaan ini seringkali menyebabkan para aktivis dakwah dilanda sindrom pesimisme dalam dakwahnya. Sebahagian daripada mereka ada yang merasa seperti mangsa, menyalahkan orang lain, malah tertekan dengan situasi tersebut.
Sindrom ini timbul apabila para aktivis membiarkan ‘realiti’ menentukan hala tuju perjuangan mereka. Mereka lupa bahawa ada dua kekuatan penting dalam dakwah: iaitu akidah dan kekuatan tsaqafah Islam.
Pertama: Kekuatan iman menuntut agar kita tidak berputus asa terhadap rahmat Allah, seperti firman-Nya:
﴿قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِۗ اِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًاۗ اِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ Az-Zumar (39): 53]
Ayat ini membawa pesan bahawa orang beriman tidak mudah pesimis, lebih-lebih lagi mereka adalah aktivis dakwah. Rahmat Allah sangat luas, dan kepercayaan kepada pertolongan Allah hendaklah menjadi pusat kesedaran seorang aktivis. Inilah kekuatan iman, kuasa paling asas yang mesti sentiasa diaktifkan agar pendakwah tidak mudah terpengaruh dengan realiti kehidupan yang berat dan gelap. Di tengah kebekuan masyarakat, mereka sepatutnya terus optimis bahawa mereka akan bertemu mutiara-mutiara ummah yang lebih bersedia memikul dakwah. Walaupun tidak mudah, mereka percaya bahawa setiap kesukaran akan disertai dua kemudahan, sebagaimana firman Allah:
﴿فَاِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًاۙ﴾
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” [TMQ Ash-Sharh (94): 5]
Iman mesti sentiasa ada dalam perbuatan – ia tidak boleh hilang atau tiada. Dalam Islam, setiap perbuatan mesti disertai dengan pemikiran dan niat yang jelas, dan semuanya mesti berpaksikan iman, agar seseorang itu sentiasa berjalan dalam suasana keimanan secara terus menerus. Tidak boleh dipisahkan antara tindakan/perbuatan dari pemikiran, atau dengan tujuan tertentu, atau bahkan dengan iman.
Kedua: Kekuatan Tsaqafah Islam
Tsaqafah Islam bukan sekadar ilmu biasa, tetapi ia adalah ilmu yang istimewa kerana asas perbincangannya berpaksikan akidah Islam yang unik. Khazanah tsaqafah Islamiyah mempunyai kemampuan yang luar biasa untuk membentuk pemikiran dan keperibadian mulia bagi sesiapa yang mendalaminya secara serius. Ini kerana tsaqafah mampu mengasah dan membina peribadi (at-tathqiif). Sedangkan ilmu selainnya hanya memberikan informasi dan wawasan kepada seseorang yang juga sering disebut sebagai proses ta’lim.
Tsaqafah juga dapat berfungsi sebagai sumber penyelesai masalah, justeru sesiapa yang bercita-cita untuk mengubah masyarakat dan menghidupkan ummah, mestilah mampu menghidupkan tsaqafahnya serta menghubungkannya dengan realiti permasalahan sebenar, agar ia tidak menjadi timbunan ilmu bagaikan “perpustakaan berjalan” semata. Bagaimana cara menjadikan tsaqafah hidup dan berjiwa?
Kaedah Menghidupkan Tsaqafah Islam
Islam menetapkan beberapa kaedah untuk mempelajari tsaqafah:
1. Talaqqiyan fikriyyan – perbincangan mendalam dengan pendekatan pemikiran.
2. Yakin dan memperjuangkannya – percaya bahawa tsaqafah adalah sesuatu yang mesti diperjuangkan.
3. Mengambilnya secara praktikal untuk diaplikasikan dalam arena kehidupan.
Malah dikatakan bahawa mereka yang mempelajari tsaqafah Islam adalah ibarat orang yang memiliki potensi yang ghairah menghidupkan api untuk membakar kerosakan dan menyalakan cahaya untuk menerangi jalan kebaikan. Dengan kaedah yang tepat, tsaqafah Islam akan mendorong pelajarnya menjadi insan yang penuh kerinduan dan semangat untuk beramal dengannya. Justeru, tsaqafah mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam jiwa, kerana ia dapat menggerakkan perasaan terhadap fakta yang wujud dalam pemikiran.
Kitaran Perkembangan Tsaqafah
Tsaqafah hendaklah dibangunkan dan dipelihara. Untuk membangun tsaqafah, dua pendekatan utama diperlukan:
1. Muthala’ah – mengkaji kitab-kitab utama dalam lingkungan (bulatan dakwah) yang mempunyai misi untuk mempengaruhi komuniti setempat.
2. Muraja’ah – mengkaji kitab-kitab sokongan sambil merujuk kepada realiti cabaran dakwah yang sebenar.
Matlamat perkembangan/peningkatan tsaqafah ialah:
1. Menyelesaikan masalah sebenar, bukan sekadar kepuasan intelektual.
2. Mengumpul sebanyak mungkin pengalaman yang dibantu oleh tradisi diskusi, pemerhatian lapangan, dan penulisan.
Sebagai contoh, aktivis dakwah yang tinggal di kawasan bandar pastinya akan menghadapi pelbagai cabaran terkait isu kemodenan, pembangunan dan fragmentasi sosial. Maka, mereka akan menumpukan pengajian kepada tsaqafah ekonomi Islam dan sistem masyarakat Islam daripada buku rujukan yang dipercayai. Manakala aktivis dakwah yang tinggal di kawasan sempadan akan menghadapi cabaran terkait isu penyeludupan, pertahanan dan keselamatan, maka mereka akan mengkaji bagaimana tsaqafah ribath dan jihad sebagai penyelesaian bagi masalah di sempadan.
Oleh itu, pembangunan tsaqafah juga menuntut pelajarnya mahir literasi dan melakukan pemerhatian. Mampu membaca buku dan realiti pada masa yang sama. Terdapat banyak perintah dari al-Quran untuk kita memperhatikan masalah sebenar umat yang berlaku di medan dakwah, sebagaimana firman Allah SWT:
﴿قُلْ سِيْرُوْا فِى الْاَرْضِ فَانْظُرُوْا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلُۗ كَانَ اَكْثَرُهُمْ مُّشْرِكِيْنَ﴾
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”. [TMQ Ar-Ruum (30):42]
Jadi, bolehkah diterima akal jika tsaqafah dikembangkan semata-mata untuk kepuasan intelektual atau sekadar khayalan yang terpisah daripada realiti lapangan dakwah? Maka, sebagai contoh, sungguh tidak masuk akal jika seorang pendakwah sibuk mengkaji cara berpuasa di bulan Ramadhan di planet Marikh. Selain tidak mampu mencari fakta yang berkaitan dengan medan dakwah, ia juga langsung tidak relevan.
Perubahan dalam Masyarakat
Sifat perkembangan dalam dakwah Islam memerlukan wujudnya gerakan tsaqafah, kerana Islam adalah risalah yang wajib dipelajari, dibahas dan dibaca. Di samping itu, intipati risalah ini memerlukannya untuk difahami, dan penganutnya mesti mengkaji segala-galanya yang menyumbang kepada pembaikan kehidupan. Maka tidak hairanlah, ramai penakluk Islam dahulu adalah ulama, pembaca, dan penulis . Mereka ditemani oleh individu-individu ini dengan tujuan untuk mengajarkan agama Islam di tanah yang ditakluki.
Mereka terus memberi tumpuan kepada usaha perubahan sosial, membina dan membentuk masyarakat berdasarkan Islam. Sebagai contoh, melalui pandangan global yang berterusan terhadap Palestin, dalam masa yang sama mereka akan terus cuba menyentuh isu-isu tempatan dengan memperbetulkan masyarakat Islam di kawasan mereka, contohnya dengan memperbetulkan gaya hidup materialistik dan konsumptif yang berakar umbi dari hubbud dunya yang amat bertentangan dengan gaya hidup perjuangan umat Islam Palestin yang sememangnya sudah berorientasikan jihad.
Dalam masa yang sama juga, mereka tidak lupa memperjuangkan dasar-dasar syariah yang relevan dengan permasalahan dalam medan dakwahnya, serta meneruskan kempen kesedaran akan kepentingan penegakan Daulah Khilafah.
Oleh itu, gerakan tsaqafah sentiasa sinonim dengan kebangkitan tamadun dan peningkatan tahap pemikiran umat. Dalam kaitannya dengan perubahan masyarakat, tsaqafah Islam mampu menjadikan para pelajarnya berfikir secara mandiri dalam menyelesaikan permasalahan di medan dakwah.
Gerakan ini akan terus memperjuangkan gagasan daripada tsaqafah Islam dalam setiap perang pemikiran dan peristiwa yang menimpa umat. Mereka akan berdiri di hadapan dasar-dasar pemerintah yang zalim, memperjuangkan syariah Islam sebagai solusi kehidupan. Natijahnya, pemikiran Islam akan sentiasa hidup, unggul, bernyawa dan membakar kerosakan serta menerangi jalan kehidupan.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
«الإسلام يَعْلُو ولا يُعْلَى»
“Islam itu tinggi dan tidak terendahkan.” (HR Daruqutni dan al-Baihaqi)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara
Ahli Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir