Didik Anak Patuh Pencipta Untuk Membentuk Karakter Kepimpinan.
Penulis: Syamsiyah Jamil
Ibu Homeschooler, Puan Noraishah Ishak mengatakan selain mendidik anak supaya menjadi cemerlang, ibu juga perlu mendidik anak untuk sentiasa patuh kepada penciptanya sebagai usaha untuk membentuk karakter kepimpinan dalam diri anak.
“Dalam keadaan dia sangat hebat, pada masa yang sama dia tunduk kepada yang menciptakan dia. Itu yang kita nak, itulah sosok tubuh yang boleh menjadi pemimpin akan datang. Itu tujuan kita mendidik,” katanya dalam Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin di Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Beliau menjelaskan, perkara utama yang perlu ditekankan dalam mendidik anak-anak adalah tentang aqidah iaitu tunduk menghambakan diri kepada pencipta.
“Anak perlu difahamkan tentang dari mana dia datang, ke mana dia akan pergi, untuk apa dia berada di sini, siapa pencipta, apa yang pencipta berikan panduan berbentuk Quran dan sunnah. Semua tu perlu dijawab, semua tu perlu dibincangkan sampailah kepada apa yang diperintahkan oleh pencipta,” jelasnya.
Beliau mengatakan, untuk menumbuhkan dan mengembangkan pola fikir anak, ibu perlu banyak kaitkan aqidah dengan realiti dan sebagainya. Ibu juga perlu membentuk pola sikap anak mengikut halal dan haram.
“Jadi kalau semua tu kita boleh buat, kita cuba kita sama sama, saya pun tengah mencuba sekarang ni. Jadi kita cuba untuk terapkan akidah, pastikan pola sikap, pola fikir yang Islami. Semoga apa? Semoga anak-anak ni dapat terbentuk menjadi seorang lelaki atau wanita yang berkepribadian Islam,” ujarnya.
Beliau berkongsi tiga tips yang boleh dilakukan oleh semua ibu untuk membentuk keperibadian Islam dalam diri anak seiring dengan penekanan tentang aqidah.
“Memang semua orang boleh buat. Semua orang tak payah guna duit. Benda tu free je dan mudah dilakukan. Nak atau tidak je,” katanya.
Beliau menjelaskan tips pertama iaitu mulakan dengan diri sendiri. Jika ibu mentarbiah anak untuk solat di awal waktu, ibu sendiri perlulah solat di awal waktu.
“Yang kedua, kita yang kena pastikan persekitaran tu kondusif. Kadang-kadang, biasa orang akan bincang tentang tempat je. Mesti tempat tu selesa supaya anak boleh belajar menerima ilmu dan sebagainya. Yang penting mesti waktu tu sesuai anak boleh menerima tarbiah daripada kita,” jelasnya.
Beliau menegaskan, makna persekitaran yang kondusif yang perlu lebih ditekankan adalah pendidikan yang sesuai dengan tahap umur dan profil anak,
“Jadi jangan kita paksakan atau jangan kita bandingkan anak orang tu boleh, kenapa anak saya tak boleh. Tak boleh. Bila kita kenal anak kita, kita dah tahu dah profil anak saya begini. Jadi kita tak sedih kalau anak kita nampak tak macam orang lain,” tegasnya.
Lanjutnya, silibus yang sesuai dengan tahap umur dan rutin yang sama setiap hari juga merupakan elemen kondusif yang perlu dititikberatkan.
“Yang nombor tiga, it’s okay to say I don’t know,” katanya.
Beliau menekankan, bila ibu mengaku yang dia tidak tahu tentang apa yang ditanyakan oleh anak, anak boleh nampak bahawa ibunya bukan tahu semua perkara dan yang paling penting adalah anak nampak semangat mujahadah ibunya mencari ilmu.
“Ilmu tu kita biasakan kepada anak-anak kita. Kita cari jawapan dalam segala bentuk perkara yang melibatkan kehidupan kita. Jadi ilmu kehidupan tu yang paling penting,” tutupnya.