[Siri Sinar Syawal] Puasa Enam Hari dalam Bulan Syawal
Marilah kita berusaha melengkapkan amalan Syawal kita dengan berpuasa selama enam hari daripadanya.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.”
(HR Muslim, no. 1164)
Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim menyatakan:
“Hadis ini jelas menunjukkan keutamaan puasa enam hari di bulan Syawal. Para ulama berkata, pahala ini (seperti puasa sepanjang tahun) diperoleh kerana satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali ganda. Puasa Ramadhan sama dengan berpuasa sepuluh bulan, dan puasa enam hari di Syawal menyempurnakan pahala seperti setahun penuh.”
Kiraanya apabila setiap amalan diberikan sepuluh kebaikan, puasa 30 hari Ramadhan memberikan kita 300 kebaikan, dan puasa enam hari Syawal memberikan kita 60 kebaikan. Maka dari puasa 30 hari Ramadhan dan enam hari Syawal, kita boleh memperoleh 360 kebaikan iaitu bilangan hari dalam setahun.
Justeru marilah kita sebagai umat yang sentiasa mengejar kebaikan agar mengusahakannya dan semoga ia tertulis dalam kitab amalan kita. Amin.