Mendidik Anak Masa Kini Lebih Mencabar Tanpa Sistem Sokongan
Penulis: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia Puan Noraishah Ishak menyatakan, mendidik anak-anak pada zaman kini adalah lebih mencabar sebab ketiadaan support system (sistem sokongan) berbanding zaman ibu-ibu terdahulu.
“Kalau kita tengok kehidupan kita hari ini, kehidupan di mana kita hidup dalam zaman di mana pengaturan agama dipisahkan daripada kehidupan. Bila agama dipisahkan daripada kehidupan, jadi zaman kita hari ini, kita duduk dalam zaman penuh dengan fitnah, penuh dengan syahwat, penuh dengan syubhat. Kalau nak cerita tentang cabaran, cabaran kita malah lebih lagi sebab kita tidak ada support system tu. Jadi kat situlah, yang kalau kita perhatikan, kita kena berhempas pulaslah. Kita kena buat, kita kena cuba lagi,” katanya dalam Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin di Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Beliau mengajak peserta melihat peranan wanita terdahulu dalam pendidikan anak-anak iaitu Huma Hatun, ibu kepada Sultan Muhammad al-Fateh, panglima yang telah membuka Kota Konstantinopel.
“Sejak lahir, beliau akan bawa anaknya ke suatu tebing, di mana boleh nampak Kota Konstantinopel. Jadi, setiap hari, sejak anak tu lahir, dikatakan, ‘Wahai anakku, itu Kota Konstantinopel. Rasulullah SAW bersabda, suatu hari nanti Konstantinopel akan dibuka oleh kekuasaan Islam dan sesiapa yang membukanya adalah sebaik-baik raja, dan tentera yang membukanya adalah sebaik-baik tentera. Kamu anakku adalah orang itu.’,” ujarnya.
Lanjutnya, Umma Hatun bukan sekadar berkata-kata sahaja tetapi beliau turut melakukan persiapan yang baik untuk mendidik anaknya.
“Beliau juga usahakan untuk didik anak tu, sampai persediaan, kelengkapan, guru-guru, semuanya difikirkan semata-mata untuk memastikan usaha merealisasikan bisyarah Rasulullah tadi,” tambahnya.
Ibu Homeschooler ini juga mengajak peserta menelusuri sejarah ibu kepada Imam Syafie iaitu Fatimah binti Ubaidillah yang mendidik anaknya berseorangan tanpa sosok seorang ayah dan hidup dalam serba kekurangan.
“Menariknya tentang Fatimah adalah kesanggupan beliau untuk membawa anaknya, Imam Syafie, dari Gaza ke Mekah. Untuk apa? Untuk memastikan anak ini boleh belajar Quran. Itu yang kita dengar, Imam Syafie umur tujuh tahun dah hafal Quran dah,” jelasnya.
Beliau mengatakan, kedua-dua wanita ini hidup di zaman di mana kehidupan diatur dengan pengaturan Islami. Sultan Muhammad al-Fateh dan ibunya berada di zaman Khilafah Uthmaniyah. Imam Syafie dan ibunya berada di zaman Khilafah Ababasiyah.
“Di mana kita perhatikan, segala bentuk aktiviti kehidupan pada waktu itu, semuanya sebaik mungkin akan diatur oleh pemimpin dan negara menuju kepada redha Allah,” katanya.
Beliau melanjutkan,“Ibu adalah madrasah pertama dan utama, dan bapa adalah guru besar sekolah.” Pepatah Arab ini sering menjadi motivasi kepada masyarakat untuk menekankan betapa pentingnya peranan ibu sebagai guru pertama anak dan ayah sebagai pemimpin keluarga.
“Benda ini tidak pelik. Masa zaman dulu tu memang, dalam keadaan kehidupan tu memang dicanang, semua kena. Ibu tu memang kena ambil peranan. Memang itu cara berfikirnya,” lanjutnya.
Beliau akhirnya menyeru para peserta memainkan peranan ibu sebagai tonggak utama dalam pendidikan anak-anak
“Kita perlu kembalikan semula peranan kita sebagai ibu, ibu dan bapa, sebagai madrasah pertama dan utama untuk anak-anak,” tutupnya.