[Takrifat] Al-Muthlaq dan Al-Muqayyad
Penulis : Yahya Abdurrahman
Al-Muthlaq bermaksud mâ uthliqa. Dari segi bahasa, sebagaimana yang disampaikan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqâyis al-Lughah, maknanya adalah infikâku ‘an jamî’i al-quyûd (terlepas atau bebas dari segala belenggu/batasan).
Sebaliknya, al-muqayyad bermaksud mâ quyyida (sesuatu yang dibataskan), atau mâ ashâbahu at-taqyîd (sesuatu yang dikenakan pembatasan).
Dari segi istilah ushul fiqh, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Amidi (w. 631 H) dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, Ibn al-Hajib (w. 646 H) dalam Mukhtashar Ibni al-Hâjib, juga Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam As-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid 3, al-muthlaq ialah lafaz yang merujuk kepada madlûl sesuatu yang tersebar dalam jenisnya (al-lafzhu ad-dâlu ‘alâ madlûl syâi’[in] fî jinsihi). Definisi ini dijelaskan oleh Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah dalam Taysîr al-Wushûl ilâ al-Ushûl. Dinyatakan bahawa “syâi’[un] fî jinsihi” supaya keluar daripada takrifan ini, isim al-‘alam dan isim makrifat kedua-duanya sama ada dengan alîf lâm li al-‘ahdi, li al-istighrâq, li al-jinsi atau isim jamak makrifat. Ini kerana makna itu tersebar dalam jenisnya (syâi’[un] fî jinsihi) yang mungkin bersifat mutlak kepada semua individu atau unit daripada jenis tersebut tanpa penentuan. Jika dikatakan muslim[un] maka ia sah merujuk kepada semua individu Muslim. Dengan begitu kami katakan: Hazâ Muslim[un] wa zâka Muslim[un] …. (Ini Muslim dan itu Muslim…). Ia tidak mungkin dikatakan kepada isim al-‘alam seperti Muhammad, Ali, dan lain-lain. Ini kerana ia tidak tersebar dalam jenis tersebut secara keseluruhan tetapi disebut untuk individu tertentu. Begitu juga isim ma’rifat dengan alif lâm al-‘ahdi seperti al-muslim yang bermaksud orang Islam tertentu. Begitu juga dengan alif lâm istighrâq al-jinsi dan jamak ma’rifat. Ini kerana ia tidak tersebar dalam jenis tersebut, tetapi semua individu jenis itu berasal daripadanya atau diliputi olehnya. Jika dikatakan al-Muslimu yu’minu maka seluruh umat Islam adalah berasal daripadanya atau diliputi oleh lafaz al-muslim itu.
Namun, jika dikatakan muslim[un] maka lafaz ini hanya meliputi satu orang, tetapi bukan orang tertentu, iaitu ia tersebar dalam seluruh jenisnya. Oleh itu, lafaz al-muslimu dengan alîf lâm al-jinsi dinamakan lafaz umum kerana semua individunya berasal daripadanya. Bagi perkataan muslim[un] pula dinamakan perkataan al-muthlaqu. Ini kerana ia merujuk kepada seorang Muslim yang tidak tertentu, tetapi tersebar dalam jenisnya.
Ia bukan sahaja berlaku pada satu atau tunggal, tetapi juga berlaku kepada lebih daripada satu (isim muthanna dan jamak). Contohnya, rajulâni atau rijâl[un], maka ia merujuk kepada dua orang lelaki atau sebilangan lelaki yang tidak tertentu, tetapi tersebar dalam jenisnya, iaitu lelaki. Syeikh Wahbah az-Zuhaili menjelaskan dalam Ushûl al-Fiqhi al-Islâmî bahawa perkataan al-muthlaqu merujuk kepada satu individu (fard[un]) atau ramai individu (afrâd[un]) secara penyebaran (‘âlâ sabîli as-syuyû’) dan tidak dibatasi oleh sifat.
Contohnya, rajul[un] dan rijâl[un], kitaab[un] dan kutub[un], thâ`ir[un] dan thuyûr, thâlib dan thulâb. Ia merujuk kepada satu unit atau banyak unit yang tidak tertentu dan tersebar dalam jenisnya.
Penunjukan lafaz mutlak terhadap sesuatu adalah terhadap intipatinya. Di situlah Imam Fakhru al-Islam al-Bazdawi (w. 482 H) dalam Ushûl al-Bazdawi mendefinisikan al-muthlaqu adalah lafaz yang melihat sesuatu zat tanpa sifat-sifat yang baik dengan penafian atau penetapan. Hal ini sebagaimana yang juga dinyatakan oleh Imam Fakhruddin ar-Razi (w. 606 H) dalam Al-Mahshûl, juga oleh Badruddin az-Zarkasyi (w. 794 H) dalam Bahru al-Muhîth fî Ushûl al-Fiqh, bahawa al-muthlaqu adalah lafaz yang merujuk kepada intipati sesuatu (al–mâhiyah) daripada segi hakikatnya sendiri tanpa batasan. Dengan kata lain, dikatakan al-muthlaqu ialah lafaz yang tidak disifatkan oelh sebarang sifat sama sekali. Imam al-Qarafi (w. 684 H) dalam Syarhu Tanqîh al-Fushûl menjelaskan bahawa perkataan al-muthlaqu ialah setiap hakikat yang dinilai dari sisi hakikatnya sendiri, iaitu lafaz itu merujuk kepada intipati zat (al-mâhiyah) tanpa batasan. Dengan kata lain, dalam penjelasan Taqiyyuddin as-Subki (w. 756 H) dalam Al-Ibhâj Syarhu Minhâj al-Wushûl, bahawa al-muthlaqu secara mutlak adalah bebas daripada segala batasan, yang menunjukkan intipati sesuatu tanpa merujuk kepada sesuatu daripada keadaan-keadaan dan sifat-sifatnya.
Syeikh Wahbah az-Zuhaili menjelaskan bahawa ia adalah lafaz-lafaz yang merujuk kepada individu atau ramai individu yang tidak tertentu tanpa memperhatikan al-‘umûm atau al-istighrâq, tetapi yang dimaksudkan ialah intipati atau hakikat menurut kewujudannya di minda yang bebas dari sifat-sifat. Maka al-muthlaqu itu setara dengan nakirah selagi tidak dimasuki oleh keumuman.
Lafaz al-muthlaqu seperti yang dijelaskan adalah setara atau sama dengan isim nakirah yang bukan lafaz umum. Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi (w. 620 H) dalam Rawdhah an-Nâzhir wa Jannah al-Munâzhir menjelaskan bahawa al-muthlaq adalah nakirah dalam konteks perintah. Sementara menurut Imam al-Amidi (w. 631 H) dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, al-muthlaqu adalah nakirah dalam konteks penetapan (an-nakirah fî siyâq al-ithbât). Namun, yang dimaksudkan dengan nakirah di sini ialah nakirah hakiki (nakirah haqîqiyah). Maka, al-muthlaqu adalah nakirah hakiki dalam konteks penetapan (nakîrah haqîqiyah fî siyâqi al-ithbâth).
Penjelasannya, dikatakan nakirah kerana al-muthlaqu adalah lafaz yang tidak tertentu yang tersebar dalam jenisnya. Maka, dengan sebutan nakirah, dikeluarkan isim makrifat dan yang penunjukannya tertentu atau umum istighrâq. Dikatakan “dalam konteks penetapan (fî siyâqi al-ithbâth)” untuk mengeluarkan nakirah dalam konteks penafian atau serupa dengan penafian. Ini kerana ia termasuk teks umum dan bukan mutlak. Maka ia meliputi semua unit dalam jenisnya dan tidak tersebar dalam jenisnya (laysa syâ`i’[an] fî jinsihâ). Dalam konteks penetapan, ia merangkumi konteks perintah (fî siyaq al-amri). Dikatakan nakirah hakiki (nakirah haqîqiyah) untuk mengeluarkan nakirah yang tidak hakiki, iaitu secara lafaz nakirah, tetapi secara makna makrifat. Contohnya: “Ra’aytu rajul[an] (saya melihat seorang lelaki).” Perkataan rajulan ini secara lafaz adalah nakirah, tetapi maknanya sudah tertentu kerana pandangan itu hanya ditujukan kepada lelaki tertentu. Maka dia bukanlah seorang lelaki yang tersebar dalam jenisnya, tetapi lelaki tertentu, maka ia bukan lafaz al-muthlaqu.
Nakirah yang hakiki dalam konteks penetapan ini mungkin wujud dalam tiga bentuk: Pertama: Perintah menggunakan mashdar. Contohnya dalam firman Allah SWT berkenaan kafarah sumpah:
…أَوۡ تَحۡرِيرُ رَقَبَةٖۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَٰثَةِ أَيَّامٖۚ ٨٩
”…atau memerdekakan seorang hamba. Sesiapa yang tidak mampu melakukannya hendaklah berpuasa selama tiga hari”[TMQ al-Maidah (5): 89].
Contoh lain adalah firman Allah SWT tentang kafarah bagi orang yang berihram, yang bercukur sebelum waktunya kerana sakit di kepala (hukum ini juga termasuk memakai pakaian atau minyak wangi):
…فَفِدۡيَةٞ مِّن صِيَامٍ أَوۡ صَدَقَةٍ أَوۡ نُسُكٖۚ ١٩٦
”Jika salah seorang di antara kamu sakit atau ada gangguan di kepalanya (kemudian dia bercukur), maka wajib baginya membayar fidyah, iaitu: berpuasa atau bersedekah atau berkorban” [TMQ al-Baqarah (2): 196].
Kedua, dalam bentuk perintah berupa fi’il. Contohnya, sabda Rasulullah SAW kepada Ka’ab bin ‘Ujrah ketika berada di Hudaibiyah dan mengalami gangguan di kepala akibat kutu:
فَاحْلِقْ رَأْسَكَ، وَأَطْعِمْ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةِ مَسَاكِين -وَالْفَرَقُ ثَلَاثَةُ آصُعٍ- أَوْ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ، أَوْ انْسُكْ نَسِيكَةَ
”Cukurlah kepalamu dan berilah makan faraq di antara enam orang miskin (faraq adalah tiga sha’), atau berpuasalah tiga hari, atau sembelihlah seekor kambing” [HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmidzi – matan oleh Muslim].
Ketiga, dalam bentuk maklumat masa hadapan. Contohnya, jika seseorang berkata “Sa-ashûmu yawm[an] (Aku akan berpuasa sehari).” Termasuk dalam hal ini sabda Rasul SAW:
لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ
”Tidak ada pernikahan kecuali dengan wali” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, at-Tirmidzi, ad-Darimi, Ibnu Hibban].
Lafaz waliy[in] dalam bentuk nakirah adalah penetapan dalam konteks berita. Ini adalah lafaz al-muthlaqu.
Al-Muqayyad
Al-Muqayyad secara bahasa adalah sesuatu yang dibataskan. Dari segi istilah, Ibnu al-Hajib (w. 646 H) menyatakan dalam Mukhtashar Ibni al-Hâjib bahawa al-muqayyad ialah lafaz yang menunjukkan bukan kepada sesuatu yang tersebar dalam jenisnya. Dalam penjelasan Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah dalam Taysîr al-Wushûl ilâ al-Ushûl, al-muqayyadu adalah lafaz mutlak yang dihilangkan penyebarannya dalam jenisnya secara mutlak atau sebahagian.
Imam al-Amidi (w. 631 H) dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, juga Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3, menjelaskan bahawa al-muqayyad ialah: Pertama, lafaz yang menunjukkan madluul tertentu seperti Zayd[un], Amru, dan sebagainya. Kedua, lafaz yang menunjukkan sifat yang madluul-nya adalah mutlak dengan sifat tambahan, seperti raqabat[in] mu’minat[in]. Walaupun ia tersebar kepada hamba sahaya Mukmin dan bersifat mutlak sehingga meliputi setiap hamba sahaya Mukmin, ia dinisbahkan kepada hamba sahaya secara mutlak. Maka raqabat[in] mu’minat[in] adalah bersifat muqayyad. Sementara raqabat[in] mu’minat[in] adalah bersifat muthlaq dari satu sisi dan dari sisi yang lain bersifat muqayyad.
Contoh lafaz al-muqayyad adalah firman Allah SWT berikut:
…فَتَحۡرِيرُ رَقَبَةٖ مُّؤۡمِنَةٖ وَدِيَةٞ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦٓ … فَدِيَةٞ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦ وَتَحۡرِيرُ رَقَبَةٖ مُّؤۡمِنَةٖۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ شَهۡرَيۡنِ مُتَتَابِعَيۡنِ… ٩٢
”…(hendaklah) dia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (orang yang terbunuh itu)…maka (hendaklah pembunuh itu) membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (yang dibunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperoleh (untuk membayar diyatnya), hendaklah dia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut” [TMQ an-Nisa’ (4): 92].
Di sini raqabah dibataskan dengan iman, diyyat dengan musallamah ilâ ahlihi (diserahkan kepada keluarga mangsa) dan berpuasa dua bulan berturut-turut (mutatâbi’atin).
Wallâh a’lam wa ahkam.